Oleh pada 20 Sep 2017 kategori

Sebelum ini iluminasi.com berkongsi mengenai mata wang Zimbabwe yang musnah dan terpaksa menggunakan 9 mata wang asing, akibat hiperinflasi. Kali ini kami ingin berkongsi berkenaan inflasi dan faktor yang menyumbang kepada masalah ekonomi ini.

Memahami apa itu inflasi dan penyebab kepada berlakunya masalah ekonomi ini adalah penting bagi kita dalam meningkatkan kesedaran, untuk mengelakkannya daripada berlaku.

Apa itu inflasi?

Secara amnya, inflasi bermaksud kenaikan paras harga umum. Agak mengelirukan kan? Untuk memudahkan pemahaman, inflasi bermaksud kenaikan harga terhadap kebanyakan barangan dan servis.

BESARKAN TEKS     A-  A+

inflasi 845

Harga bagi kebanyakan barangan seperti rumah, pakaian, makanan, pengangkutan, minyak dan macam-macam lagi harus meningkat dan berterusan bagi tempoh yang lama, untuk inflasi dikatakan berlaku dalam sesebuah ekonomi.

Jika hanya harga beberapa barangan atau servis sahaja yang meningkat, ia tidak semestinya berlaku inflasi.

Namun kadang-kadang tahap inflasi meningkat secara mengejut akibat peristiwa yang berlaku di luar kawalan pemerintah, termasuklah kesan pengangguran, nila mata wang yang jatuh serta ketidakstabilan politik.

Ia menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjalankan tugas dengan bijak bagi menentukan langkah menstabilkan harga.

Cara mengukur inflasi

formula gdp

Terdapat beberapa cara untuk mengukur inflasi, pertamanya adalah melalui Deflator Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Deflator KDNK adalah ukuran tahap harga baru bagi barangan yang dihasilkan dalam negeri, produk akhir dan servis dalam sesebuah ekonomi. Kaedah ini digunakan untuk mengukur harga inflasi atau deflasi bagi tahun-tahun tertentu.

indeks harga pengguna

Cara yang kedua adalah melalui penunjuk Indeks Harga Pengguna (CPI). CPI pula mengukur perubahan tahap harga sekumpulan produk pengguna. Sebagai contoh, jika anda biasanya membeli barangan setiap bulan menggunakan bakul, CPI digunakan untuk mengukur perubahan harga barangan bagi kesemua barang dalam bakul anda, bagi satu-satu tempoh. Dan perubahan peratusan tahunan pada CPI ini digunakan untuk mengukur inflasi.

Pendek kata, deflator KDNK digunakan bagi skala besar, dan penunjuk CPI digunakan mengukur skala kecil.

Apa yang menyebabkan inflasi berlaku?

Terdapat 2 jenis inflasi, iaitu Inflasi Tarikan Permintaan dan juga Inflasi Desakan Harga. Kedua-dua inflasi ini menyebabkan peningkatan kepada tahap harga keseluruhan dalam ekonomi.

1. Inflasi Tarikan Permintaan. Ia berlaku apabila permintaan keseluruhan terhadap barangan dan servis dalam sesebuah ekonomi meningkat dengan mendadak dan lebih pantas daripada kemampuan pengeluaran barangan dan servis.

pengeluaran berlebihan

Ia biasanya berlaku ketika sesuatu ekonomi berkembang dengan pesat (pendapatan bertambah, perbelanjaan meningkat), atau disebabkan oleh peningkatan yang mendadak dalam pembekalan wang oleh bank pusat.

Peningkatan penggunaan wang dalam ekonomi (belian) meningkatkan permintaan terhadap barangan dan servis. Dalam jangka masa pendek, pengeluaran barang dan servis tidak dapat ditampung oleh pembekal, menyebabkan bekalan kekal di tahap yang sama.

Keseimbangan ekonomi akan berubah, menyebabkan harga barangan meningkat, dan seterusnya inflasi berlaku.

2. Inflasi Desakan Harga. Ia berlaku apabila harga proses pengeluaran sesuatu produk atau servis meningkat.

harga minyak naik

Faktor-faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku, antaranya ialah:

  1. Gaji pekerja meningkat. Ia akan membuatkan kos pengeluaran meningkat dengan sangat ketara
  2. Peningkatan harga import. Jika harga import melebihi harga eksport, maka berlakunya perdagangan negatif, yang juga menyebabkan kos pengeluaran meningkat.
  3. Harga barang mentah. Peningkatan terhadap bahan mentah, terutamanya harga minyak menjadikan kos pembuatan menjadi tinggi, meningkatkan kemungkinan berlaku inflasi.
  4. Desakan keuntungan. Apabila pengeluar menaikkan harga barang, inflasi mudah berlaku.
  5. Kemerosotan produktiviti. Apabila pengeluaran berkurang, kos pembuatan menjadi tinggi.
  6. Cukai meningkat. Seperti GST, ia meningkatkan harga barang, menyebabkan perubahan pada CPI. Namun peningkatan cukai ini mungkin menyebabkan peningkatan harga sekali sahaja (melainkan jika GST selalu menaik).

Walaupun perbezaan pada inflasi dinyatakan di atas kelihatan ringkas, namun secara realiti, dalam ekonomi sebenar, penyebab kepada perubahan tahap harga sangat rumit dan sukar untuk dikesan.

Kesan inflasi

Jika berlaku inflasi, ia amat sukar untuk menghapuskannya. Pihak yang mengeluarkan wang (kerajaan) harus bersikap bijak. Sebagai contoh, jika berlakunya peningkatan terhadap permintaan, dan pihak bank pusat terus meningkatkan pembekalan wang, ia akan menyebabkan peningkatan harga barang, dan mengakibatkan inflasi.

Hiperinflasi di Zimbabwe

Seperti dalam artikel lalu, anda boleh melihat rakyat Zimbabwe membawa wang menggunakan kereta sorong kerana terlalu banyak. Apakah penyebab berlakunya inflasi di Zimbabwe? Teruk sangatkah inflasi di Zimbabwe? Tinggi sangat kah harga barang ketika itu?

Hiperinflasi berlaku di Zimbabwe apabila kerajannya mula merampas ladang komersial pada tahun 2000. Ia menyebabkan pelabur asing melarikan diri, pengilangan terhenti, dan mata wang asing yang diperlukan untuk membeli barangan import mula berkurangan, menyebabkan harga naik mendadak.

lambakan wang

Pada November 2005, inflasi di Zimbabwe meningkat sebanyak 400%, hampir 600% pada Januari 2006. Ia semakin melambung tinggi apabila kerajaan Zimbabwe mengumumkan bahawa mereka perlu membayar sebanyak USD221 juta kepada Tabung Kewangan Antarabangsa, bagi menampung tunggakan, yang mengancam keanggotaan Zimbabwe dalam organisasi tersebut.

Tiada penggunaan duit syiling di Zimbabwe ketika itu walaupun harga mempunyai sen. Tapi bila anda bayar, kedai akan membundarkan dan beri baucer kedai, atau lolipop. Anda akan mula sedar segala-galanya mahal.

wang menjadi tiada nilai

Bukan sahaja barangan import menjadi mahal, malah semua barang termasuk barang keperluan asas termasuk gula, telur dan minyak masak. Menurut rakyat tempatan, pasaraya membeli barangan dari Afrika Selatan, menggandakan harga, dan jual kepada pengguna. Zimbabwe berubah menggunakan dolar Amerika, walaupun mata wang tersebut tidak banyak terdapat di Zimbabwe, jadi macam mana nak beli barang?

Rakyat masih terpinga-pinga dan mabuk hiperinflasi. Selepas hampir 10 tahun harga barang meningkat, daripada telur berharga 100 dolar Zimbabwe, kepada seribu, kemudian sejuta, dan 1 billion, dan perubahan harga itu tidak lagi disedari mereka.

Menurut salah seorang rakyat Zimbabwe, pada tahun 2008, pekerja akan berlegar di dalam pasaraya dengan pelekat harga di tangan. Mereka akan menukarkan harga barangan 3 hingga 4 kali dalam sehari.

Inflasi di Malaysia

inflasi di malaysia

Sejarah inflasi di Malaysia

Kategori utama yang mempengaruhi CPI di Malaysia adalah :

  1. Makanan dan minuman (tak beralkohol) : 30%
  2. Perumahan, air, elektrik, gas, dan minyak : 23%
  3. Pengangkutan : 15%
  4. Komunikasi : 6%
  5. Rekreasi dan budaya : 5%
  6. Perabut , barang rumah, dan penyelenggaraan rumah : 4%
  7. Restoran dan hotel : 3.2%
  8. Lain-lain : 6.3%



Hakcipta iluminasi.com (2017)