Bagi kumpulan pekerja kolar putih di pejabat, kubikel-kubikel yang dipasang sebagai sempadan ruang kerja merupakan pemandangan biasa hari-hari.

Walaupun diguna secara meluas, wujud sentimen negatif terhadap penggunaan kubikel; dilihat sebagai satu bentuk kurungan atau penjara mengongkong pekerja ke dalam satu 'kotak' khas - bagi memudahkan mereka diperah tekun bekerja. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam era moden zaman sekarang, kritikan terhadap kubikel dan kesan psikologinya tak pernah terhenti.

Persoalannya, jika tiada kubikel - bagaimana agaknya rupa ruang kerja kita? 

Populariti pejabat terbuka dekad 1950-an

konsep pejabat zaman dahulu

Jika zaman sekarang trend 'open office' atau pejabat terbuka kerap kali disebut sebagai konsep idaman ramai pekerja.

Namun realitinya konsep ini telah diamalkan sejak bermulanya sistem pejabat dengan pengenalan konsep itu di Amerika Syarikat dalam dekad 1950-an.

Bagaimanapun apa yang membezakan konsep pejabat terbuka yang ada sekarang dengan konsep terdahulu, adalah tujuannya diamalkan. 

Dekad tersebut, majikan atau syarikat memilih untuk menggunakan konsep terbuka bagi memudahkan mereka membuat pemerhatian terhadap semua pekerja dalam satu-satu masa, memastikan produktiviti pekerja berada pada tahap optimum.

Komunikasi di antara pekerja tidak digalakkan walaupun tiada dinding atau penghadang yang menghalang mereka berbual antara satu sama lain.

Kolaborasi di kalangan pekerja juga bukanlah sesuatu yang diamalkan.

Tidak ada kebebasan fizikal dan kreativiti

konsep pejabat terbuka

Konsep terbuka yang mengamalkan budaya kerja mirip kilang, bukanlah satu suasana yang kondusif untuk seseorang pekerja bekerja dengan baik.

Namun itulah budaya kerja yang telah diamalkan dan kumpulan pekerja mengadaptasi dengan budaya itu. 

Anda pernah menggunakan mesin taip?

Sebelum bermulanya era penggunaan komputer di pejabat-pejabat, pejabat biasanya dipenuhi dengan mesin-mesin taip yang agak bising apabila digunakan.

Mereka yang pernah menaip sepucuk surat menggunakannya tahulah bagaimana kuatnya bunyi kekunci serta bunyi loceng apabila askara sampai ke penghujung baris ayat.

Bayangkan ada 20 orang menaip serentak! Tak tak tak tak, ting! Tak tak tak! Ting! Itu sajalah bunyi didengari setiap hari.

Lebih memburukkan situasi dalam dekad 1950-an, budaya merokok menular di kalangan ahli masyarakat, dilihat sebagai satu kemestian semasa bekerja.

Jadi majikan era tersebut membenarkan pekerja merokok sambil menyiapkan tugasan yang ada. Sudahlah pejabat bising, asap rokok pula memenuhi udara.

Jangan dilupakan, pejabat zaman dahulu kurang memberi penekanan kepada konsep pengudaraan dan kemasukan cahaya. 

Dekad 1960-an membawa perubahan besar kepada dunia

action office image 3

Konsep terbuka ini walaupun jelas banyak kelemahannya, diguna pakai di Amerika Syarikat dan Britain.

Rekabentuk ini yang membentuk asas susun atur pejabat moden, mula mengalami perubahan selepas satu konsep baru melonjak popularitinya di Jerman.

Masyarakat Jerman era 60-an mahu meninggalkan identiti sosial mereka yang terpalit sentimen negatif akibat perang.

Keinginan ini membawa kepada pelbagai perubahan sosial yang dilakukan di Jerman, bagi membantu meningkatkan moral masyarakat.

Salah satu usaha terbesar dan paling meninggalkan impak adalah konsep burolandschaft atau pejabat lanskap, dibangunkan oleh firma Eberhard & Wolfgang Schnelle.

Adik-beradik Schnelle mengambil idea awal daripada konsep yang diguna di Amerika Syarikat dan Britain, tetapi memecahkan kaedah penyusunan meja yang sekata menjadi susunan lebih santai dan organik.

Pengenalan pokok hiasan sebagai pembahagi ruang serta kewujudan lebih banyak ruang sosial yang menggalakkan pekerja berbual, berjaya membantu memperkenalkan perubahan terbesar yang dapat kita lihat sekarang - pengenalan sistem kolaborasi di antara pasukan/divisyen.

Burolandschaft menggalakkan ketua sesebuah divisyen duduk dalam ruangan yang sama dengan pekerja bawahan, hanya diasingkan dengan pemasangan penghadang mudah alih bagi memberikan semua pemegang jawatan ketua lebih privasi.

Dengan pengenalan konsep ini di Jerman, sesuatu ruangan kerja dilihat harus lebih mementingkan kebajikan pekerja, tidak lagi perlu terlalu keras susunannya dan berorientasikan majikan/ketua semata-mata.

Serentak dengan itu budaya kerja golongan kolar putih juga mengalami perubahan, di mana komunikasi dan kerjasama diangkat sebagai tunjang kepada sebuah pejabat yang harmoni.

Pengenalan sistem Action Office

probst action office 2 herman miller pin up magazine 06 1000x665

Bagi peminat rekaan produk, anda pasti tahu tentang jenama Herman Miller yang cukup terkenal sehingga kini.

Hasil daripada penyelidikan dan pembangunan produk di bawah Herman Miller lah, lahir apa yang kita biasa nampak di mana-mana pejabat hari ini, iaitu kubikel.

Dalam tahun 1964, syarikat Herman Miller melancarkan siri produk khusus untuk pejabat yang dinamakan Action Office di bawah seliaan ketua pereka bernama Robert Propst. Siri pertama produk ini kurang mendapat sambutan

Pelancaran siri kedua, Action Office II yang memperkenalkan dinding mudah alih dipasarkan sebagai kubikel mengubah nasib Propst.

Hasil kajian Propst menunjukkan golongan pekerja era tersebut mahu ruangan kerja yang lebih privasi serta mencerminkan identiti setiap individu.

Berpandukan panduan tersebut serta syarat banyak majikan yang mahukan sesebuah pejabat harus mudah diubahsuai rekabentuknya, seiring dengan keperluan pekerja, Action Office II memperkenalkan konsep dinding mobil fleksibel kubikel serta perabot pasang siap yang memperkemaskan idea burolandschaft ke dalam bentuk pakej.

Populariti sistem kubikel yang diperkenalkan Herman Miller menjadikan produk itu sebagai produk paling laris jualannya, yang akhirnya ditiru pesaing.

Walaupun dalam era sekarang ramai melihat kubikel sebagai kurungan, realitinya dengan pengenalan kubikel-lah perubahan terbesar dalam budaya kerja dunia benar-benar terpahat.

Kubikel membolehkan golongan wanita yang sebelum itu berasa kurang selesa terpaksa bercampur dengan lelaki, mempunyai ruangan sendiri semasa bekerja.

rekaan kubikel moden

Penggunaan kubikel walaupun sama rupanya masih membenarkan setiap individu mengenakan identiti sendiri dalam ruangan milik mereka, dilihat berjaya memupuk prinsip kesamarataan dalam pejabat.

Sekiranya anda seorang yang menyokong untuk kita kembali kepada konsep terbuka tanpa kubikel dalam pejabat khususnya golongan muda; satu soalan yang ingin kami ajukan kepada anda adalah betapa penting privasi untuk anda, semasa anda sedang bekerja?

Tanpa kubikel, rakan sepejabat anda bebas melihat anda tanpa halangan. Nak korek hidung pun tak senang.

Anda betul nak kembali ke konsep tersebut?




Hakcipta iluminasi.com (2017)