Tidak dapat dinafikan ramai yang mengimbau kenangan tahun 1990-an apabila melihat gambar di atas, kan? Bagi generasi masa kini pastinya bingung dan tidak dapat memahami apa yang berada di sebalik gambar ini.
Ia merupakan salah satu daripada screensaver yang digunakan secara meluas pada satu ketika dahulu dan masih digunakan pada hari ini tetapi untuk tujuan berlainan.
BESARKAN TEKS A- A+
Tanpa mengetahui apa sebenarnya fungsi screensaver, kebanyakan daripada kita menggunakannya untuk tujuan hiburan.
Walaupun begitu, tidak ramai yang tahu apakah fungsi sebenar screensaver dan mengapa ia dipanggil sebagai "screensaver".
Mengapa perlu gunakan screensaver?
(Monitor CRT)
Kebanyakan daripada monitor komputer satu ketika dahulu mempunyai tiub sinar katod (CRT), yang memaparkan gambar ke skrin menggunakan fosfor.
Namun, bagi monitor CRT terutamanya monokrom, ia akan menghadapi masalah jika sesuatu imej yang sama dipaparkan terlalu lama.
Fosfor yang digunakan untuk menghasilkan piksel di layar, akan bersinar pada kadar yang tetap namun sekiranya gambar tertentu dibiarkan terlalu lama, fosfor boleh meninggalkan kesan di kaca monitor dan fenomena dikenali sebagai burn-in.
Perubahan warna akibat sinaran fosfor ini akan menyebabkan permukaan kaca CRT berubah dan kemudiannya dapat dilihat sebagai gambar samar yang menutupi apa sahaja yang dipaparkan di monitor.
(Tiub sinar katod)
Untuk menghindarkan perkara ini daripada berlaku, para pengaturcara komputer mencipta fail imej bergerak yang dinamakan sebagai screensaver, yang akan bertindak secara automatik apabila skrin anda tidak aktif terlalu lama.
Dengan pengaktifan screensaver ini, skrin anda tidak lagi akan memaparkan imej yang sama pada tempoh yang terlalu lama. Dan sebab itulah ia dinamakan sebagai "screensaver" atau "penyelamat skrin" kerana ia menghindarkan skrin anda daripada rosak.
Disebabkan kemajuan dalam teknologi komputer dan paparan, CRT tidak lagi popular dan digantikan dengan paparan kristal cecair (LCD).
LCD bukan sahaja lebih kecil, ringan dan lebih cekap tenaga, ia juga berfungsi tanpa fosfor jadi anda tidak perlu bimbang tentang masalah burn-in ini.
Walaupun screensaver tidak lagi "menyelamatkan" banyak skrin pada hari ini, ia masih seronok dilihat dan digunakan.
Malah, ia lebih menyeronokkan berbanding dahulu kerana grafik adalah lebih komplek dan kita dihidangkan dengan banyak pilihan di internet.
Nilai hiburan adalah salah satu daripada beberapa sebab utama mengapa screensaver bertahan sekian lama.
Satu lagi sebab mengapa ia masih digunakan adalah keselamatan siber.
Sebilangan screensaver moden meminta anda memasukkan kata laluan untuk mendapatkan kembali akses ke komputer anda, jadi ini boleh mencegah komputer anda daripada akses yang tidak diingini ketika anda meninggalkan komputer.
Malah, sesetengah syarikat mengkehendaki pekerja mereka menggunakan screensaver untuk tujuan ini.
Bagi syarikat-syarikat lain, fungsi screensaver adalah sebagai alat penjenamaan atau komunikasi.
Jika semua pekerja menggunakan screensaver yang sama, ia mewujudkan rasa identiti, yang juga dapat dilihat oleh pelanggan ketika mereka berkunjung.
Syarikat, terutama perniagaan runcit, yang memiliki komputer di kawasan yang dapat diakses oleh pelanggan sering memaparkan screensaver yang mempromosikan perniagaan atau produk mereka.
Screensaver korporat juga boleh dikemas kini dengan notis penting dan maklumat berkaitan yang lain.
Rujukan:
2. Mental
3. Screensaver