Sesetengah lelaki tidak peduli bagaimana penampilan mereka. Apa yang ada secara semulajadi, mereka terima. Macam penulislah. Misai pun malu-malu nak keluar.
Tetapi bagi kumpulan kategori lelaki lain, memiliki sifat-sifat yang membawakan imej lebih kejantanan menjadi idaman. Zaman sekarang ramai lelaki mahu kelihatan bergaya, macho dan segak dengan jambang lebat yang dijaga rapi. Cuma masalahnya, bukan semua orang dikurniakan dagu yang mampu menumbuhkan jambang lebat.
BESARKAN TEKS A- A+
Untuk menangani 'kekurangan' ini, semakin ramai kelompok lelaki sudah mula menjadikan rawatan kosmetik penanaman jambang sebagai pilihan bagi membolehkan mereka ada imej yang mereka ingini.
Cuma apa perspektif tindakan ini menurut Islam?
Bagaimana prosedur ini dilakukan?
Sebelum kita berbicara tentang fatwa dan hukumnya, nak tahu tak bagaimana penanaman jambang ini berlaku? Menarik sebenarnya! Prosedur ini selalunya bermula dengan kehadiran penderma, yang akan mendermakan bahagian rambut atau jambangnya terlebih dahulu.
Kami tidak tahu apa kriteria seseorang itu layak menderma dipilih. Dari pihak penderma, rambut yang biasanya di bahagian belakang kepala atau di bawah dagu akan dipilih, kerana rambut dikawasan ini mempunyai folikel rambut yang kuku dan lebih kuat.
Ada dua prosedur akan dilakukan ke atas pederma bagi mendapatkan folikel yang bakal didermakan. Yang pertama dikenali sebagai proses ekstraksi unit folikel atau follicular unit extraction, FUE. Dengan teknik FUE, folikel rambut individu diekstrak terus dari kulit penderma menggunakan alat kecil seperti penebuk.
Teknik kedua pula adalah pemindahan unit folikel atau follicular unit transplantation (FUT). FUT pengambil sedikit kulit kepala penderma yang mengandungi folikel rambut.
Menyusun satu per satu helaian rambut
Setelah folikel rambut berjaya diperolehi tak kiralah melalui kaedah mana sekalipun, masih memerlukan pakar bedah dengan teliti menyusun folikel ke dalam kawasan jambang satu persatu. Susunan ini penting untuk mencipta jambang yang kelihatan semula jadi, di mana folikel yang ditanam akan diselerakkan secara sekata dan tahap kedalaman 'tanamannya' juga akan diambil kira.
Habis prosedur tanaman yang rumit, adalah normal untuk pesakit mengalami kemerahan pada kulit dan mungkin juga kecil. Ia seperti janggut anda terkena selaran matahari. Bagaimanapun tempoh masa pemulihannya dikatakan agak cepat dan penerima tidak perlu menunggu lama untuk keluar bergaya dengan jambang baru.
Cuma risikonya adalah, bila sesuatu dicipta secara tidak semulajadi...memang jelas kan nampak tidak semulajadi? Pasti akan ada keanehan pada rupa bentuk jambang yang ditanam.
Jadi apa fatwa yang ada berkenaan tanam jambang?
Di negara kita mufti-mufti memang giat memainkan peranan masing-masing mengeluarkan fatwa dan panduan bagi membantu masyarakat Islam, menangani hidup yang semakin banyak dugaannya. Begitulah juga halnya dalam topik tanam jambang ni.
Bolehkah kita tanam jambang? TIdak boleh melainkan ada keperluannya. Apa yang jelas, rasa nak berjambang dan nak kelihatan lebih jantan tidak dikira sebagai satu keperluan yang mengharuskan. Melalui pewartaan fatwa pada 21 November 2022, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan secara jelas melarang lelaki Muslim kerana perbuatan itu dilihat sebagai sesuatu yang mengadakan apa yang tidak wujud.
Selain daripada wujud risiko ke atas kesihatan lelaki itu, perbuatan terlalu mendambakan kesempurnaan sehingga sanggup menanam jambang pada wajah sendiri adalah tindakan yang tidak patut dilakukan mana-mana lelaki - kerana kita harus menerima fitrah kita tidak dikurniakan tidak berjambang lebat atau lengkap, sebagai identiti fitrah kita.
Bukan itu saja larangannya. Hukumnya juga difatwakan haram bagi mana-mana individu terlibat, baik sebagai penderma folikel mahupun doktor yang menanam setiap folikel rambut ke wajah penerima. Jelas kan?
Pendapat ini turut dikongsi dalam pewartaan ringkas Majlis Fatwa Negeri Perlis, yang melarang tindakan menanam jambang dan rambut ke bahagian badan tanpa ada maslahah.
Penulis kongsikan penjelasan Ustaz Azhar Idrus di atas yang dengan ringkas menyimpulkan isu ini dengan ayat mudah. Kalau kita nak tanam rambut kerana tidak redha dengan apa yang telah dikurniakan kepada kita, dalam isu ini jambang - jelasnya hukumnya adalah dilarang.