menu vegetarian

Dalam dunia pemakanan atau diet, kita pastinya pernah menjumpai individu yang mengaku mereka seorang "vegan" atau "vegetarian". Kerana ejaannya yang hampir serupa, ramai yang menyangka bahawa vegan dan vegetarian merujuk kepada jenis diet yang sama.

Namun, tahukah anda bahawa kedua jenis diet ini sebenarnya adalah berbeza? Ya, terdapat sedikit perbezaan antara keduanya! Oleh itu, kali ini Iluminasi ingin berkongsi sedikit sebanyak perbezaan antara kedua jenis diet ini serta kelebihan atau kekurangan antara keduanya.

Diet secara vegetarian dilaporkan sudah diamalkan sejak tahun 700 SM. Terdapat beberapa jenis vegetarian dan seseorang individu mungkin memilih untuk mempraktikkannya dengan pelbagai alasan, termasuk kesihatan, etika, persekitaran dan agama.

Apa itu diet Vegetarian?

vegetarian 881

Vegetarian adalah diet yang mengelakkan pengambilan daging, ikan, kerang atau produk sampingan dari penyembelihan haiwan. Diet vegetarian mengandungi pelbagai peringkat buah-buahan, sayur-sayuran, kacang-kacangan, dan biji-bijian. Pengambilan susu dan telur bergantung pada jenis diet yang anda ikuti.

Jenis vegetarian yang paling biasa termasuk:

  • Lacto-ovo (atau ovo-lacto): Berasal dari perkataan Latin untuk susu dan telur, adalah jenis vegetarian yang paling biasa. Seperti namanya, orang yang mengikuti diet ini memakan produk tenusu dan telur tetapi menghindari daging, ayam dan makanan laut.
  • Lacto: Memakan produk tenusu tetapi tidak makan telur, daging, ayam atau makanan laut.
  • Ovo: Memakan telur tetapi tidak produk tenusu, daging, ayam atau makanan laut.
  • Pesco atau pescatarian: Secara teknikal tidak memenuhi definisi umum vegetarian. Orang yang mengikuti diet separa vegetarian ini memakan ikan dan makanan laut lain tetapi tidak daging.

Apa itu diet Vegan?

diet vegan

Diet vegan dapat dilihat sebagai bentuk vegetarian yang paling ketat. Veganisma ini ditakrifkan sebagai cara hidup yang berusaha mengecualikan segala bentuk eksploitasi dan kekejaman terhadap haiwan sebanyak mungkin. Ini termasuklah eksploitasi untuk makanan dan tujuan lain.

Oleh itu, diet vegan tidak hanya mengelakkan pengambilan daging haiwan, tetapi juga susu, telur dan bahan-bahan yang berasal dari haiwan. Ini termasuk gelatin, madu, carmine, pepsin, shellac, albumin, whey, casein dan beberapa bentuk vitamin D3.

Individu vegetarian dan vegan sering mengelakkan memakan produk haiwan dengan alasan yang serupa. Perbezaan terbesar antara keduanya adalah sejauh mana mereka menganggap produk haiwan boleh diterima. Sebagai contoh, vegan dan vegetarian mungkin mengecualikan daging dari makanan mereka untuk kesihatan atau persekitaran.

Walau bagaimanapun, vegan juga memilih untuk mengelakkan semua produk sampingan haiwan kerana mereka yakin ini memberi kesan terbesar kepada kesihatan dan persekitaran mereka. Individu vegan percaya bahawa haiwan mempunyai hak untuk bebas daripada digunakan manusia, baik untuk makanan, pakaian, sains atau hiburan.

Oleh itu, mereka berusaha untuk mengecualikan semua produk sampingan haiwan, tanpa mengira keadaan di mana haiwan dibiakkan atau ditempatkan. Keinginan untuk menghindari semua bentuk eksploitasi terhadap haiwan adalah sebab mengapa vegan memilih untuk tidak mengambil susu dan telur, 2 produk yang tidak ada masalah untuk dimakan oleh individu vegetarian.

Perbezaan utama vegan dan vegetarian

beza vegan dan vegetarian

Seperti yang kami katakan di atas, walaupun kedua-duanya seakan-akan sama tetapi terdapat sedikit perbezaan antara keduanya. Bagaimanakah kita dapat membezakan kedua-duanya dengan mudah?

Seorang yang "Vegan" tidak memakan produk daripada haiwan, sementara seorang "vegetarian" tidak memakan haiwan, tetapi mungkin memakan produk yang berasal dari haiwan seperti tenusu dan telur. Seseorang individu biasanya memilih diet ini kerana masalah kesihatan, sekatan agama atau kebimbangan moral mengenai mencederakan haiwan.

Disebabkan ramai orang tidak menyedari berapa banyak produk makanan "bebas haiwan" yang sebenarnya mengandungi sejumlah kecil produk haiwan, menjadi vegan atau vegetarian bukanlah mudah dan perlukan penelitian rapi ketika membeli makanan di kedai.

Contohnya, yogurt tanpa lemak dan gula-gula jeli sering mengandungi gelatin yang berasal dari haiwan. Malah, terdapat beberapa jenama jus oren diperkaya dengan omega-3 dari ikan maka golongan ini hendaklah mengelakkanya.

Untuk individu vegan dan vegetarian, penting untuk mereka mengemukakan soalan mengenai bagaimana makanan di restoran disediakan sebelum membuat pesanan. Banyak sup dan sos yang dilihat tidak berisi daging dibuat dengan stok ayam atau daging lembu, maka mereka "diharamkan" daripada menngambilnya.

Makanan lain contohnya tortilla kadang-kadang dibuat dengan lard iaitu sejenis lemak babi dan makanan goreng mungkin dibuat dengan lemak haiwan. Maka, kesemua ini perlulah dielakkan bagi mereka yang vegan atau vegetarian. 

Dari segi etika, vegetarian menentang pembunuhan haiwan sebagai makanan, tetapi menganggapnya boleh memakan produk sampingan haiwan seperti susu dan telur, selagi haiwan tersebut dipelihara dan dibiakkan dalam keadaan yang baik. 

Kelebihan dan kekurangan diet vegan dan vegetarian 

kekurangan vegetarian

Penyelidikan menunjukkan bahawa diet vegetarian dan vegan cenderung rendah lemak tepu dan kolesterol. Mereka juga cenderung mengandungi sejumlah besar vitamin, mineral, serat dan sebatian tumbuhan yang sihat.

Menurut laporan dari Akademi Pemakanan dan Dietetik di Amerika dan beberapa tinjauan saintifik, diet vegetarian dan vegan dianggap sesuai untuk semua peringkat kehidupan, asalkan diet tersebut dirancang dengan baik. Kedua jenis diet ini boleh menjadi sangat sihat tetapi seperti orang lain, vegan dan vegetarian perlu memperhatikan kekurangan nutrisi akibat pemilihan makanan mereka.

Sebagai contoh, produk tenusu adalah sumber utama kalsium dan vitamin D, jadi vegan dan vegetarian ovo harus makan banyak sayur-sayuran berdaun gelap (sumber kalsium lain yang baik) dan memilih makanan yang diperkaya dengan kalsium. Seorang yang vegan juga perlu mengambilan suplimen tambahan vitamin D kerana mereka tidak mendapatnya daripada sumber makanan yang diambil.

Kredit:

  1. Healthline
  2. WebMD
  3. Thrillist


Hakcipta iluminasi.com (2017)