Bagi yang tak tahu, inflasi bermaksud kenaikan paras harga umum. Dalam erti kata mudah, ia membawa makna kenaikan harga pada kebanyakan servis dan barangan.

Inflasi yang memburuk boleh bertukar menjadi hiperinflasi.

Pelbagai perkara yang boleh menyumbang kepada inflasi termasuklah tarikan permintaan dan desakan harga.

hiperinflasi 1

BESARKAN TEKS     A-  A+

Malah, pencetakan dan pengedaran wang yang tidak terkawal oleh kerajaan juga antara faktor utama berlakunya inflasi, seperti mana yang berlaku kepada kebanyakan negara dalam senarai ini. 

iluminasi.com kongsikan 8 negara yang mengalami inflasi paling buruk dalam sejarah.

8. Austria

wang kertas austria

Austria mendapat kemerdekaan sekali lagi berikutan pemisahan Empayar Austro-Hungary.

Jiran-jirannya iaitu Czechoslovakia dan Yugoslavia, yang juga merupakan sebahagian dari empayar itu telah mengenakan dasar anti-perdagangan sejurus selepas pembentukan.

Di dalam Austria, beberapa wilayah juga memperkenalkan dasar anti-perdagangan terhadap wilayah lain. Tak lama kemudian, Austria berperang dengan Cekoslovakia dan Yugoslavia di atas sempadannya.

Kerajaan Austria mula mencetak wang untuk membiayai perang, meningkatkan nota dalam edaran sebanyak 14,250% antara tahun 1919 dan 1923. Tindakan ini membawa kepada berlakunya inflasi.

Pada tahun 1919, 1 dolar AS bernilai 16.1 Crown. Menjelang tahun 1923, ia bernilai 70,800 Crown, penurunan sebanyak 4,937%.

Kerajaan telah menekan penghasilan wang kertas baru siang dan malam, bekerja pada kapasiti penuh sepanjang inflasi walaupun kebanyakan industri telah ditutup.

Inflasi ini berakhir pada akhir 1922 dan awal 1923, ketika Liga Bangsa-Bangsa memberikan pinjaman kepada Austria. Mata wang Crown telah digantikan dengan Schilling.

Austria tidak pernah pulih sepenuhnya dari inflasi ini, sebelum ia diduduki oleh Jerman semasa Perang Dunia II.

7. Poland

wang kertas poland

Poland menjadi bebas sekali lagi pada tahun 1918 dan masih tidak stabil apabila berperang dengan Rusia. Tanpa sumber pendapatan lain yang berdaya maju, kerajaan Poland mula mencetak wang sama seperti China, untuk membiayai kos peperangan.

Kerajaan negara ini telah mencetak wang yang tersangat banyak sehingga mata wangnya menjadi tidak stabil dan merudum pada tahun 1923.

Pada akhir 31 Mei 1923, satu dolar AS bernilai 52,875 Mark Poland namun menjelang akhir Disember tahun yang sama, satu dolar melonjak naik kepada 6.4 juta Mark.

Keadaan menjadi lebih buruk pada 10 Januari 1924 apabila 1 dolar bersamaan dengan 10.3 juta mark. Ini memberikan perbezaan hampir 10 juta Mark atau penurunan sebanyak 195% dalam hanya 8 bulan.

Pelbagai industri ditutup kerana kebanyakan orang tidak mampu membeli barangan mereka. Beberapa industri yang tidak ditutup mengurangkan bilangan pekerja yang boleh bekerja dalam seminggu.

Pada kemuncak inflasi, kerajaan mengeluarkan nota 50 juta mark dan nota bernilai 100 juta Mark dirancang tetapi tidak dikeluarkan.

6. China

wang kertas china

Hiperininflasi China dari 1937 hingga 1949 adalah hasil percetakan wang oleh kerajaan untuk membiayai peperangan sebanyak dua kali.

Yang pertama adalah perang Sino-Jepun Kedua dan diikuti oleh Perang Saudara Cina. Pada tahun 1937, satu dolar AS bernilai 3.41 Yuan.

Pada tahun 1945, ia bernilai 1,222 yuan dan pada tahun 1949, 1 dolar AS bernilai 23.3 juta yuan. Kemerosotan ini adalah sebanyak 6.83 juta peratus.

Sebelum inflasi, bank-bank persendirian bertanggungjawab untuk mengeluarkan wang mereka sendiri.

Pada tahun 1927, Parti Nasionalis China mula berkuasa dan mula membiayai peruntukannya dengan meminjam wang dari bank-bank ini.

Bank-bank kemudian enggan memberi pinjaman lebih banyak wang kepada kerajaan bimbang ia tidak dapat dibayar semula.

Kerajaan bertindak balas dengan mewujudkan Bank Sentral China untuk mengeluarkan bon kepada bank sebagai pertukaran wang.

gold rush 1948

(Rakyat China tergesa-gesa untuk mengambil semula emas dari Shanghai Bank pada petang pengambilalihan oleh komunis pada tahun 1948)

Pada tahun 1931, bon tersebut kehilangan separuh daripada nilainya selepas Manchuria ditakluk oleh Jepun.

Apabila bank enggan membeli lebih banyak bon, kerajaan meluluskan undang-undang yang menuntut bank untuk membeli bon dengan 25 peratus deposit mereka.

Namun, bank-bank masih enggan membeli bon tersebut. Bank China bahkan menjual bon dalam simpanan yang membawa kerugian.

Ini memuncak dengan pengambilalihan kerajaan terhadap Bank of China dan Bank of Communications, yang merupakan dua bank terbesar pada masa itu, dan setiap bank lain selepas itu.

Lebih banyak masalah yang menyelubungi China apabila Perbendaharaan AS mula membeli perak. Sebilangan besar perak China diseludup keluar dari China dan dijual kepada Amerika Syarikat, menyebabkan penurunan dalam mata wang yuan.

Ini memuncak apabila kerajaan China menarik diri dari piawaian perak pada tahun 1935. Dengan negara ini yang tiada piawaian perak dan kerajaan mengawal penuh semua bank, kerajaan mula mencetak wang sesuka hati.

Mereka mencetak terlalu banyak wang sehinggakan kilangnya tak mampu membekalkan permintaan dan beberapa percetakan dikontrakkan ke England.

Hyperinflasti yang tersangat teruk ini adalah penyebab Pengerusi Parti Komunis China, Mao Tse-tung mendapat banyak sokongan ketika Perang Saudara Cina.

Perang berakhir dengan Nationalis melarikan diri ke Taiwan, sementara Komunis mengambil alih negara ini. Komunis menggantikan yuan lama dengan yuan baru pada nisbah 3 juta kepada 1. 

5. Greece

wang kertas greece

Inflasi Greece pada tahun 1941 hingga 1944 adalah akibat daripada pendudukan Jerman dan Itali pada Perang Dunia II.

Mawa wang Greece iaitu Drachma mula menyusut apabila Jerman menyerang pada April 1941. Peniaga yang berasa takut akan kekalahan dan pendudukan oleh Jerman mula menjual barang secara besar-besaran.

Para peniaga meminta bayaran kepada pembeli dalam bentuk emas. Ketakutan mereka menjadi kenyataan apabila Jerman memenangi dan menduduki Greece, yang membawa kepada susut nilai drachma.

Jerman dan Itali menggunakan wang Greece untuk membeli produk dari pedagang Greece dan membiayai kempen Afrika Utara.

Apabila wang semakin berkurangan, mereka hanya mengarahkan Bank of Greece untuk mencetak lebih banyak. Tak lama kemudian, drachma menjadi tidak bernilai kerana wujud dalam jumlah yang terlalu banyak, membawa kepada inflasi.

Jerman dan Itali tidak menghiraukan situasi tersebut dan terus mengarahkan Bank of Greece untuk mencetak lebih banyak wang.

4. Jerman

wang kertas jerman

Antara 1919 dan 1923, Jerman berhadapan dengan hiperinflasi terburuk dalam sejarah.

Mata wangnya, Papiermark, kehilangan begitu banyak nilai sehingga para pekerja bergegas ke pasar untuk membeli barangan yang diperlukan segera setelah mereka menerima gaji.

Kerajaan Jerman sendiri tidak peduli untuk menambah langkah-langkah anti-pemalsuan terhadap nota denominasi super yang baru kerana kos pemalsuan adalah lebih tinggi daripada nilai wang tersebut.

Di kemuncak inflasi, orang Jerman berhadapan dengan begitu banyak "0" pada wang kertas mereka sehinggakan mengalami gangguan mental yang unik yang disebut sebagai strok sifar.

Mereka bermimpi tentang sifar dan menghitung segala-galanya, termasuk umur dan anak-anak mereka, dalam angka sifar.

Gangguan mental ini tersangat serius sehinggakan adalah normal bagi seseorang untuk mengatakan bahawa dia mempunyai tiga juta orang anak atau dia berusia 40 bilion tahun.

Hiperinflasi yang berlaku adalah hasil dari Jerman yang mencetak wang untuk membiayai Perang Dunia I dan kos pembaikan yang diperlukan untuk membayar kepada kuasa Sekutuselepas kalah dalam perang.

Kerajaan Jerman bertindak balas dengan mencetak lebih banyak wang sehingga inflasi bertukar menjadi hiperinflasi. Menjelang November 1923, 1 dolar AS bernilai 4.2 trilion Papiermarks.

Hiperinflasi berakhir selepas kerajaan baru merundingkan perjanjian pembayaran balik dengan kuasa Sekutu. Kerajaan Jerman juga memperkenalkan Rentermark untuk menggantikan Papiermark yang sudah tidak berguna.

3. Yugoslavia

dinar yugoslavia 425

Dinar Yugoslavia mengalami inflasi 5 quadrillion (5,000,000,000,000,000) di antara Oktober 1993 dan Januari 1995.

Pada tahun sebelum inflasi berlaku, Yugoslavia yang kekurangan wang tunai telah mencetak lebih banyak wang untuk mengekalkan peruntukan mereka.

Kerajaan juga meminjam wang daripada rakyatnya. Kerajaan tidak meminta wang daripada rakyat secara terang-terangan sebaliknya mereka menyukarkan proses pengeluaran wang daripada bank-bank kerajaan.

Ketika inflasi bertambah buruk, kerajaan bertindak balas dengan menetapkan harga dan menjalankan perniagaan yang dijual di bawah harga tetap. Perniagaan milik kerajaan gagal, sementara perniagaan swasta tidak dapat menjual pada harga tetap.

dinar yugoslavia 2

Rakyat tidak mampu mengisi minyak kereta dan memilih untuk menggunakan kenderaan awam seperti bas. Walau bagaimanapun, Pihak Berkuasa Transit Belgrade (GSP) juga tidak mampu untuk mengisi minyak pada bas-bas mereka.

Bas-bas yang terhad dalam perkhidmatan tersangat sesak sehinggakan kelindan bas tidak dapat mengutip tambang, menyebabkan agensi yang sememangnya sudah kekurangan wang mengalami kerugian.

Pada Oktober 1993, kerajaan memperkenalkan dinar baru, yang sama dengan satu juta dinar lama. Dinar ini juga dengan pantasnya menjadi mangsa inflasi.

Untuk menangani masalah ini, kerajaan memperkenalkan dinar yang lebih baru, yang sama dengan satu bilion dinar sebelumnya (dinar kedua).

Sekali lagi, ia mengikuti jejak langkah dinar kedua, yang membawa kepada pengenalan dinar super pada Januari 1994. Satu dinar super bersamaan dengan sepuluh juta dinar ke-2.

Sementara itu, perniagaan dan kerajaan yang baru bertukar kepada mata wang Deutsche Mark Jerman. [2]

2. Zimbabwe

wang kertas zimbabwe 22

Hiperinflasi di Zimbabwe pada tahun 2008 adalah yang paling terkenal dalam senarai ini. Ia juga merupakan antara hiperinflasi yang terburuk dalam sejarah.

Di kemuncaknya, harga barang menjadi dua kali ganda setiap hari dan pengangguran di negara ini adalah yang tertinggi iaitu sebanyak 80%.

Nilai mata wang Zimbabwe mengalami kemerosotan nilai pada tahap yang sangat dahsyat sehinggakan kerajaan memperkenalkan nota Z $100 trilion.

Pada tahun 1990-an, Presiden Robert Mugabe merampas tanah dari petani berkulit putih yang berpengalaman dan mengedarkannya kembali kepada petani hitam yang tidak berpengalaman.

Ini menyebabkan penurunan dalam pengeluaran, menyebabkan ladang-ladang dan kilang-kilang kemudiannya gagal membayar balik pinjaman mereka dan ditutup.

hiperinflasi zimbabwe

hiperinflasi zimbabwe 2

Malah, kerajaan Zimbabwe sendiri berada dalam belenggu hutang dan memerlukan lebih banyak wang. Dengan ekonomi yang merosot dan tanpa sumber pendapatan yang berdaya maju, kerajaan bertindak balas dengan mencetak lebih banyak wang.

Wang yang berlebihan dalam edaran, hutang yang banyak, kilang-kilang ditutup, pengangguran, dan eksport yang rendah adalah resepi yang sempurna untuk inflasi.

Daripada menangani masalah dari bawah, kerajaan bertindak terhadap inflasi dengan mencetak lebih banyak wang dan menetapkan harga barangan, yang hanya memburukkan lagi keadaan.

Kos penghasilan barangan meningkat dengan cepat sehingga syarikat-syarikat menjual produk mereka pada harga yang merugikan.

Inflasi meningkat dengan kukuh, mencecah 1,281% pada tahun 2006, 66,212% pada tahun 2007, 2.3 juta peratus pada Julai 2008.

Rekod hiperinflasi yang tertinggi dicatakan pada Julai 2009, pada kadar 79.6 bilion peratus. Pada masa ini, keperluan asas seperti roti dijual dengan 35 juta dolar Zimbabwe.

Para peniaga enggan menerima nota Zimbabwe dan memilih mata wang seperti dolar AS.

Tak lama kemudian, kerajaan Zimbabwe terpaksa mengabaikan dolar mereka sendiri dan menggunakan dolar AS, yang tetap menjadi mata wang rasmi negara hingga hari ini.

1. Hungary

wang kertas hungary

Hungary mengalami dua kejadian inflasi yang amat dahsyat dalam sejarahnya. Yang pertama berikutan pemisahan Empayar Austro-Hungaria selepas Perang Dunia I dan satu lagi bermula menjelang akhir Perang Dunia II.

Selepas Perang Dunia I, kerajaan baru mula mencetak wang untuk membiayai peruntukannya. Inflasi yang melanda berakhir dengan negara ini mengabaikan mata wang kronen dan memperkenalkan mata wang pengo pada tahun 1926.

Inflasi kedua bermula pada tahun 1944, ketika kebanyakan infrastruktur Hungary dimusnahkan oleh Jerman dan Rusia. Rusia juga memaksa Hungary untuk membayar ganti rugi.

Hungary yang kesesakan wang tunai bertindak balas dengan mencetak lebih banyak wang. Mereka mencetak wang yang tersangat banyak sehingga inflasi naik kepada kadar 150,000% sehari.

wang bertaburan di atas jalan

Kerajaan juga memperkenalkan nota milpengo iaitu satu juta pengo dan nota bilpengo iaitu 1 bilion pengo. untuk mengendalikan jumlah "0" yang berlebihan. Namun nota-nota ini adalah sia-sia kerana angka 0 padanya juga meningkat.

Di kemuncak inflasi, ia mencapai kadar 13.6 quadrilion peratus, setiap bulan. Titik wang kertas terbesar adalah 100 quintillion (1,000,000,000,000,000,000)

Hiperinflasi terburuk dunia ini menyebabkan harga menjadi 2kali ganda setiap 15 jam. Pada 1 Ogos 1946, kerajaan Hungary mengabaikan pengo sepenuhnya dan menggantikannya dengan forint.

Rujukan:

1. Compelo

2. Cato

3. Money Week




Hakcipta iluminasi.com (2017)