netizen malaysia annoying

Setiap hari menghitung bilakah 'norma baru' yang sedang dihadapi bakal berakhir, membuatkan individu seperti penulis banyak mengisi masa lapang dengan meluangkan masa di internet.

Perangai netizen Malaysia memang sudah terkenal di seluruh dunia, sebagai antara netizen yang cukup komited dan lantang bersuara. Lihat saja kempen 'mak kau hijau' atau kempen kutuk Israel yang mampu mengundang reaksi masyarakat antarabangsa. 

Namun dalam musim pandemik ni semakin ketara wujud kumpulan netizen yang tidak mencipta ketawa, sebaliknya hanya membuatkan orang ramai menggeleng kepala. Berikut adalah lima jenis netizen menjengkelkan menular di kalangan rakyat kita.

1. Manusia yang semua isu dia politikkan

tisu tandas ct588

Golongan netizen ini merupakan golongan yang cukup menyakitkan hati. Semua perkara dia nak kaitkan dengan politik. Apatah lagi apabila peristiwa-peristiwa jatuh bangun melibatkan kerajaan kita beberapa tahun ini, berlaku seiring dengan pandemik Covid-19.

Sentimen negatif yang sudah terbentuk sebelum menular secara besar-besaran Covid-19 di negara kita, telah menyebabkan ada di kalangan netizen yang akan cari hujah nak cari hujah politik 24 jam sehari, apabila bercakap pasal pandemik.

Sekiranya situasi Covid-19 semakin baik, semuanya disebabkan oleh usaha parti yang dia sokong. Kalau Covid-19 makin teruk, semuanya salah pihak yang dia tak berapa gemar. 

Kita cerita pasal masalah vaksinasi yang agak perlahan di negara kita pun, mahu juga dia mencelah parti A atau parti X lah punca kenapa semakin ramai orang takut nak divaksinkan.

2. Individu yang berserah tanpa tawakal

petugas frontliner indonesia

Netizen yang jenis berserah ni selalunya gemar membawa mesej redha tanpa tawakal dalam perkongsian atau komen mereka.

Biasanya mereka ini gemar mempertikaikan arahan-arahan yang diperkenalkan kepada masyarakat seperti penjarakan sosial atau pemakaian topeng muka, kerana bagi mereka semua itu tak mengubah apa-apa.

Paling hangat bila masjid-masjid dan surau tidak lagi dibenarkan mengadakan solat jemaah beramai-ramai. Larangan itu dipertikaikan kerana ada di kalangan mereka bersungguh-sungguh percaya 'kenapa perlu takut virus sampai masjid pun perlu ditutup?"

'Kalau dah nak kena, kenalah. Kalau dah nak jadi, jadilah.' Cukup sukar untuk memperjelaskan kepada kumpulan sebegini keperluan agar lokasi rumah ibadah perlu ditutup, bagi mengelakkan penularan berlaku.

Hanya apabila Tok Imam, Bilal dan Siak positif Covid-19, barulah mata mereka ini terbuka. Kes seperti ini benar-benar sedang berlaku.

3. Geng yang hari-hari mengeluh dia susah

rider food panda berdepan covid 19

Ini satu lagi kumpulan yang cukup gemar bersuara dek mahu orang ramai mendengar luahan hati mereka. Kita semua tahu memang kehidupan orang ramai khasnya dalam aspek kewangan agak terjejas, disebabkan oleh kekangan pergerakan semasa pandemik. 

Tetapi kalau dah asyik duk merungut dan merungut dan merungut hidup anda tertekan, menyalahkan pihak lain kerana tak bagi anda mencari rezeki lama-kelamaan netizen lain pun akan bosan juga.

Bukan anda saja terkesan dengan pandemik ini. Majoriti orang terkesan. Banyak premis perniagaan dah mula gulung tikar, dek tekanan untuk menampung kos bulanan.

Semakin ramai orang mula berniaga tepi jalan, dalam talian, belajar masak semata-mata nak ada produk untu cuba mencari rezeki, belajar jadi penghantar makanan. Itu semua perubahan positif yang perlu dilakukan. 

Malangnya segelintir kumpulan netizen lebih gemar melakukan perkongsian kepada netizen lain menceritakan betapa susah hidup mereka sambil menyalahkan pihak-pihak tertentu. Tak susah sangat agaknya hidup dia tu.

4. Penyebar berita palsu

penyebar berita palsu viral tular

Dek kemudahan teknologi yang membolehkan kita berkomunikasi secara percuma, 24 jam sehari tanpa henti - penularan berita palsu semakin kerap berlaku. Hari-hari ada saja berita palsu yang hadir ke dalam aplikasi mesej penulis dikongsikan oleh kenalan atau sanak saudara seberapa segera yang mungkin.

Perasan tak, kemudahan internet yang ada telah mengakibatkan sesama kita saling berebut untuk menjadi individu pertama berkongsikan berita, menyebabkan ada kalanya kita leka untuk memeriksa terlebih dahulu apa yang kita kongsikan.

Semangat nak berkongsi itu bagus namun sebelum disebarkan, fikirlah dahulu impak apa yang akan kita kongsikan. Benarkah? Kredibilitinya dari siapa? Siapa penulis asalnya? Adakah benar pakar yang dikreditkan itu wujud? Betul ke peristiwa buruk itu berlaku di Malaysia? 

Itulah sebabnya sudah setahun lebih penulis mengasingkan diri daripada rangkaian media sosial popular Malaysia, kerana semakin sukar untuk kita membezakan yang mana tulen dan yang mana palsu.

Bagaimanapun, golongan ini bukanlah pemegang takhta netizen paling menjengkelkan. Takhta itu semestinya dipegang...

5. Pencipta berita palsu

pencipta berita palsu malaysia

Kami tidak faham sama sekali apa sebenarnya yang bermain difikiran mereka yang gemar mencipta maklumat palsu. Apa matlamat hidup anda sebenarnya? Adakah anda rasa gembira melihat reaksi orang ramai yang terkesan dengan informasi palsu anda?

Tidak tahu apa sebenarnya yang difikir. Ada pihak yang seakan gemar mencipta imej palsu sidang media kerajaan yang tak wujud. Ramai yang suka berkongsikan gambar serbuan polis ke atas kawasan rumah, lengkap dengan jumlah kompaun tak masuk akal yang dikenakan ke atas tuan rumah kerana melanggar SOP.

Ada pula yang seakan-akan secara eksklusif kerjanya mencipta statistik palsu berkaitan jangkitan Covid-19 di negara kita.

Satu pendapat kami apabila membicarakan tujuan mereka ini - mereka ini adalah kumpulan tahi-tahi politik yang saban hari kerjanya mahu mencipta persepsi dan mengawal sentimen orang ramai supaya selari dengan hala tuju mereka (atau tuan mereka). 

Mungkin juga mereka ini datang daripada kumpulan individu-individu yang bosan tiada kerja, seterusnya mengisi masa lapang dengan memuatnaik berita palsu hanya untuk ketawa.

Walau apa pun telahan kita - amat sukar untuk difahami apakah sebenarnya yang dimahukan oleh pencipta berita, perkongsian, imej atau sebaran palsu.

Hanya mereka tahu kenapa mereka sebegitu rupa kelakuannya. Atas sebab itulah kita janganlah mudah leka sehingga menjadi mangsa mereka.



Hakcipta iluminasi.com (2017)