Oleh pada 16 Aug 2021 kategori

Agama Islam menuntut dan menggalakkan penganutnya untuk mempelajari sesuatu ilmu yang baru supaya dapat menghilangkan kejahilan, memberikan kebaikan serta lebih mendekatkan diri dengan Allah S.W.T.

sihir arab saudi

Namun, ada juga ilmu yang tidak sepatutnya dipelajari. Salah satunya ialah sihir atau ilmu hitam. Sihir adalah perbuatan yang dilarang di dalam agama dan merupakan salah satu daripada tujuh dosa besar yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W.

Orang yang melakukan sihir dianggap sebagai kufur kerana telah menyekutukan Allah S.W.T dengan meminta bantuan makhluk lain seperti jin dan syaitan yang sememangnya mahu menyesatkan manusia.

Sihir bukanlah sesuatu yang baru tetapi telah diceritakan di dalam al-Quran tentang bagaimana umat Nabi Musa A.S dan Nabi Sulaiman A.S mengamalkannya. Malangnya, amalan sihir juga masih wujud di kalangan umat Islam di Malaysia.

Bahkan, sihir juga diamalkan di seluruh dunia termasuklah di negara Islam seperti Arab Saudi. Kita tahu bahawa Arab Saudi mengamalkan undang-undang Syariah sepenuhnya dan merupakan tempat terletaknya dua kota suci umat Islam iaitu Mekah dan Madinah.

Bagaimanakah Arab Saudi menanganinya?

Sejak lebih sedekad yang lalu, kes amalan sihir di Arab Saudi dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun. Perkara ini agak membimbangkan pihak berkuasa yang mencuba sedaya upaya untuk membendung sebarang perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam.

gambar sihir

Namun, tindakan Arab Saudi menyelesaikan kes amalan sihir dan menghukum pelakunya dilihat sebagai berat sebelah dan tidak berperikemanusiaan oleh pihak barat. Mereka menganggap pihak berkuasa Arab Saudi sewenang-wenangnya menghukum orang yang disyaki mengamalkan ilmu hitam atau sihir.

Kebanyakan pesalah yang mengamalkan sihir di Arab Saudi adalah pekerja dari negara luar. Media barat menganggap golongan pekerja ini sering ditindas dan mudah dihukum kerana mengamalkan ajaran Islam yang berbeza disebabkan adat dan budaya.

Sejauh manakah kebenaran dakwaan pihak barat ini terhadap pihak berkuasa Arab Saudi dalam menangani sihir? Berikut adalah cara bagaimana pihak berkuasa Arab Saudi berhadapan dengan kes amalan sihir.

Menubuhkan pasukan khas

Pada tahun 2009, pihak berkuasa Arab Saudi yang dikenali sebagai Polis Agama telah menubuhkan satu unit khas yang dinamakan sebagai Unit Anti-Sihir. 

Tugas utama pasukan khas ini adalah untuk mendidik masyarakat tentang keburukan menggunakan sihir. Mereka juga menyelesaikan masalah berkaitan sihir seperti mengubati pesakit, memusnahkan sihir yang dihantar dan menghapuskan objek yang dipercayai berkaitan amalan sihir.

polis agama arab saudi

Polis Agama Arab Saudi sedang menjalani khusus latihan

Pada tahun pertama ditubuhkan, sebanyak 118 orang telah dikenakan tuduhan atas amalan sihir di Mekah sahaja. Mereka dipercayai mengamalkan sihir atau menggunakan kitab al-Quran dengan cara yang tidak sepatutnya (mengoyakkan, memijak, meletakkan di dalam tandas dan lain-lain lagi).

Dua tahun selepas ditubuhkan, Unit Anti-Sihir ini telah berkembang di sembilan bandar utama di Arab Saudi. Unit itu juga telah menyelesaikan sebanyak 586 kes berkaitan sihir di mana kebanyakannya dilakukan pekerja asing warga Indonesia dan Afrika.

Namun, pihak barat melihat perkara ini sebagai tidak masuk akal kerana mereka tidak percayakan tentang sihir dan cara pihak berkuasa Arab Saudi menanganinya.

Menerima dan menyiasat maklumat

Orang ramai boleh membuat laporan dan menyalurkan maklumat melalui talian hotline atau laman web Unit Anti-Sihir berkaitan amalan sihir yang berlaku di sekeliling mereka kepada pegawai tempatan. 

black magic arab saudi

Ketua Unit Anti-Sihir Riyadh iaitu Sheikh Adel Faqih memberitahu Saudi Gazette bahawa mereka tidak akan mendedahkan maklumat orang yang melaporkan perbuatan sihir itu.

Sheikh Adel juga menegaskan bahawa pihaknya akan menyiasat terlebih dahulu dakwaan yang diterima secara terperinci sebelum membuat tindakan lanjut. 

Media barat dan beberapa pertubuhan hak asasi kemanusiaan tidak begitu bersetuju kerana menganggap golongan pekerja asing sering menjadi mangsa majikan yang menuduh mereka mengamalkan sihir.

Mengumpul bukti kukuh

Sheikh Faqih juga mendakwa bahawa pelbagai proses perlu dilakukan setelah menerima aduan orang awam. Mereka akan mengumpulkan bukti yang kukuh sebelum melakukan penahanan ke atas suspek yang terlibat dalam jenayah sihir.

objek sihir

Mereka akan menyiasat bukti jika suspek pernah membuat pembelian atau permintaan "haiwan dengan ciri-ciri tertentu" atau pernah meminta haiwan seperti kambing "disembelih tanpa menyebut nama Allah".

Unit khas itu juga akan melakukan pemeriksaan di premis atau kediaman suspek bagi sebarang objek mencurigakan berkaitan sihir seperti azimat, buku sihir, al-Quran yang digunakan dengan cara salah, darah haiwan dan pelbagai benda pelik lagi.

Melakukan penyamaran

Unit Anti-Sihir juga akan melakukan penyamaran atau undercover bagi memerangkap suspek. Biasanya, ia dilakukan selepas menerima aduan orang ramai.

Mereka akan menyamar sebagai pelanggan yang memerlukan perkhidmatan dukun atau bomoh yang menjadi suspek. Kebanyakan dukun atau bomoh ini menawarkan perkhidmatan menilik nasib, memisah atau menundukkan pasangan, memaju atau menjatuhkan perniagaan dan pelbagai lagi.

Menjalankan perbicaraan

Setelah semua bukti yang diperlukan telah dikumpul, suspek jenayah sihir akan dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan. Bagi warga asing yang kurang fasih berbahasa Arab, khidmat penterjemah bahasa akan disertakan bersama.

mahkamah saudi

Jika didapati bersalah, seseorang itu boleh dihukum sebat, penjara dan paling berat ialah hukuman mati dengan cara pancung kepala. Hukuman ini ditentang oleh pihak barat yang melihat bahawa tiada undang-undang dunia terhadap jenayah sihir.

Pertubuhan hak asasi manusia juga mendakwa bukan semua pekerja asing mampu untuk mengupah peguam bagi membela mereka semasa perbicaraan. Oleh itu, ia dianggap berat sebelah.

Walau apa sekalipun anggapan pihak barat, pihak berkuasa Arab Saudi tetap dengan pendirian mereka dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan amalan sihir dan tidak mendedahkan semuanya dengan terperinci. 

Pihak Arab Saudi juga mendakwa mereka tidak sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman berdasarkan tuduhan dan tindakan yang tidak berasas.



Hakcipta iluminasi.com (2017)