Oleh pada 16 Jan 2018 kategori

Sumber foto: Malaysiakini / Lim Huey Teng

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi), Tun Dr Mahathir Mohamad menolak tawaran Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Azmin Ali untuk bertanding di kerusi Parlimen Gombak.

Sebaliknya, beliau telah memuktamadkan keputusan tersebut kerana lebih berminat untuk bertanding di Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya.

Meskipun demikian, Dr Mahathir menghargai tindakan Azmin, namun sudah nekad dengan keputusan tersebut.

Menerusi sebuah kemaskini di akaun Twitter milik Azmin pada malam Sabtu, beliau sedia melepaskan kerusi Parlimen Gombak kepada Tun Dr Mahathir pada pilihan raya akan datang, jika dipersetujui oleh PKR.

Ia berikutan peringatan terbuka Datuk Zaid Ibrahim bahawa kemenangan tidak semestinya milik Dr Mahathir di Kubang Pasu, Putrajaya mahupun Langkawi.

Menurutnya lagi, Pakatan Harapan perlu menjamin kerusi selamat untuk pengerusinya yang juga calon perdana menteri gabungan itu.

Dalam pada itu, Dr Mahathir memberitahu beliau sedia mempertimbangkan semula dengan Amanah, untuk peluang bertanding di ibu negara.

“Kalau ada cadangan, kita hendak dengar. Apa-apa cadangan kita okay. Kita boleh dengar, tetapi sama ada hendak setuju atau tidak, itu perkara lain,” katanya.

Amanah tidak ditetapkan sebarang kerusi di Kuala Lumpur, manakala PPBM pula akan bertanding di dua buah kerusi di Wilayah Persekutuan, termasuk Putrajaya.

Dr Mahathir ditemui selepas melancarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Setiawangsa pada malam Ahad. 

Sumber berita: mStar Online & Free Malaysia Today




Hakcipta iluminasi.com (2017)