Oleh pada 04 Oct 2018 kategori

giovani falcone hakim yang melawan mafia 874

Pada 23 Mei 1992, Giovanni Falcone, salah seorang daripada pendakwa raya dan hakim yang paling berani di Itali telah dibunuh oleh Mafia Sicilian (La Cosa Nostra).

Pembunuhan beliau dilakukan dengan cara yang agak ganas dan kejam apabila kereta yang dinaiki Giovanni meletup akibat bom seberat setengah tan.

peguam lawyer giovanni falcone mafia

Kejadian ini berlaku tak lama selepas Giovanni mempengerusikan perbicaraan Maxi Trial yang mengheret kumpulan mafia La Cosa Nostra ke muka pengadilan.

Sepanjang perbicaraan Maxi dan kebanyakan daripada jangka hayat hidupnya, Giovanni telah melakukan apa yang termampu dalam menentang jenayah oleh mafia di Itali.

Namun, beliau sendiri tahu bahawa tindakannya itu akan membuatkannya terbunuh satu hari nanti.

Kehidupan awal seorang hakim berani

giovani falcone

Dilahirkan di sebuah daerah miskin di Palermo, Sisilia, zaman kanak-kanak Giovanni Falcone yang dicemari dengan keganasan oleh Mafia. Ia menjadi pendorong kepada Giovanni, yang bercita-cita untuk menjatuhkan kesemua mafia apabila beliau meningkat dewasa.

Giovanni menyambungkan pelajaran dalam kursus undang-undang di Universiti Palermo dan lulus pada tahun 1961. Beliau hanya menjadi pengamal undang-undang selama tiga tahun sahaja sebelum dilantik menjadi hakim pada tahun 1964.

Ditugaskan untuk menyiasat kes muflis, Giovanni tidak lama kemudian mengesan banyak rasuah yang membawa beliau berhadapan dengan bos Mafia.

Pendakwaan awal yang dilakukan oleh Giovanni telah menyebabkan kematian ketua majistret yang mana telah dibunuh oleh mafia sebagai balas dendam.

Menjelang tahun 1980, Giovanni mempelajari sendiri tentang undang-undang anti-Mafia melalui Pejabat Arahan - cawangan penyiasatan Pejabat Pendakwa Palermo, ibu kota Sisilia.

Giovanni menyertai cawangan ini ketika suasana tersangat genting di Palermo. Sebelum ketibaannya, La Cosa Nostra telah membunuh Hakim Cesare Terranova dan ketua polis Boris Giuliano.

mafia la cosa nostra

Kedua-dua individu ini merupakan pendakwa utama dalam operasi pengedaran dadah Mafia dan jenayah lain. Mereka mempengerusikan cawangan baru disertai oleh Giovanni.

Pendek kata, Giovanni seolah-olah menandatangani "waran kematian" apabila beliau bersetuju menyertai Pejabat Pendakwaan Palermo. 

Namun, semangat dan keghairahan Giovanni terhadap kerja penyiasatan anti-mafia terbukti lebih kuat berbanding ketakutannya terhadap kematian.

Beliau berkata, "Tiada beza antara kepentingan kematian dengan butang di jaket saya. Saya orang Sisilia yang sebenar,".

Hidup dalam persembunyian

giovani falcone bersama pengawal peribadi

Giovanni Falcone melaksanakan semua tugasannya untuk pejabat pendakwa di sebuah bunker kalis bazooka, bawah tanah mahkamah bandar tersebut. Ruang kerjanya mempunyai kawalan yang agak ketat.

Rumahnya juga dilengkapi dengan tahap pengawasan yang sama dan ke mana sahaja Giovanni pergi, beliau dikawal oleh sebuah kenderaan berperisai. 

Tahap kerahsiaan dan keselamatan ini meresapi ke dalam setiap aspek kehidupan Giovanni. Beliau berkahwin dengan isterinya secara rashia, tidak disertai oleh keluarga atau kawan, hanya disertai oleh datuk bandar sendiri.

Setiap usaha perlu diambil untuk memastikan keselamatan bukan sahaja untuk dirinya sendiri, tetapi mereka yang paling dekat dengannya.

Kejayaan Giovanni sebagai pendakwa membolehkan beliau tergolong dalam kumpulan informasi tak rasmi, dikenali sebagai "Antimafia Pool".

giovani falcone diiringi pihak polis

Kumpulan ini terdiri daripada penyelidik terpilih yang berkongsi maklumat dalam usaha untuk mencipta strategi pendakwaan terhadap penjenayah dan mafia.

Ahli kumpulan tersebut, hakim Paolo Borsellino, Giuseppe Di Lello dan Leonardo Guarnotta, kesemuanya menandatangani kontrak yang melindungi penyiasatan mereka dan diri mereka daripada sebarang ancaman mafia Cosa Nostra.

Kerja-kerja oleh Antimafia Pool ini telah membawa kepada satu perbicaraan terbesar yang pernah melanda La Cosa Nostra dalam sejarah mafia ini, dikenali sebagai Perbicaraan Maxi.

Perbicaraan Maxi

perbicaraan maxi

Perbicaraan Maxi adalah perbicaraan yang paling penting dan berkesan yang pernah dilakukan terhadap Mafia Sisilia dan dianggap secara meluas sebagai salah satu perbicaraan terbesar dalam sejarah.

Ia merupakan kali pertama kewujudan Cosa Nostra disahkan oleh kehakiman dan pengesahan ini sangatlah penting.

Sejumlah 474 anggota Mafia didakwa atas pelbagai jenayah dan 360 daripada mereka yang terdakwa telah disabitkan kesalahan.

Jumlah hukuman penjara dikenakan terhadap mereka adalah 2,665 tahun, tidak termasuk 19 yang dijatuhkan penjara seumur hidup yang mana terdiri daripada ketua Mafia dan pembunuh upahan.

Giovanni Falcone mengetuai pendakwaan untuk perbicaraan yang bermula pada 10 Februari 1986 dan berakhir pada 16 Disember 1987.

Detik paling penting dalam perbicaraan ini, selain daripada dakwaan sejumlah besar anggota Cosa Nostra adalah kesaksian Tommaso Buscetta.

Tommaso adalah bos Mafia yang pertama membelot dan menjadi pemberi maklumat. Dia memberi amaran kepada Giovanni tentang siasatannya, "Ini akan membuat anda terkenal dan membawa kepada kematian anda."

mafia yang disabitkan kesalahan 247

Giovanni kemudian mendapat maklumat bahawa ahli mafia, Rosario Spatola dan Salvatore Inzerillo memindahkan dadah heroin dari Sisili kepada keluarga Gambino di New York.

Jadi, Giovanni bekerjasama dengan Rudy Giuliani, yang ketika itu berkhidmat sebagai Peguam A.S. untuk Daerah Selatan New York. Bersama-sama mereka menyiasat operasi terhadap keluarga Gambino dan Inzerillo.

Bantuan daripada Rudy bersama-sama Giovanni sangat penting dalam merungkai rangkaian dadah Mafia, yang dikenali sebagai kes "Pizza Connection".

Pembunuhan Giovanni Falcone

giovani falcone hakim berani

Kerja-kerja Giovanni Falcone di Sicily dan di luar Sicily mula membuatkan ramai penjenayah berang.

Pada Jun 1989, sebuah guni dipenuhi dengan dinamit ditemui oleh polis berhampiran sebuah rumah yang disewa Giovanni. Namun, di atas sebab tertentu, bom tersebut tidak diletupkan.

Berikutan percubaan pembunuhan ini, Giovanni berkata kepada rakan sekerjanya:

"Kehidupan saya telah ditentukan. Adalah menjadi takdir saya untuk peluru-peluru Mafia mengenai badan saya satu hari nanti. Satu-satunya perkara yang saya tidak tahu adalah bila ia akan berlaku,".

Hari tersebut datang tak lama selepas sabitan Perbicaraan Maxi yang dilakukan di Mahkamah Agung pada Januari 1992.

Disebabkan perbicaraan ini merupakan tamparan hebat kepada kuasa La Cosa Nostra, pegawai atasan mafia berasa mereka perlu membalas dengan sewajarnya.

pembunuhan giovani falcone 2

Salvatore Riina, ketua La Cosa Nostra, memberikan tugas untuk membunuh Giovanni Falcone kepada Giovanni Brusca, yang dikenali sebagai “lo scannacristiani” atau "penyembelih."

Serangan pada 23 Mei 1992 tersebut dilakukan di atas lebuhraya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Palermo menuju ke arah bandar. Ia merupakan jalan yang digunakan Giovanni untuk pulang ke rumahnya ketika lawatan mingguannya ke Sisilia.

Giovanni Brusca meletupkan bom yang dipasangkan pada kereta tersebut menggunakan alat kawalan jauh, menghancurkan sebahagian daripada lebuhraya dan membunuh Giovanni Falcone dan isterinya, serta 3 anggota keselamatan.

salvatore riina

(Salvatore Riina)

Salvatore Riina dilaporkan mengadakan pesta untuk meraikan kematian Giovanni Falcone.

Lapangan tersebut kini dinamakan bersempena beliau dan Giovanni telah dianugerahkan Anugerah Keberanian Yayasan Train Foundation sebagai pengiktirafan terhadap tindakan heroiknya yang mengorbankan nyawanya serta meninggalkan kesan yang luar biasa terhadap sejarah.

Rujukan:

1. Telegraph

2. Life In Italy

3. We Are Palermo


tags : , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)