Kredit foto: Instagram Azharina Azhar
Penyanyi Azharina Azhar mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan ejen pembantu rumah selepas mendapati pekerja wanita yang diserahkan kepadanya tidak kembali berkhidmat sejak 31 Oktober lalu.
Susulan itu, beliau mengalami kerugian lebih RM6,000.
Kejadian bermula apabila pembantu rumah warga tempatan berusia 54 tahun berasal dari Pasir Gudang, Johor itu mula berkhidmat dengannya pada 26 September lalu.
“Saya membayar RM4,940 kepada syarikat berkenaan bagi tempoh dua tahun pembantu rumah itu bekerja. Saya juga menandatangani kontrak disediakan.
“Saya juga sudah membayar RM700 untuk kontrak dan RM900 sebagai gaji permulaan pembantu rumah itu,” katanya memetik laporan portal Harian Metro.
Namun, hanya selepas sebulan bekerja, pembantu itu meminta izin daripada pengurusnya untuk pulang ke kampung atas urusan keluarga.
“Atas dasar perikemanusiaan, saya bersetuju memberikannya cuti. Malangnya, sehingga semalam (kelmarin) dia tidak muncul. Saya cuba menghubungi nombor telefonnya, tetapi gagal.
“Saya menghubungi anaknya pula dan bertanyakan mengenai ibunya. Menerusi perbualan kami, anaknya berjanji untuk memaklumkan perkara ini kepada ibunya. Sehingga semalam (kelmarin) tidak ada jawapan diberikan. Jadi, saya beranggapan ini permainan syarikat itu,” ujarnya.
Berikutan itu, penyanyi ini membuat laporan kepada pihak polis di Balai Polis Bandar Kinrara, Puchong, kelmarin.
Kata Azharina, dia mengesyaki sesuatu yang tidak kena apatah lagi selepas nombor telefon syarikat berkenaan gagal dihubungi kerana sudah ditamatkan perkhidmatan.
“Ini bukan kali pertama saya terkena. Sebelum ini, saya rugi RM2,000 apabila pembantu rumah warga asing yang diambil dari sebuah agensi melarikan diri selepas kurang sejam berada di rumah.
“Jadi, apabila berlaku perkara ini, naluri saya kuat mengatakan wujud sindiket penipuan membabitkan syarikat ini,” dedahnya.
Azharina menjelaskan tindakannya membawa isu itu kepada pihak polis kerana ingin mereka mengambil tindakan sekaligus mengelakkan individu lain daripada menjadi mangsa seterusnya.
“Saya ada salinan perjanjian dan resit pembayaran. Selain itu saya juga menyimpan maklumat peribadi wanita itu,” katanya.
Sumber berita: Harian Metro