azharina azhar ambil anak angkat baru mahu buka rumah anak yatim

Kredit foto: Instagram Azharina Azhar

Penyanyi Azharina Azhar mengambil seorang lagi anak angkat baru.

Dilahirkan pada Rabu lalu, bayi lelaki dengan berat 3.2kg itu diberi nama Redha.

Redha adalah anak angkat ketiganya selepas Rahmat Azharin Azhar dan Rizqie Azharin Azhar.

“Alhamdulillah, ini satu lagi rezeki untuk saya dah keluarga. Pada April lalu ibu kepada Redha menghubungi saya, lebih kurang sebulan selepas Rizqie meninggal dunia.

“Dia meminta saya menjadikan bayi yang dikandungnya sebagai anak angkat kerana berdepan masalah kewangan sebagai ibu tunggal.

“Namun, pada waktu itu saya tidak menjanjikan apa-apa kerana masih bersedih dan belum bersedia,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Penyanyi berusia 32 tahun itu mempunyai alasan tersendiri mengapa memilih nama Redha. 

“Redha bererti kami sekeluarga reda dengan pemergian Rizqie. Sekali pandang, wajah Redha seiras Rahmat dan Rizqie,” dedahnya.

Dalam pada itu, Azharina atau mesra disapa Nina berkata, dia lebih selektif dalam memilih pengasuh yang bakal menjaga bayi itu nanti.

“Saya trauma selepas kehilangan Rizqie. Kali ini, saya mengambil pengasuh yang bertauliah dan berpengalaman untuk menguruskan Redha,” katanya.

Sementara itu, penyanyi yang pernah popular dengan lagu Elegi Sepi itu juga menyimpan hasrat untuk membuka rumah anak yatim dengan tujuan meringankan beban keluarga yang mengalami kesempitan hidup.

“Saya menjadikan pelakon Angelina Jolie sebagai inspirasi. Kalau boleh, saya ingin membuka rumah anak-anak yatim atau pusat asuhan untuk menjaga anak-anak ini,” luahnya.

Terdahulu, anak angkat Azharina yang bernama Rizqie meninggal dunia kerana komplikasi pelbagai penyakit. Manakala seorang lagi anak angkatnya, Rahmat kini telahpun mencapai usia tiga tahun.

Sumber berita: Harian Metro

tags : , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)