Kredit foto: Instagram @masterchefuk & Instagram @z.olpin
Penyingkiran seorang wanita berasal dari Malaysia, Zaleha Kadir Olpin menerusi rancangan realiti masakan terkenal, MasterChef UK minggu lalu, gara-gara ayam rendangnya tidak rangup mencetuskan kemarahan rakyat negara ini.
Zaleha menyediakan hidangan itu bersama nasi lemak, sambal udang dan ikan bilis. Pertandingan itu menampilkan dua chef selebriti terkenal, Gregg Wallace dan John Torode sebagai juri.
Zaleha berkongsi kenangan manis dengan hidangan itu, dimana ia merupakan hidangan pertama yang dimasak ibunya untuk suaminya dan kegemarannya sewaktu zaman kanak-kanak.
"Terdapat gerai di luar sekolah saya yang menjual nasi lemak terbaik. Saya pernah menyimpan wang saku setiap hari Jumaat. Hidangan ini sangat istimewa untuk saya," jelasnya kepada para juri.
"Saya sukakan rasa rendang anda, ada rasa manis kelapa. Tetapi, kulit ayamnya tidak rangup. Ia tak boleh dimakan dan semua sos berada di atas kulit, jadi saya tak boleh makan," kata Gregg Wallace.
Sementara itu, John Torode berkata, ayam rendang tersebut adalah suatu kesilapan dan ia tidak mempunyai masa yang cukup untuk masak dan lembut.
"Saya benar-benar bekerja keras hari ini dan saya fikir mereka akan menyukainya," kata Zaleha.
Menerusi Instagram, Zaleha sempat memuatnaik foto hidangannya itu sambil meluahkan perasaan hampanya dan berterima kasih atas sokongan yang diberikan.
Kredit foto: Instagram @z.olpin
"Saya amat kecewa apabila disingkirkan dari MasterChef UK. Tetapi, saya tetap dengan pendirian saya iaitu menggunakan cara tradisional untuk memasak nasi lemak. Tidak akan mengubahnya untuk dunia.
"Kenangan yang cukup hebat di dapur Masterchef akan kekal selamanya. Terima kasih banyak-banyak atas sokongan dan kiriman salam yang anda berikan.
"Seperti kata rakan saya, apa yang tak membunuh membuatkan saya lebih kuat! Terima kasih sekali lagi," tulisnya.
Netizen membanjiri ruangan komen dengan kata-kata semangat terhadap wanita berasal dari Kuantan itu.
"Saya rasa para juri tersebut tidak pernah memakan antara makanan terbaik di dunia (rendang). Sebab itulah mereka tak tahu menghargainya," tulis @cutebutik.
"Dunia benar-benar bersama anda. Saya mahu belajar memasak dari anda!," tulis @sharifahanan.
"Malang sekali ada juri yang tak faham apa-apa tentang rendang. Tabahkan hati anda. Anda membanggakan kami. Saya sebaliknya akan menyingkirkan juri itu kerana mengharapkan kulit ayam rendang menjadi rangup. Dia sepatutnya selidik terlebih dahulu," tulis @qamios.
Malah, rakyat Indonesia turut dilihat meluahkan kemarahan mereka terhadap insiden tersebut.
"Anda (juri) bukan profesional. Anda tidak tahu yang (ayam) rendang tidak pernah rangup. Salam dari Indonesia", tulis @spooky_boogiee.