Sekiranya anda berkunjung ke negeri utara Semenanjung Malaysia, khasnya Perlis, Kedah dan Pulau Pinang - amat mudah untuk anda bertemu dengan kumpulan atau individu Sami Buddha berjalan dengan pakaian warna jingga mereka.

Ada juga di antara mereka yang bertanggungjawab mengutip derma bagi tujuan memudahkan aktiviti keagamaan mereka, sehinggakan langkah itu ditiru oleh beberapa individu tidak bertanggungjawab; menyamar sebagai Sami Buddha bagi mendapatkan wang secara mudah.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernah tak anda terfikir, apa sebenarnya yang mereka lakukan setiap hari?

Matlamat menjadi Sami Buddha

coronation bangkok thai king maha vajiralongkorn in 37152f12 85ed 11e9 8812 e0f6aa62d95d

Untuk menjadi seorang Sami secara rasmi memang memerlukan pengorbanan yang cukup besar daripada setiap individu penganut agama Buddha. Ini kerana hidup sebagai seorang Sami memerlukan seseorang meninggalkan sepenuhnya kehidupan mereka sebelum itu, menjadikan tokong-tokong Buddha sebagai kediaman baru mereka sehingga ke akhir hayat.

Matlamat mengabdikan diri sebagai seorang Sami hanya satu - mencapai apa yang dikatakan sebagai 'sopdhisesa nirvana', makam tertinggi yang cuba dicapai setiap penganut agama Buddha bagi menyucikan diri seterusnya meninggalkan segala bentuk godaan yang ada di dunia.

Berikutan zaman yang moden, syarat-syarat asas untuk menjadi seorang Sami kini menjadi lebih mudah tidak lagi terikat seperti sebelum ini. Pada asasnya, seorang yang ingin menjadi Sami perlu mengetahui beberapa bab terpenting tentang ajaran Buddha, seperti empat kebenaran, lapan jalan ketetapan serta kaedah untuk mencapai tahap kesucian diri.

Selain itu, sifat-sifat keji dalam diri perlulah dilatih untuk dihindarkan dan seorang Sami Buddha wajib untuk langsung tidak mementingkan diri sendiri selama mana dia hidup.

Apakah syarat menjadi seorang Sami?

monasteri buddha

Secara amnya tidak ada syarat umur minima dan maksima bagi seseorang memilih hidup ini, namun kebiasaannya kanak-kanak berusia 7 tahun merupakan yang paling muda akan diterima masuk. Individu itu perlulah sendirian, tiada pasangan hidup. Sekiranya ada, dia perlulah mencerai atau melepaskan pasangannya terlebih dahulu.

Menjadi Sami memerlukan seseorang itu waras, sihat dan sedar tanggungjawab yang akan dipikulnya untuk belajar dan berkhidmat. Bagi memenuhi tuntutan meninggalkan dunia sepenuhnya, seorang Sami dimestikan agar tidak lagi mempunyai sebarang hutang, akaun bank atau sebarang bentuk kad kredit dari pihak bank.

Ekoran itu, apabila keputusan telah dibuat - sara hidup seorang itu daripada empat perkara asas; makanan, pakaian, tempat tinggal dan ubat-ubatan akan ditanggung sepenuhnya oleh monasteri di mana dia akan menetap. Tidak ada beza syarat-syarat antara lelaki atau wanita.

Hidup Sami Buddha yang sangat tradisional

sami pose kamera

Lari daripada hiruk-pikuk dunia moden, corak hidup yang diamalkan oleh seorang Sami Buddha setiap hari memang bertujuan untuk membolehkan seseorang itu fokus pada amalannya.

Seorang Sami Buddha perlu bangun awal kebiasaannya sekitar jam 4 pagi, bagi membolehkan mereka memulakan hari mereka dengan amalan meditasi selama sejam sebelum disambung dengan bacaan ayat-ayat sejam berikutnya. Selesai upacara itu, mereka akan berjalan dengan kaki ayam menyapa dan bertemu dengan penduduk setempat, sebagai usaha menyebarkan kebaikan.

Bagi komuniti Buddha, pada ketika inilah mereka akan menghadiahkan Sami-Sami ini dengan makanan sebagai tanda terima kasih mereka kepada individu yang sanggup meninggalkan segalanya demi agama. Pada jam 8 pagi, mereka akan makan pagi bersama-sama sama ada dengan makanan yang didermakan atau makanan yang disediakan pihak kuil.

Menahan lapar dalam menjalankan amalan seharian

sami berjalan kaki ayam

Selesai sarapan, kumpulan Sami tadi akan terus bertafakur dan memohon hajat bersama-sama sehinggalah tibanya waktu tengahari. Waktu ini penting kerana ini adalah detik terakhir mereka boleh makan, jadi biasanya Sami-Sami akan menjamah hidangan ringan bagi mengisi perut.

Selepas itu mereka akan mula berpuasa daripada makan meneruskan rutin hidup mereka yang baru separuh jalan berlangsung.

Pada waktu tengahari, bermula jam 1 - ceramah atau kelas berkenaan ilmu spiritual mereka akan bermula dan kelas ini berlanjutan sehinggalah ke jam 6 petang. Selain daripada sesi di dalam kuil mereka, ada juga Sami yang dihantar untuk belajar di luar bergantung kepada keperluan masing-masing.

Selesai kelas, mereka akan kembali berkumpul bagi sekali lagi bersama-sama bertafakur dan memohon hajat. Pada ketika inilah proses sembahyang mereka akan bermula.

Tepat jam 8 malam, setiap Sami yang ada diberikan masa untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan ruangan yang peribadi atau ruangan dikongsi bersama. Ada juga Sami yang mengambil kesempatan ketika ini untuk terus sambung belajar menggunakan peralatan sendiri.

Begitulah secara ringkas apakah persediaan yang perlu dilakukan oleh seseorang untuk menjadi seorang Sami Buddha serta rutin hidup yang akan ditempuhnya selepas itu. Besar sekali sebenarnya pengorbanan mereka, khasnya pengorbanan untuk sanggup hidup sendirian sepanjang hidup tanpa boleh lagi mempunyai pasangan yang layak dicintai.

Tanya kami sanggup atau tidak - kami tak sanggup untuk lakukan apa yang mereka lakukan.

Rujukan

The Daily Life of a Thai Monk




Hakcipta iluminasi.com (2017)