Zaman kanak-kanak merupakan zaman yang indah. Tiada masalah yang perlu difikirkan dan hanya perlu berseronok. Pada ketika ini, ibu bapa memainkan peranan penting untuk membina pemikiran kreativiti kanak-kanak.

Untuk sesuatu ciptaan atau inovasi baru, kebiasaannya ia dicipta oleh orang dewasa. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa ciptaan yang dikreditkan kepada kanak-kanak sebagai penciptanya. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Permainan ski air

ski air 493

Pada musim panas tahun 1922, seorang kanak-kanak, Ralph Samuelson sedang menikmati percutian bersama keluarganya di Lake City, Minnesota. Beliau dan adiknya tertanya-tanya mengapakah tiada orang yang bermain ski di atas air, sama seperti bermain ski di atas salji.

Pada awalnya, beliau hanya menggunakan peralatan ski biasa. Beliau dapati ianya tidak sesuai digunakan di air dan mula melakukan beberapa perubahan padanya. Akhirnya, setelah beberapa kali percubaan, beliau dapati cara yang betul untuk bermain ski di atas air adalah posisi badannya perlulah condong ke belakang dan bahagian depan papan ski perlulah diangkat sedikit.

Malangnya, walaupun Ralph Samuelson dan adiknya yang mencipta permainan ini, mereka tidak pernah memfailkan paten ke atasnya. Walau bagaimanapun, organisasi US Water Ski Foundation telah memberikan kredit kepada dua kanak-kanak ini sebagai pencipta kepada permainan sukan ini.

2. Penutup telinga (earmuff)

ear muff

Sekiranya anda hidup di kawasan beriklim sejuk, apabila suhu mencecah bawah takat beku biasanya penutup telinga atau earmuff akan digunakan untuk melindungi bahagian telinga daripada terlampau sejuk. Sekiranya tidak ditutup, telinga anda mungkin kebas.

Setelah dibuang sekolah pada tahun 1873, Chester Greenword telah mencipta earmuff yang masih lagi digunakan pada masa kini. Gemar bermain ice skating, beliau seringkali menghadapi masalah untuk menutup telinganya daripada kebas kerana kesejukan.

Pada mulanya, beliau menutup telinganya dengan kain. Malangnya ia tidak begitu selesa. Lalu, menggunakan wayar terpakai, beliau telah membuat dua bulatan yang lebih besar daripada telinganya. Kemudian, beliau meminta neneknya menjahit lapisan kulit pada wayar tersebut. Maka, lahirlah earmuff.

3. Trampolin

trampolin

Setelah menamatkan persekolahan pada tahun 1930, George Nissen yang merupakan seorang ahli gimnastik telah mendapat idea untuk mencipta trampolin setelah menyaksikan pertunjukan sarkas di tempatnya. Dalam pertunjukan tersebut, beliau dapati terdapat jaringan keselamatan yang memastikan ahli pertunjukan sarkas agar tidak jatuh ke tanah.

Lalu, beliau telah melakukan pelbagai eksperimen dengan pelbagai bahan untuk memastikan trampolin ciptaannya mampu memberi kesan lantunan yang lebih tinggi. Beberapa tahun kemudian, beliau berjaya mencipta prototaip trampolin yang pertama. Malah, menyedari akan minat orang ramai terhadap trampolin ciptaannya beliau mula mendaftarkan tanda dagang untuk perkataan "trampoline" dan produk tersebut.

4. Sistem tulisan Braille

tulisan braille

Ketika berusia 3 tahun, Louis Braille telah kehilangan penglihatannya setelah terlibat dalam satu kemalangan. Beliau bernasib baik kerana di sekolah tempatnya belajar, beliau diajar membaca melalui tulisan yang mempunyai garisan timbul yang dapat dirasa oleh tangannya.

Walau bagaimanapun, buku yang digunakan untuk pembelajaran di sekolahnya terlampau besar dan mahal. Beliau juga dapati tulisan tersebut mungkin kurang efektif lagi bagi golongan yang mempunyai masalah penglihatan sepertinya. Lalu, beliau mencipta kumpulan abjadnya sendiri yang terdiri daripada susunan 6 titik.

Ketika berusia 15 tahun, dengan bantuan alatan pertukangan daripada bapanya, beliau mula menghasilkan sistem tulisan ini dengan membuat lekukan titik-titik bagi mewakili setiap abjad. Sistem tulisan Braille ini kini digunakan secara rasmi sebagai sistem tulisan untuk golongan yang mempunyai masalah penglihatan.

5. Popsicle

popsicle 463

Siapa yang tidak pernah makan aiskrim? Tahukah anda, aiskrim atau popsicle sebenarnya dicipta oleh seorang kanak-kanak bernama Frank Epperson. Menariknya, ia tercipta tanpa tidak sengaja apabila beliau terlupa untuk menutup bekas yang mengandungi acuan minuman manis di luar rumahnya.

Kebetulan pada ketika itu musim sejuk maka keesokan harinya beliau dapati minumannya itu telah sejuk membeku. Lalu beliau mengeluarkannya daripada bekas dan menggemarinya. Beliau telah memfailkan paten untuk popsicle dengan menggunakan nama "Eppsicle" sempena namanya.

6. Permainan kereta (toy truck)

toy truck

Sewaktu kecil, antara mainan yang digemari ramai kanak-kanak adalah toy truck. Tahukah anda, permainan ini juga sebenarnya merupakan idea daripada seorang kanak-kanak? Pada tahun 1963, seorang kanak-kanak bernama Robert Patch telah melukis ideanya di atas kertas mengenai pembinaan sebuah permainan kereta yang boleh dipasang dan dibuka.

Bongkahan kayu tersebut juga boleh disusun untuk menghasilkan permainan kereta berlainan jenis. Menariknya, ciptaannya ini juga telah dipatenkan. Ini menjadikan beliau sebagai manusia termuda yang mempunyai paten di Amerika Syarikat.

Kredit:




Hakcipta iluminasi.com (2017)