Kembali menghadap Maha Pencipta merupakan penamat kepada kehidupan seorang manusia di dunia. 

Bagi kita yang perlu meneruskan hidup, di bahu kita jatuhlah beban mengurus dan menyelia semua urusan si mati yang tak sempat dia selesaikan; seperti hutang, dokumentasi, harta benda dan wang ringgit yang ditinggalkan.

Seperti yang sudah kita maklum, harta pusaka memang bakal jadi isu sensitif selepas berlakunya satu kematian. Berikut adalah lima situasi yang biasa berlaku dan boleh terjadi kepada anda, selepas anda perlu berhadapan situasi duka.

1. Bergaduh tentang lokasi pusara

pusara kubur masyarakat islam

Bagi sesetengah keluarga yang lama mengharungi situasi perlu menjaga ahli keluarga yang lama sakit, akan wujud persoalan di mana sepatutnya jenazah disemadikan sekiranya kematian menjelma.

Masalah ini akan jadi lebih ketara seandainya melibatkan kematian ibu bapa tetapi dijaga anak, yang memilih untuk membawa si ibu atau bapa ke kediaman mereka.

Tanpa pesanan atau wasiat daripada si mati yang menjelaskan keinginan ingin ditanam di mana, memang boleh berlaku pergaduhan di kalangan ahli keluarga dalam memutuskan di mana sebaik-baiknya lokasi pusara.

Ada yang mahu jenazah dibawa pulang ke kampung. Ada juga yang mahu jenazah dikebumikan di kawasan paling ramai ahli keluarganya. Ada yang merasakan tak kisah di mana asal urusan selesai sebaiknya. 

Sedihnya, krisis sebegini sering berlaku dengan kisah latar belakang sama. Ketika si mati sedang sakit, tak ramai sanggup menjaga dia. Bila dah tiada, berebut pula pihak-pihak waris nak si mati dikebumikan mengikut pilihan mereka.

2. Anda mungkin akan dihalau atau perlu keluar rumah yang didiami

diusir dari kediaman

Dalam banyak kes kematian, krisis yang muncul melibatkan kediaman milik si mati selalu kedengaran timbul, khususnya melibatkan individu yang kematian pasangan mereka.

Kediaman yang mereka diami membesarkan keluarga kebetulan pula dibeli atas nama si mati, mengakibatkan wujud persoalan apa akan berlaku pada kediaman itu selepas kematian pemiliknya. Jika proses penamaannya telah selesai, mungkin masalah bolehlah dianggap reda.

Namun biasanya pihak keluarga kandung si mati sebenarnya masih ada hak melakukan tuntutan ke atas kediaman itu.

Solusi kepada masalah ini hanya ada tiga. Solusi paling aman - keluarga kandung si mati redha dan membenarkan pasangan yang masih ada menjadi pemilik baru unit kediaman itu. Kedua, kediaman itu akan dijual bagi membolehkan wang hasil jualannya diagih-agihkan.

Ketiga, keluarga kandung si mati masuk ke rumah itu dan bekas pasangan perlu mencari kediaman lain, bagi meneruskan hidup mereka. Kena yang akhir ni memang perit rasanya, lagilah kalau kena kat kita.

3. Anda perlu berhadapan banyak urusan dengan bank

duit banyak harta pusaka

Satu perkara yang banyak pihak ambil ringan selepas setiap kali berlakunya kematian, adalah beranggapan adalah hak untuk waris mengeluarkan wang si mati dari dalam akaun, seandainya si mati ada memberitahu nombor pin kad ATM atau nama akaun dan kata laluan kepada pasangan sebelum dia meninggal.

Adakah tindakan itu dibolehkan?

Walaupun nampak tidak ada apa-apa kesalahan dilakukan, sebenarnya wang itu masih perlu melalui proses tuntutan mengikut prosedur yang betul. Ini kerana bukan saja bekas pasangan mempunyai hak ke atas wang tersebut, pihak-pihak waris lain juga sebenarnya ada hak untuk melakukan tuntutan ke atas wang tersebut.

Sekiranya anda di masa depan berada dalam situasi sebegini kelak, pastikan anda berjaya mendapatkan kebenaran pihak mahkamah terlebih dahulu sebelum melakukan pengeluaran.

Sebarang pengeluaran yang tidak sah dilakukan, boleh disabitkan sebagai satu kesalahan. Ini kerana prosedur yang betul memerlukan bank dimaklumkan tentang kematian yang telah berlaku, bagi memastikan akaun itu dibekukan agar tuntutan dapat dijalankan oleh waris yang sah.

Jika anda risau pihak keluarga anda tidak mempunyai wang yang cukup untuk menguruskan kematian anda, simpanlah wang secara tunai ditempat yang selamat dan waris tahu lokasinya.

Selain itu bagi masyarakat Islam sertailah khairat kematian kawasan anda, kerana keahlian sebagai ahli khairat memang banyak membantu pihak keluarga anda selepas kematian anda.

4. Corak hidup anda akan berubah

jatuh miskin

Jika sebelum itu dua individu saling menyara keluarga, kematian salah seorang mungkin mengakibatkan kita sendirian perlu bertungkus lumus melakukan segalanya. 

Hendak tak hendak, pasti banyak perubahan perlu dilakukan bagi membolehkan hidup dapat diteruskan. Banyak aspek hidup terpaksa diturun tarafkan, seperti kenderaan dan kediaman. 

Perbelanjaan harian akan mengalami perubahan. Kemewahan jika ada yang sebelum itu dapat dirasai mula terpaksa dicatukan.

Penulis belum merasai situasi sebegini lagi tetapi membayangkannya saja sudah menakutkan.  Ini kerana bila kita dah biasa hidup pada satu peringkat, untuk kembali turun ke bawah memang satu pengorbanan yang cukup sukar; apatah lagi kalau kita dah biasa ada sedikit kemewahan.

5. Anda boleh bergaduh adik beradik

pakar wasiat keratan akhbar tent

Hubungan anda dengan adik-beradik dan saudara-mara anda baik-baik belaka sekarang?

Hendak lihat perangai sebenar mereka, lihatlah apa reaksi mereka berkaitan harta pusaka selepas ibu bapa, suami isteri atau atuk nenek anda meninggal dunia.

Pada waktu itulah banyak realiti sifat manusia dapat kita pelajari, kerana krisis berebut harta sesama keluarga ini walaupun sering didramatikkan dalam filem, sebenarnya memang adalah situasi yang berlaku dalam masyarakat kita.

Ada adik-beradik yang boleh bergaduh sehingga terputusnya tali silaturrahim hanya kerana berebut rumah pusaka ibu ayah. Ada pakcik atau makcik yang akan tarik muka dengan kita, sekiranya dia rasa pembahagian harta berlaku tanpa adil kepada diri mereka.

Ada anak yang boleh bertumbuk dengan ibu atau ayah, kerana tidak berpuas hati kenapa hak dirinya masih lagi enggan diserahkan sepenuhnya. Kadangkala, orang yang anda tak sangka-sangka yang sebelum itu nampak tenang dan mesra, orang itulah yang paling sibuk berebut apa yang ada.  

iklan

Harta benda dan wang ringgit memang mampu mengelabui mata dan hati sesiapa saja.

Anda pernah alami pengalaman serupa bila mana ahli keluarga saling berebut sehinggakan tidak lagi bertegur sapa? Kongsikan pengalaman anda dalam ruangan komen kami jika anda sudi.

Kami tak paksa.



Hakcipta iluminasi.com (2017)