Oleh pada 22 Jul 2017 kategori

Biasanya lelaki dikatakan kurang memahami wanita kerana banyak tindakan lelaki yang buatkan wanita marah. Sesungguhnya lelaki dan wanita itu diciptakan dengan naluri yang amat berbeza. Lelaki lebih ringkas dan bersahaja manakala wanita pula lebih rumit dan kompleks.

Namun kadang-kadang terdepat segelintir kaum adam ini yang tidak pernah belajar daripada kesalahan yang sentiasa membuatkan si wanita merajuk atau marah. Lelaki diciptakan dengan lebih kesabaran, jadi perlu lebih bersabar dengan kerenah dan emosi wanita. Ingat, wanita itu bukan untuk difahami tetapi untuk disayangi.

BESARKAN TEKS     A-  A+

iluminasi.com ingin berkongsi dengan anda 10 ayat yang dicakapkan oleh lelaki yang boleh membuatkan wanita merajuk dan marah tanpa sebab.

1. "Relax la..bawak bertenang.."

Biasanya lelaki akan cakap begini apabila si wanita tengah marah atau tertekan. Tapi, biasalah, lelaki kurang sensitif akan persekitarannya. Jika anda cakap macam ni, anda seolah-olah mencurahkan petrol pada api yang sedang menyala.

Mengapa? Ia kerana anda seolah-olah ingin mengatakan yang si wanita tidak dapat kawal perasaan, dan anda, si lelaki, yang lebih rational dan tenang.

Seelok-eloknya, tanya apa yang berlaku dan ingat, guna nada yang lembut, pasti wanita akan lebih sejuk.

2. "Awak nampak letih hari ni..."

Nampak macam si lelaki prihatin terhadap wanita, tetapi bagi wanita, yang mana sentiasa mementingkan kecantikan, akan mentafsirkannya sebagai anda mengatakan mereka kelihatan kusut dan tak terurus dari segi penampilan. Jangan biasakan mentafsir sesuatu yang anda lihat dalam bentuk ayat kerana cara pemikiran wanita agak lain dari lelaki.

Biasakan tanya terlebih dahulu, sebagai contoh, "Banyak kerja ke harini?". Ia menampakkan yang anda ingin tahu, bukan anda menghakimi.

3. "Ada apa lagi ni....?"

Menurut Dr. John Gottman, ayat ini menyampai mesej ketidaksabaran dan kemarahan si lelaki mengenai sesuatu yang tak berkesudahan. Jangan cepat melenting, sebaliknya apabila setiap kali wanita cuba untuk berkomunikasi dengan anda, ia adalah satu peluang untuk berhubung secara emosi.

Daripada anda membalas balik menggunakan emosi kepada wanita yang sememanyag sentiasa beremosi dan tak stabil, lebih baik anda sabar sikit dan tanya apa yang dia fikirkan.

4. "Eh awak nampak cantik/kurus la. Berapa kilogram berat turun?"

Ya, semua orang tahu yang anda ikhlas nak puji wanita yang mereka betul-betul nampak menarik. Tapi cara ini membuatkan si wanita itu berasa yang mereka sebelum ini tak cantik atau gemuk. Jangan sesekali puji wanita dengan membandingkan penampilan mereka yang lalu dan sekarang.

Nak puji, ada cara. Jika ada sesuatu yang baru, contohnya kasut atau tudung baru, itu yang patut anda puji. Ia menampakkan yang anda peka, dan buatkan si wanita tahu awak peka dan dia buat pilihan yang tepat. Keyakinan mereka akan bertambah.

5. "Awak habiskan semua makanan ni...?"

Yang ini bahaya, bab makan memang sensitif. Kadang-kadang si lelaki memang benar-benar kagum melihat si wanita yang kurus tapi boleh habiskan makanan yang banyak. Tapi, faham sajalah wanita, mereka akan rasa yang anda memerli kerana nafsu makan mereka kuat dan membuatkan mereka malu. 

Mereka juga akan rasa yang apa yang mereka makan itu boleh buatkan mereka gemuk. Jadi, jangan hairan kalau si wanita dah tak mahu makan banyak lagi, sebab anda cakap begitu. Dan elakkan untuk berkata, "Banyak ni je ke makan?". Ia menunjukkan anda seolah-olah mengawal berapa banyak si wanita perlu makan. Biarkan mereka makan sebanyak mana mereka mahu.

6. "Awak nak pakai macam tu ke....?"

Ini satu masalah besar. Dah la si wanita itu habiskan masa berjam-jam nak bersiap dan pilih pakaian mana nak pakai, si lelaki pula boleh tanya macam ni. Dengan bertanyakan macam ni, dengan jelas anda menyampaikan mesej yang pakaian si wanita pakai itu tak sesuai. 

Anda tak sepatutnya mengkritik sebegitu, sebaliknya perlu memuji apa saja pakaian yang dipilihnya, untuk menambahkan keyakinan diri mereka. Jika betul-betul tak sesuai, gunakan pendekatan lain, dengan mencadangkan pakaian lain dan memberikan alasan yang anda suka dengan warnanya.

7. "Bukan macam tu caranya..."

Tak mengapa kalau anda berdua sahaja, tetapi kalau di tempat umum, ia sebaik-baiknya dihindarkan. Bukan tak boleh bergurau, tetapi perlu lihat tempat dan masa. Dengan berkata begini, anda seperti merendah-rendahkan kebolehan si wanita seolah-olah si dia tak tahu apa-apa. 

Ia amat memalukan dan mengurangkan keyakinan diri mereka. Sebaliknya anda perlu tawarkan pertolongan dengan berkata, "Biar saya bantu awak..". Dengan ini, si wanita yang tak tahu akan berasa lega awak menolongnya dan tak malu kerana tiada siapa tahu yang si dia tak pandai buat perkara itu.

8. "Dengar sini.."

Ini sangat biasa dilakukan, mungkin si lelaki berasakan bahawa si wanita tidak memberikan perhatian. Namun, dengan berkata begini, si wanita akan berasa yang anda memerintah supaya mendengar apa yang anda cakap. Dan tugas utama si wanita adalah untuk mendengar sahaja cakap anda.

Mereka akan berasa tercabar dan marah, lebih-lebih lagi jika anda sememangnya sedang bertengkar pada mulanya. Jika si wanita seolah-olah tidak memberi perhatian, pegang tangannya dan lihat tepat kepada mata sambil bercakap. Mesej yang hendak disampaikan lebih mudah diterima.

9. "Biar saya buat, ini kan kerja lelaki..."

Memang jelas yang anda menyatakan bahawa sesuatu yang dilakukan itu tidak mampu dilakukan oleh wanita. Apa sebenarnya kerja lelaki yang dimaksudkan? Kerja berat? Kerja yang sukar? Ia memberi mesej bahawa terdapat perkara yang wanita tak mampu lakukan dan menjadi tugas lelaki untuk melakukannya.

Ini secara tak langsung memberitahu bahawa kaum wanita lemah atau tidak berdaya. Zaman sekarang ini wanita sudah mampu menyaingi lelaki dalam segala bidang, malah ada yang lebih cekap dan hebat. Jadi, tak sepatutnya anda berkata begitu.

Jika perkara yang hendak dilakukan wanita itu adalah berat dan bahaya, cuba bantu dengan baik, dengan berkata, "Biar saya bantu, saya tak ada apa nak buat pun..". Ia tidak menampakkan anda merendahkan mereka, walaupun anda rasa si dia tak mampu.

10. "Awak okay ke tak..?"

Inilah ayat yang paling pantang didengar oleh wanita, dan akan menyebabkan kekeliruan yang amat sangat. Sangat sangat. Semua lelaki mengeluh perkara yang sama, dan semua wanita memberikan respon yang sama. Ia biasanya diajukan ketika melihat si wanita seperti mempunyai masalah.

Naluri kebanyakan wanita, bukan semua, yang mahukan perhatian lelaki, akan menjawab mereka okay dan berharap si lelaki memahami sendiri yang mereka tidak okay dan memujuk. Dan kebanyakan lelaki pula, bukan semua, mempunyai naluri "kaku", yang simple, tak fikir panjang bahawa si wanita itu sebenarnya tak okay. Jadi, di sinilah permasalahan yang sangat besar timbul.

Bagi penulis, dalam hal ini, kedua-dua memainkan peranan yang penting. Bagi si lelaki, anda sendiri sahaja yang tahu si wanita itu okay atau tidak kerana anda mengenalinya. Dan bagi wanita pula, jika baru sahaja kenal satu sama lain, jangan lah terlalu harapkan si lelaki terlalu memahami, kerana sifat lelaki yang simple dan tak rumit ini akan membuatkan anda merajuk sampai malam, atau esok pagi. Kedua-duanya perlu bertindak sebagai orang dewasa.

Wallahualam.




Hakcipta iluminasi.com (2017)