Oleh pada 21 Nov 2019 kategori

pri 69030950

Peranan institusi Islam dan mufti di negara kita sangat besar, menjadi individu yang dirujuk dalam bermacam jenis perihal keagamaan yang melibatkan masyarakat Islam.

Satu ketika dahulu sebelum wujudnya kemudahan internet, fatwa yang telah diputuskan tidak punya banyak cara edarannya - sama ada melalui penerbitan buku, risalah, tayangan televisyen atau radio dan beberapa cara lain lagi yang dulu bunyinya mudah, tetapi jika dibandingkan dengan capaian internet yang jauh lebih meluas; agak terhad skopnya.

Kemudahan mendapatkan informasi berkenaan fatwa membolehkan kita banyak belajar tentang fatwa yang selalu kita dengar dan ada juga fatwa yang jarang kita nak ambil tahu. Pernahkah anda terdengar atau terbaca tentang lima fatwa di bawah yang bunyinya agak unik, serta jarang sekali difikirkan kita?

1. Hukum makan daging zirafah

hukum makan daging zirafah

Makan daging ayam dan lembu merupakan satu perkara biasa - tetapi bagaimana pula dengan haiwan yang di luar daripada kebiasaan? Adakah boleh kita makan haiwan seperti kuda, zirafah dan tupai misalnya - yang memenuhi syarat-syarat sah status boleh dimakan tetapi sangat jarang dijadikan santapan kita?

Kebanyakan pendapat menyebut - tidak ada apa-apa halangan sebenarnya untuk kita makan daging binatang seperti kuda dan zirafah, walaupun ada khilaf atau perbezaan pendapat tentang perkara itu. Walau demikian, pendapat majoriti menyebut kehendak mahu makan daging kuda atau zirafah adalah harus.

Berkenaan tupai pula, kita harus membezakan jenis tupai itu sama ada tupai itu tupai jenis herbivor atau omnivor, yakni memakan daging dan tumbuh-tumbuhan. Sekiranya kita yakin tupai itu tupai herbivor - bukan jenis tupai yang memakan haiwan lain seperti anak burung misalnya, makanlah kalau nak.

2. Hukum makan keldai

keldai daging boleh dimakan

Berbeza dengan kuda, keldai lain pula ceritanya. Ini kerana dalam Islam, hukum memakan keldai mempunyai hujah yang sangat jelas dan tidak boleh disangkal - iaitu haram.

Ini kerana haiwan keldai dianggap sebagai haiwan yang kotor dan bernajis, berdasarkan kepada sebuah kisah yang direkodkan dalam bentuk hadis, berkenaan tindakan Rasulullah saw. menghalang masyarakat Muslim yang menyertai Perang Khaibar daripada memakan masakan daging yang diperolehi daripada keldai.

Hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik ra. itu berbunyi : Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya melarang kalian semua daripada memakan daging keldai kerana ia adalah kotor atau najis. (HUKUM MEMAKAN KELDAI)

3. Hukum kenajisan serigala

serigala sentuh najis

Adakah serigala tergolong dalam kumpulan anjing - jadi menyentuhnya melibatkan hukum yang harus dipatuhi dalam kategori najis berat (mughallazah)? Tidak. Ini kerana walaupun rupanya serupa seperti anjing, serigala dan haiwan sepertinya yang lain seperti rubah tidak diletak dalam kategori yang sama.

Menurut perkongsian dalam laman web Mufti Wilayah, apa yang membezakan keluarga anjing dan keluarga serigala adalah tidak ada sebarang hujah yang secara terang meletakkan serigala sama seperti anjing dari segi kenajisannya - dengan hanya anjing dan babi diberikan keutamaan dalam perspektif Islam.

Ini bermakna sekiranya seseorang Muslim menyentuh serigala yang basah, dia tidak perlu melalukan 7 kali air bercampur tanah, kerana serigala dikategorikan sebagai najis sederhana. (HUKUM MENYENTUH RUBAH ATAU SERIGALA)

4. Hukum suka melihat diri sendiri berbogel

cermin besar untuk tengok diri sendiri

Tabiat mandi dalam keadaan tidak berpakaian seurat benang pun, mungkin diamalkan ramai orang di luar sana. Bagaimanapun - ada juga segelintir orang yang gemar tidak berpakaian apabila berseorangan.

Apakah hukumnya tidak berpakaian semasa berseorangan? Sebelum menjawab soalan itu, kita perlu tahu hukum menutup aurat semasa kita berseorangan - dikategorikan sebagai amalan sunat namun ada juga yang meletakkan hukumnya wajib. Ini berdasarkan rasa malu yang sepatutnya ada kepada Allah swt.

Oleh sebab itulah fatwa untuk menjawab soalan di atas perlu melihat adakah wujud keperluan untuk seseorang menanggalkan pakaian? Jika ya, perbuatan itu dianggap harus. Bagaimanapun, jika sekadar suka berbogel bila berseorangan kerana merasa seksi sedemikian rupa - hukumnya haram. (HUKUM BERTELANJANG DAN MELIHAT AURAT SENDIRI)

5. Hukum memakan dakwat sotong

resipi sotong masak hitam

Sotong memang sedap, apatah lagi apabila digoreng biasa atau dibuat celup tepung. Bagi penggemar sotong seperti penulis, sekali-sekala dapat makan sotong ni memang terasa sungguhlah nikmatnya - harganya agak mahal untuk dijadikan santapan harian.

Salah satu perkara paling mencabar dalam nak menyediakan sotong ni, adalah apabila kita nak buang kantung dakwatnya atau 'pasi'; salah picit terburai lah dakwatnya mengotori dapur. Dalam hal pasi ini - tahukah anda wujud khilaf berkenaan hukum memakannya?

Mengikut laman fatwa Jakim, berdasarkan kepada mesyuarat fatwa Terengganu tahun 2011, majlis fatwa bersetuju untuk mengekalkan fatwa yang menyebut bahawa pasi sotong itu adalah najis - seterusnya menjadikannya bahan terlarang.

Bagaimanapun, pandangan itu disangkal banyak pihak yang menyifatkan pendapat itu tidak benar. Daripada segi fatwa yang berbeza, Mufti Wilayah mengeluarkan penerangan daripada perspektif beliau - mengharuskan penggunaan dakwat sotong sebagai makanan.

Penulis tak tahu sama ada sedap atau tidak masakan yang menggunakan dakwat sotong ini sebagai kuahnya, kerana memang ada resipi sebegitu - kebiasaannya digelarkan sebagai sotong masak hitam.



Hakcipta iluminasi.com (2017)