Semua teknologi yang ada pada hari ini mempunyai faedah dan akibatnya sama ada baik atau buruk. Teknologi internet adalah contoh terbaik untuk kita jadikan kajian.

Internet mempunyai banyak kebaikan seperti menghubungkan orang di seluruh dunia tanpa sempadan, membekalkan maklumat dan memudahkan pelbagai perkara lagi. Pada masa yang sama, internet juga mempunyai beberapa keburukan dan salah satunya adalah buli siber atau cyberbullying yang ingin kami ketengahkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dengan menyembunyikan identiti mereka, seseorang individu itu boleh melakukan kejahatan seperti buli siber. Masalah buli siber ini dilihat semakin meningkat di kalangan remaja terutamanya bagi mereka yang menggunakan media sosial.

Masalah buli siber ini melibatkan pelbagai perbuatan seperti memanggil seseorang dengan nama menjelekkan, menyebarkan fitnah, mengugut, memalukan dan banyak lagi. Walaupun semakin banyak kempen kesedaran telah diwujudkan, fakta dan statistik menunjukkan bahawa masalah penindasan siber ini tidak akan selesai dalam masa terdekat.

Buli siber di seluruh dunia

buli siber atas talian

Sebuah syarikat tinjauan antarabangsa iaitu Ipsos telah melakukan tinjauan terhadap orang dewasa berumur antara 16-84 tahun di 28 buah negara di seluruh dunia. Hasil tinjauan terhadap 20,793 individu itu menunjukkan bahawa terdapat peningkatan bilangan ibu bapa yang mendakwa anak-anak mereka pernah menjadi mangsa buli siber.

Ipsos memilih untuk melakukan tinjauan di 28 negara ini berdasarkan peratusan penduduk yang mengetahui wujudnya buli siber, negara itu mempunyai kempen kesedaran dan undang-undang anti-buli.

Penduduk Rusia dan Jepun mempunyai keyakinan tinggi bahawa mereka tidak mengalami sebarang kejadian buli siber sementara India pula merupakan yang tertinggi menyatakan mereka mengalami buli siber dan jumlah itu semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Tinjauan juga menunjukkan semakin ramai ibu bapa di seluruh Eropah dan Amerika yang menyedari pengalaman negatif anak-anak mereka dengan buli siber dalam talian ini. Berikut ialah carta 10 negara tertinggi mengalami buli siber menurut tinjauan yang dilakukan.

carta buli siber 251

Buli siber di Malaysia

Apa yang mengejutkan, Malaysia berada di tangga ke-6 tertinggi di dunia dan ke-2 di Asia dalam masalah buli siber. Bagaimana Malaysia yang pernah diklasifikasikan oleh Pusat Kajian Pew di Amerika sebagai salah sebuah negara paling konservatif dari segi moral boleh terjebak dengan buli siber ini?

Sebenarnya, kes buli siber di Malaysia berlaku setiap hari tetapi banyak yang tidak dilaporkan kerana proses birokrasi dan undang-undang yang panjang. 

Mungkin juga ramai pembuli tidak tahu bahawa sebarang kandungan berniat jahat di internet dengan tujuan menggangu, memprovikasi, mengancam atau menyalahguna adalah suatu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Di bawah Seksyen 233 (1), adalah menjadi kesalahan apabila membuat komen atau sebarang bentuk komunikasi yang tidak senonoh, lucah, palsu, menyinggung, menghina atau mengancam orang lain. Sekiranya didapati bersalah, tertuduh boleh didenda sehingga RM 50,000 atau dipenjarakan sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesan buli siber

buli siber di malaysia

Sebagai contoh, ada butiran mangsa yang disebarkan di internet kerana masalah percintaan, salah faham, fitnah dan banyak lagi. Masalah ini menjadi lebih besar apabila maklumat itu disebarkan ke dalam kumpulan di media sosial yang mempunyai ratusan ribu pengikut.

Keadaan menjadi semakin parah apabila ramai keyboard worrior yang tidak mengetahui hal sebenar menyerang dan mengganggu mangsa. Buli siber juga boleh dilakukan oleh individu yang dikenali mangsa.

Gangguan yang diterima mangsa ini boleh membawa kepada kemurungan, masalah mental dan lebih teruk lagi sehingga membunuh diri. Malah, buli siber juga menyumbang kepada peningkatan kes bunuh diri di kalangan remaja.

Kebanyakan mangsa juga malu untuk tampil terutamanya melibatkan gangguan seksual atas talian. Apabila tiada aduan dibuat, pembuli siber akan merasakan mereka terlepas dan apa yang dilakukan itu tidak memberi sebarang kesan buruk.

Pembuli siber juga sering menganggap bahawa troll itu adalah sesuatu yang lucu dan hanyalah gurauan di alam maya tanpa menyedari kesannya terhadap mangsa. Keyboard worrior atau pembuli yang dikenali mangsa ini biasanya adalah individu yang bersifat ego, mementingkan diri sendiri, pemarah atau pengecut dalam kehidupan nyata. 

Platform popular buli siber

bahaya buli siber

Menurut kajian yang dilakukan organisasi anti-buli Ditch the Label dari UK, seramai 42% orang mengalami buli siber di Instagram, 37% di Facebook, 31% di Snapchat dan 9% di Twitter.

Sebanyak tiga perempat (71%) responden juga mendakwa bahawa platform media sosial ini tidak mengambil langkah yang serius dalam melindungi pengguna daripada buli siber. Malah, hanya 27% sahaja responden yang membuat aduan walaupun tahu buli siber itu adalah satu kesalahan.

Buli siber ini juga bukan hanya sekadar di media sosial malah ia juga dilaporkan kerap berlaku dalam permainan video atas talian. Ditch the Label membuat tinjauan terhadap 2,500 individu pada 2019 dan 76% mengatakan mereka pernah mengalami buli siber dalam permainan video atas talian.

Cara menangani buli siber

hentikan buli siber

Sekiranya anda mengalami buli siber, langkah paling penting adalah memberitahu ibu bapa atau orang dewasa yang anda rasa selamat bercakap mengenainya. Sekiranya anda mengenali sesiapa yang menjadi mangsa buli siber pula, cuba untuk menghulurkan bantuan.

Anda boleh mendengar masalah mereka dan memberi pandangan positif atau melaporkan kejadian tersebut sekiranya mangsa malu atau buntu. Cara ini mampu mengurangkan tekanan yang dihadapi mangsa.

Mangsa juga perlu berehat seketika daripada media sosial bagi memberi ruang untuk pulih. Mangsa tidak digalakkan bertindak balas seperti marah atau menjawab semua komen pembuli kerana ia akan mendorong pembuli untuk bertindak lebih agresif.

Selain itu, anda juga perlu berfikir panjang sebelum memuat naik atau berkongsi apa sahaja dalam talian. Sebarang maklumat yang anda kongsikan mungkin boleh disalahgunakan oleh pihak lain kelak.

Rujukan:

1. Statistik buli siber antarabangsa

2. Buli siber di Malaysia

3. Cara menangani masalah buli siber




Hakcipta iluminasi.com (2017)