Sehingga kini, konflik dunia yang paling dahsyat dalam sejarah moden dari segi nyawa terbunuh, keganasan dan impak pada negara-negara terlibat adalah Perang Dunia Kedua. Perang ini telah menghancurkan sebahagian besar daripada dunia abad ke-20, selama-lamanya.
Selepas 6 tahun 1 hari bertempur dan berpuluh-puluh juta nyawa terkorban, pakatan Allied (Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Republik China) akhirnya berjaya mengalahkan pakatan Axis (Nazi Jerman, Empayar Jepun dan Republik Itali).
BESARKAN TEKS A- A+
Dan adakah kemenangan pakatan Allied disebabkan kelebihan jumlah tentera, atau teknologi maju yang digunapakai?
Persoalan ini tak akan pernah terjawab, dan ahli sejarah masih mengkaji sebab dan kesan Perang Dunia Kedua. Namun, baru-baru ini pakar sejarah mengetahui satu fakta penting yang menyumbang kepada kemenangan pakatan Allied, iaitu labah-labah.
Pasti anda tertanya-tanya, bagaimana labah-labah yang sangat kecil, mampu membantu memenangi perang terbesar dalam sejarah? Adakah pakatan Allied merekrut dan menggunakan labah-labah mutan yang berbisa? Jika dalam permainan video seperti Red Alert, mungkin ya.
Namun, apa yang dilakukan oleh Great Britain dan dan Amerika Syarikat adalah mengumpulkan labah-labah, dan mendapatkan bebenang yang dihasilkan oleh serangga ini, untuk kegunaan perang.
Persoalan seterusnya, bagaimana benang yang dihasilkan labah-labah dapat membantu perang dunia ini? Perkara yang tidak dapat difikirkan oleh pihak lawan adalah, benang labah-labah ini digunakan dalam menghasilkan sasaran yang dikenali sebagai cross hairs bagi senapang, dan juga senjata-senjata lain.
Senapang atau senjata-senjata lain hanya boleh berfungsi dengan baik, jika ia mampu diselaraskan bagi menembak sasaran dengan tepat. Dengan ini, proses menghapuskan pihak musuh dapat dilakukan dengan lebih cepat dan efisyen.
Pada ketika itu, cross hairs ini dihasilkan menggunakan logam yang sangat nipis, namun ia amat rapuh dan sering rosak akibat tekanan dihasilkan senjata dan penggunaan yang kerap.
Namun, bagi benang labah-labah pula, ia mempunyai ketahanan yang sangat tinggi. Walaupun sangat halus, lebih kurang satu perlima daripada diameter rambut manusia, ia sangat sukar untuk rosak atau putus. Malah, ia lebih tahan daripada platinum atau dawai besi dengan ketebalan yang sama.
Ciri-ciri lain pada benang ini adalah sangat elastik, yang membuatkan ia mudah diregangkan menjadi lurus bagi menghasilkan cross hairs. Ia juga mampu bertahan di bawah tekanan tinggi iaitu tembakan berulang-ulang, dan juga suhu melampau.
Spesis labah-labah yang sering digunakan dalam mendapatkan benang-benang ini adalah jenis Black Widow. Walaupun ia sangat berbahaya, namun ia bergerak lebih perlahan daripada labah-labah yang tak berbahaya. Quartermaster Corps dari Amerika Syarikat bertanggungjawab dalam mengendalikan operasi rumit ini.
Labah-labah ini ditangkap di pangkalan Fort Know, lalu dihantar ke Columbus, Ohio, tempat penghasilan bebenang ini. Labah-labah ini diletakkan di dalam bekas kaca dan diberi makan 2 ekor lalat setiap minggu. Pengumpulan bebenang mengambil masa yang sangat lama dan dilakukan menggunakan tangan.
Bebenang itu kemudiannya dibersihkan dan dipisahkan bagi kegunaan dalam peranti optik. Walaupun ia sangat berguna, namun bebenang ini tidak lagi digunakan selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua. Teknologi yang lebih maju membolehkan penghasilan produk yang lebih mudah didapati, daripada menggunakan bebenang labah-labah ini.