Kredit foto: Instagram Atikah Suhaime

Berikutan hadir ke konsert ketiga Gema Gegar Vaganza 2 (GGV2) dengan imej berhijab, pelakon kelahiran Singapura, Atikah Suhaime dikatakan sudah berhijrah sepenuhnya dan menukar imej.

Mengakui sedang dalam proses mendalami ilmu agama, Atikah, 27, bagaimanapun menegaskan apa yang diperagakannya pada malam itu untuk menghormati acara hiburan berkenaan yang berkonsepkan Islamik.

Atikah yang hadir sebagai menyatakan sokongan kepada tunangnya, Awi Rafael, salah seorang peserta GGV2, memohon agar para peminat dapat mendoakan untuk penghijrahannya kelak.

atikah suhaime sudah berhijab 2

Kredit foto: Instagram Atikah Suhaime

"Insya-Allah, doa-doakan suatu hari nanti. Saya sukakan imej ini dan ramai yang mendoakan untuk saya berhijab," katanya kepada portal Astro Gempak usai konsert GGV2 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada Sabtu.

Apa yang dipinta, kata Atikah, biarlah imej muslimah yang bakal dikenakannya nanti hadir daripada hati yang ikhlas.

"Tetapi saya mahu pastikan diri saya betul-betul bersedia dan ikhlas daripada hati.

"Saya mahu berhijab kerana diri sendiri, bukan kerana berfesyen," katanya lagi.

Konsert GGV2 ke udara secara langsung setiap Sabtu, jam 9 malam di saluran Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135), dibawakan dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Konsert keempat GGV2 bakal mengangkat tema Gema Yang Dirindukan, menampilkan 9 bintang merebut tempat ke persaingan seterusnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)