Kredit foto: Instagram Catriona Ross

Tentu ramai yang merindui kemunculan penyanyi Waheeda yang pernah mencipta nama menerusi lagu Wassini. 

Bukan sahaja aktif dalam bidang nyanyian, malah beliau turut melakar nama dalam dunia lakonan menerusi beberapa buah filem popular.

Akhirnya, selepas bergelar isteri kepada penyanyi dan juga pendakwah bebas, Akhil Hayy, pada tahun 2009, Waheeda terus menyepikan diri dan tidak lagi aktif dalam kerjayanya sebagai anak seni.

Waheeda atau nama penuhnya Norwahidah Abdul Wahab, 40, boleh dikatakan hilang terus daripada radar dunia hiburan.

Namun, pada Ahad lalu, aktres Catriona Ross tampil meluahkan rasa terujanya apabila berpeluang bertentang mata dengan Waheeda, selepas 10 tahun tidak bertemu rakan baiknya itu.

Kata Catriona, apa yang menariknya, kemesraaan perbualan mereka tidak banyak berbeza seperti sebelum penyanyi berpurdah itu menghilangkan diri.

penyanyi waheeda akhirnya ditemui selepas 10 tahun 2

Kredit foto: Instagram Catriona Ross

"Dulu kami pernah rapat, tapi selepas Waheeda berkahwin, kami terputus hubungan.

"Walaupun dah lama tak jumpa, tapi taklah rasa kekok bila berbual. Tetap sama mesranya macam dulu," dedah Catriona kepada portal Sinar Harian.

Menurut Catriona, selepas Waheeda memutuskan untuk menamatkan kariernya daripada dunia hiburan, beliau tidak lagi berhubung dengannya kerana ingin menghormati privasi wanita itu.

"Entah macam mana saya kehilangan nombor Waheeda. Kalau pun saya ada nombor suaminya, saya rasa tak manis untuk menghubunginya.

"Lagipun Wawa (panggilan Waheeda) agak menyepi dan tak tahu sama ada dia ok atau tidak sekiranya saya menghubungi," katanya.

Kehadiran Catriona di program Gema Gegar Vaganza musim kedua itu sama sekali tidak dijangkakan menjadi medan pertemuan dengan pelakon yang popular menerusi filem Anak Mami Kembali ini.

"Saya datang pun sebab nak sokong rakan-rakan. Tapi tak sangka ia menjadi medan pertemuan semula," ujarnya yang bakal menjayakan penggambaran drama Jangan Benci Cintaku, hujung bulan ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Waheeda turut memberi reaksi dengan repost gambar dan kapsyen Catriona di akaun Instagram peribadinya.

"Geng sembang masa road trips dulu haaa... sayang awak," tulisnya bersama tanda pagar #repost #catrionabrianross.

Para peminat gembira melihat pertemuan dua selebriti popular ini. Ada juga yang mengatakan mereka tak ubah umpama adik-beradik kandung!




Hakcipta iluminasi.com (2017)