Isu berkenaan harga kediaman di negara kita bukanlah sesuatu isu baru.

Kelembapan ekonomi yang menyumbang kepada inflasi, menyebabkan nilai pendapatan majoriti masyarakat kita bergerak tidak seiring dengan kos sara hidup yang mengakibatkan ramai antara kita berhadapan kesukaran membeli hartanah.

Tidak ada banyak pilihan untuk kita dalam mengatasi masalah ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sama ada kita memberanikan diri mengatur perbelanjaan membeli kediaman pada harga tinggi, membeli kediaman yang terpakai, sanggup duduk di kawasan yang lebih padat atau pilihan yang ramai lakukan; duduk jauh dari lokasi kerja demi memiliki kediaman sendiri.

Persoalannya - di daerah manakah kediaman paling murah terletak, di setiap negeri jika anda tidak cerewet untuk berulang-alik setiap hari? Berikut adalah 16 mukim paling rendah harga kediaman atas tanah, berdasarkan data terbaru yang diperolehi di negara kita.

1. Perlis

rumah kos rendah

Pembangunan hartanah di Perlis agak terhad. Hanya empat jenis kediaman saja dibina di negeri itu iaitu rumah jenis banglo, rumah jenis berkembar, rumah teres dan juga rumah kos rendah.

Untuk keseluruhan negeri Perlis, dilaporkan bagi tahun 2021 anda masih boleh mendapatkan rumah teres pada harga purata RM206,500. Sementara kediaman termurah di Perlis iaitu rumah kos rendah mempunyai purata RM129,286.

Tidak ada laporan berdasarkan mukim di Perlis.

2. Kedah

Kedah mempunyai pasaran hartanah yang semakin berkembang, dengan majoritinya masih berbentuk atas tanah.

Di Kedah, rumah teres paling murah boleh didapati di Kuala Muda dengan purata harga RM188,077. Bagi rumah kos rendah pula, Baling dan Pendang mencatatkan angka jualan paling rendah berbanding semua mukim.

3. Pulau Pinang

Berpeluh juga sebenarnya tengok harga kediaman di Pulau Pinang, kan?

Dalam laporan NAPIC, mukim di Pulau Pinang dibahagikan kepada lokasinya denan Pulau Pinang Selatan mencatatkan purata harga jualan rumah teres terendah pada harga RM326,334.

Begitu juga bagi rumah kos rendah di Pulau Pinang, mukim selatan juga menawarkan harga jualan paling rendah iaitu sekitar purata RM66,357.

4. Perak

rumah teres

Batang Padang mencatatkan harga kediaman teres paling murah iaitu sekitar RM181,818 dengan Kuala Kangsar tidak ketinggalan jauh, mampu dimiliki pada harga RM191,737.

Bagi kediaman teres kos rendah pula, mukim Batang Padang turut menawarkan kediaman paling murah dengan harga yang hanya mencecah RM86,750.

5. Selangor

Pasti ramai berdebar nak tahu di mana kediaman termurah di negeri termaju Malaysia. Mukim yang mencatatkan harga kediaman teres paling murah adalah Hulu Selangor di mana hasil kajian menunjukkan dengan hanta RM257,983 anda boleh menjadi pemilik rumah teres.

Sementara itu rumah teres kos rendah termurah di Selangor, ditawarkan di Kuala Selangor dengan harga purata RM134,000.

6. WP Kuala Lumpur

Di Kuala Lumpur, yang murah pun ternyata mahal jika dibandingkan dengan negeri lain. Tetapi kalau anda nak sangat tinggal di Kuala Lumpur, cuba lawati kawasan sekitar Setapak.

Di sana rumah teres masih boleh dimiliki pada purata harga RM591,180 dengan harga unit paling rendah adalah RM317,000. Rumah teres kos rendah di Kuala Lumpur pula mampu mencecah RM190,000 ke RM300,000 bergantung kepada mukim.

Jika anda memiliki kediaman beralamatkan 'Kuala Lumpur,' anda sebenarnya memiliki hartanah yang agak bernilai sebenarnya.

7. WP Putrajaya

Semakin ramai orang berebut untuk tinggal di Putrajaya kerana sistem penduduknya yang dikatakan sangat tersusun. Pada penulis, bolehlah. Tetapi penulis merasa aneh duduk dalam kediaman tidak berpagar antara satu sama lain.

Sebuah rumah teres di Putrajaya secara puratanya dijual pada harga RM688,667. Tidak ada rumah kos rendah, tetapi ada pangsapuri kos rendah ditawarkan. Harga satu unit pangsapuri kos rendah di Putrajaya mempunyai purata harga jualan RM266,667.

8. Pahang

rumah kos rendah pahang

Tahukah anda di mana mukim kediaman teres termurah di Pahang? Cuba teka?

Lokasi kediaman teres paling murah di Pahang terletak di Jerantut, dengan angka jualan mampu mencapai sekitar RM202,522. Selain itu Rompin juga merupakan antara kawasan berhartanah murah.

Rumah teres kos rendah di Pahang pula boleh ditemui di Bera, dengan purata nilai jualan RM96,000.

9. Terengganu

Patutlah orang Besut selalu tampak ceria-ceria. Kediaman jenis teres paling murah boleh ditemui di mukim tersebut, dijual dengan harga purata RM239,607.

Begitulah juga dengan rumah teres kos rendah di Besut yang mempunyai harga purata terendah dalam negeri Terengganu, dijual pada harga RM73,600.

10. Kelantan

Mukim Tanah Merah menjadi lokasi di mana kediaman jenis teres termurah masih boleh dibeli di Kelantan, secara puratanya dijual pada nilai RM165,143.

Sementara itu data berkenaan projek perumahan kos rendah di Kelantan kurang lengkap, dengan hanya beberapa mukim menyumbangkan data.

Di antara Bachok, Gua Musang, Kota Bharu, Kuala Krai dan Pasir Mas, Bachok dan Kuala Krai menawarkan harga rumah teres kos rendah termurah di antara RM80,000 ke RM84,667.

11. Negeri Sembilan

Beberapa buah mukim di Negeri Sembilan menawarkan kediaman teres pada harga berpatutan, dengan tiga mukim iaitu Tampin, Jempol dan Jelebu memberikan pilihan pada harga purata RM212,975 ke RM219,500.

Ramai kawan penulis duduk di Jelebu, tetapi bekerja di Seremban. Mereka kata dekat. Entahlah. Dekat la kot agaknya?

Bagi kediaman teres kos rendah pula, Jempol mempunyai tawaran harga terendah dengan purata harga RM84,286 jika dibandingkan dengan mukim-mukim lain di sana.

12. Melaka

Ramai orang kata rumah di Melaka masih berpatutan harganya. Betul ke? Rumah teres di Melaka khasnya di mukim Jasin masih mampu dimiliki pada harga RM209,324.

Sementara itu bagi kediaman teres kos rendah pula, mukim sama iaitu Jasin menawarkan harga purata RM87,485 untuk satu unit. Best ke duduk Jasin?

Kalau best penulis ingat nak beli jugalah satu unit di sana.

13. Johor

Sama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor, harga kediaman di Johor memang duduk di satu takuk berbeza. Tetapi secara puratanya tidaklah menyamai tiga negeri yang penulis sebutkan itu kecuali di kawasan-kawasan bandar.

Kawasan Segamat mencatatkan purata harga jualan paling rendah dengan harga jualan sekitar RM235,781. sementara bagi teres kos rendah pula, Segamat juga memegang rekod paling berbaloi dengan harga purata jualan hanya RM59,111. Tak tahulah bagaimana agaknya rupa unit berharga sedemikian.

14. WP Labuan

Adakah harga kediaman atas tanah di Wilayah Persekutuan Labuan berpatutan berbanding Sabah?

Berdasarkan kajian yang dijalankan, didapati secara puratanya harga kediaman jenis teres di Labuan mempunyai harga yang agak tinggi sekitar RM410,375. Sementara itu bagi rumah teres kos rendah, tidak ada data disediakan.

15. Sabah

rumah mampu milik5

Berbeza dengan Labuan, harga kediaman di Sabah boleh dikatakan berada dalam kategori yang jauh lebih rendah kadarnya.

Di Sabah, beberapa buah mukim menunjukkan purata harga di bawah RM300,000 bagi unit kediaman teres seperti Kota Marudu, Tenom, Kudat dan Ranau, dengan Kudat mencatatkan harga purata terendah iaitu RM281,972.

Bagi kediaman kos rendah pula, tidak banyak data dapat dikumpulkan dengan hanya 6 mukim memberikan angka harga yang diperolehi. Dua mukim iaitu Tawau dan Papar mencatatkan kadar harga termurah iaitu RM198,833 dan RM170,000 harga purata seunit.

16. Sarawak

Negeri terakhir dalam senarai, Sarawak mempunyai beberapa buah mukim di mana purata harga satu unit kediaman teres masih boleh diperolehi bawah harga RM300,000. Mukim yang disenaraikan adalah Betong, Limbang, Miri dan Sri Aman.

Sama seperti Sabah, data untuk kadar harga teres kos rendah di Sarawak juga menunjukkan bukan semua mukim membekalkan data. Mukim seperti Kapit dan Sarikei mencatatkan purata harga paling murah iaitu RM158,000 bagi Kapit, dengan Sarikei menawarkan harga purata RM143,667.

Rujukan

Laman Web NAPIC




Hakcipta iluminasi.com (2017)