berat awan segumpal 774

Untuk melonjakkan sesuatu ke udara seperti kapal terbang atau roket, kita memerlukan daya yang mencukupi dihasilkan oleh enjin bagi membolehkan badan fizikal kedua-dua kenderaan itu melawan graviti.

Hilang daya untuk melawan graviti akan mengakibatkan kenderaan atau pesawat itu jatuh kembali ke bumi. Bagaimanapun awan di udara setiap masa terapung di udara dengan konsisten walaupun tiada roket menampung beratnya di atas sana.

Berapakah berat segumpal awan sebenarnya dan yang lebih menarik - kenapa dengan muatannya itu, awan tidak jatuh?

Awan dibentuk oleh titisan air yang mempunyai jisim

pemandangan atas awan

Di udara, awan yang berkepul-kepul tampak ringan disebabkan oleh rupanya yang gebu. Lagipun awan mampu terapung dengan mudah tanpa ada sesiapa pun risau dia akan ditimpa awan semasa berjalan.

Bagaimanapun jangan pula anda ingat awan itu ringan!

Kita tidak ada teknologi yang mambolehkan kita untuk menimbang segumpal awan. Jadi untuk mengira berat segumpal awan yang ada di udara, pengiraan perlulah digunakan bagi menganggarkan berapakah beratnya.

Awan terhasil daripada gabungan titisan air yang sebenarnya sangat halus serta mempunyai berat yang tertentu, bergantung kepada tahap kepadatan awan tersebut.

Jenis-jenis awan yang berbeza mempunyai tahap kepadatan yang berlainan.

Awan jenis sirrus misalnya hanya mempunyai tahap kepadatan cecair sebanyak .003 gram untuk setiap 1 meter padu sementara awan kumulonimbus yang lebih padat, mempunyai kepadatan 1 ke 3 gram cecair untuk setiap saiz yang serupa.

Lebih padat, lebih banyak kandungan cecair berada dalam badan awan tersebut meninggikan lagi berat awan tersebut.

Anggaran purata berat awan

berapakah berat awan

Disebabkan oleh perbezaan di antara tahap kepadatan yang bergantung kepada jenis awan, tidak ada perkiraan mutlak dapat diberikan dalam usaha kita mengenalpasti berapakah berat awan.

Selain itu faktor saiz awan itu sendiri memainkan peranan, kerana semua awan yang terbentuk mempunyai saiz yang tidak sekata dan tidak serupa.

Untuk mendapatkan idea kasar berapakah berat awan di udara, kita akan menggunakan nilai purata. Kajian yang telah dijalankan US National Centre for Atmospheric Research meletakkan saiz purata sebuah awan jenis kumulus ibarat sebuah kiub bersaiz 1 km panjang dan lebarnya.

Seandainya nilai itu digunakan, anda akan mendapat jumlah isipadu sebesar 1 bilion kubik meter. Jumlah isipadu itu apabila didarabkan dengan purata kadar kepadatan awan jenis kumulus akan memberikan anda anggaran 500,000 kg!

Jika kita ambil purata berat sebuah kereta Perodua Myvi yang dianggarkan 960kg setiap satu, berat segumpal awan ibarat 520 buah Myvi yang disusun rapat-rapat terapung di udara.

Itu baru anggaran awan jenis kumulus. Kita belum mengira anggaran berat awan yang lebih padat, seperti awan kumulonimbus yang bukan saja padat malahan jauh lebih besar saiznya.

Bagaimana awan seberat itu boleh terapung?

awan di langit

Awan terapung kerana badannya dibentuk oleh titisan-titisan air atau partikel-partikel ais (bila suhu rendah) yang terlalu halus untuk dilihat oleh mata kasar.

Setiap titisan yang membentuk awan adalah terlalu kecil sehinggakan setiap masa pergerakan udara yang dikenali sebagai pergerakan termal, yang akan membawanya bersama tanpa titisan itu terkesan dengan daya jatuhan.

Udara yang panas hasil pergerakan termal akan menolak titisan air ke atas sementara di bahagian bawah awan pula titisan-titisan cecair baru akan terbentuk.

Proses pembentukan dan penolakan titisan ini berlaku setiap masa pada semua awan yang ada, mengakibatkan kepadatan udara sentiasa berubah membantu mengapungkan awan di udara.

Semua proses ini pula berlaku pada jarak ketinggian yang jauh dari tanah. Ketinggian awan dikategorikan kepada tiga kategori; rendah, pertengahan dan tinggi.

Awan paling rendah berada pada kedudukan purata sehingga 2 km daripada paras tanah sementara awan kategori tinggi pula berada pada ketinggian lebih 3 km dari kedudukan kita.

OK. Siapa setuju nak dermakan Perodua Myvi dia untuk ditembak ke udara untuk kita cuba apungkan di atas sana?

Rujukan

Why do clouds float when they have tons of water in them?



Hakcipta iluminasi.com (2017)