Seperti yang diketahui umum, kebanyakan tempat di Malaysia kini dilanda masalah jerebu selama lebih daripada seminggu. Menurut agensi pemantauan serantau, terdapat sebanyak 22,336 titik utama (kawasan panas yang dikesan satelit, berkemungkinan tinggi untuk terbakar) sehingga jam 8 pagi pada 18 September 2019.

20,000 daripada titik utama ini berada di Sumatera dan wilayah Kalimantan di Borneo. Malaysia menyalahkan kebakaran hutan yang berlaku di negara jiran kita, Indonesia, adalah punca terjadinya pencemaran udara ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pemilik kawasan pertanian dan perladangan sering menggunakan cara paling murah dan mudah untuk membersihkan tanah bagi penanaman baru iaitu dengan membakarnya. Indonesia pula mendakwa beberapa syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di sana juga patut dipersalahkan.

Sebenarnya, tiada satu pun perbuatan menunding jari ini dapat mengubah fakta bahawa jerebu telah menjadi masalah tahunan di Malaysia dan negara-negara jirannya. Pada 2002, negara-negara ASEAN telah menandatangani perjanjian untuk menangani masalah jerebu ini. 17 tahun kemudian, masalah masih lagi belum diselesaikan.

kebakaran hutan di kalimantan

Pembenihan awan untuk menghasilkan hujan adalah salah satu usaha terdesak untuk mengurangkan jerebu tetapi ia hanya merupakan penyelesaian sementara. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Jailan Bin Simon, selagi titik panas masih ada dan angin bertiup ke negara ini, jerebu akan kembali semula.

Musim hujan tidak akan bermula sehingga bulan depan jadi kemingkinan besar asap kebakaran itu tidak akan hilang kecuali kebakaran yang berlaku di Indonesia dapat dipadamkan. Walau bagaimanapun, pembenihan awan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan indeks pencemaran udara (IPU) buat sementara waktu.

Apakah sebenarnya pembenihan awan?

proses pembenihan awan 2

Pembenihan awan secara dasarnya adalah campur tangan manusia dalam alam semula jadi terutamanya berkaitan cuaca. Konsep pembenihan awan ini telah wujud sejak tahun 1940-an lagi apabila Bernard Vonnegut mendapati bahawa iodida perak (argentum iodida atau silver iodide) boleh menghasilkan kristal ais ketika dilepaskan ke dalam ruang awan.

Iodida perak adalah serbuk kuning yang tidak larut apabila terdedah kepada cahaya. Selain digunakan untuk menghasilkan hujan tiruan, ia juga digunakan dalam penghasilan fotografi. Di negara barat, kaedah pembenihan awan juga digunakan untuk menghasilkan salji.

pembenihan awan malaysia

Kredit foto : Lowyat.net

Proses pembenihan awan paling biasa dilakukan menggunakan kapal terbang. Di Malaysia, kita menggunakan pesawat Hercules C-130 milik TUDM untuk melakukan tugasan ini. 

Apabila air menyejat dan naik ke atmosfera, ia berada dalam bentuk gas. Dari masa ke semasa, wap air ini akan menyejuk dan melalui proses pemeluwapan menjadi awan.

proses pembenihan awan 3

Untuk proses ini, wap memerlukan sesuatu untuk ia menempel seperti titisan air. Semakin banyak titisan yang bergabung dengan wap ini, semakin berat titisan air itu sehingga ia turun ke bumi sebagai hujan.

Ketika berada di ruang udara, para petugas akan menyembur campuran natrium klorida dan air ke ruang awan. Ruang awan yang sememangnya sudah mempunyai jumlah air yang sedikit akan memeluwapkan campuran bahan yang baru disembur tadi. Ini akan membantu menebalkan awan dan meningkatkan peluang untuk hujan.

proses pembenihan awan 549

Bahan cecair yang digunakan untuk pembenihan awan ini disimpan dalam tong berkapasiti 1,000 liter dan akan dibebaskan melalui paip di bahagian bawah setiap tangki. Pintu belakang pesawat kargo akan dibuka bagi melepaskan cecair ini sementara juruterbang akan memandu melalui awan.

Pembenihan awan ini hanya akan berfungsi apabila terdapat jumlah awan yang cukup untuk menghasilkan hujan. Proses ini mungkin akan mengambil sedikit masa untuk mencari awan yang sesuai dengan panduan dari ahli meteorologi.

proses operasi pembenihan awan

Bahan cecair yang digunakan perlulah disembur di tempat yang betul dalam jumlah yang sepatutnya bagi mengelakkan timbulnya risiko pencemaran. Setelah 20 hingga 30 minit proses pembenihan dilakukan barulah keputusannya dapat dilihat sama ada berjaya atau tidak.

Pembenihan awan yang dilakukan di Kuala Lumpur dan beberapa bandar utama di Malaysia boleh dikatakan berjaya apabila hujan lebat mulai turun tidak lama selepas itu. Akan tetapi, ia hanyalah langkah penyelesaian sementara sahaja.

pakai topeng muka jerebu

Photo : selangorkini

Beberapa jam selepas hujan berhenti, jerebu kelihatan semula menutupi ruangan udara. Ini kerana secara purata pembenihan awan hanya mampu meningkatkan hujan sekitar 10 hingga 25 peratus sahaja.

Selain daripada pembenihan awan, kita hanya mampu berharap agar kebakaran hutan segera ditangani, musim hujan tiba lebih awal dan ada perubahan dalam tiupan angin.

Rujukan:

1. Apa itu pembenihan awan

2. Bagaimana proses pembenihan awan berfungsi

3. Malaysia dilanda masalah jerebu yang teruk




Hakcipta iluminasi.com (2017)