Kalau makan gula-gula getah masa kecil, kaum ibu mesti selalu berpesan, "Makan baik-baik, jangan sampai tertelan! Nanti tercekik boleh mati!"

Tapi pernah tak perasaan ingin tahu menebal dalam diri dan berfikir, "Kalau aku betul-betul telan, apa jadi? Betul ke mati?"

Ada juga teori yang mengatakan kalau tertelan chewing gum, ia akan berada dalam perut bertahun-tahun lamanya. Jadi, kita perlu buat pembedahan untuk keluarkannya atau bagaimana?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bukan makanan?

Chewing gum, bubble gum atau gula-gula getah ini sebenarnya agak pelik sedikit. Kita kunyah ia sama seperti makanan lain. Ia juga mempunyai perasa serta rasa manis dan sedap seperti makanan lain. Namun, ia bukanlah sejenis makanan pun. Nak panggil gula-gula juga tidak boleh kerana gula-gula boleh ditelan.

macam macam jenis bubble gum chewing gum gula gula getah ada dijual

Chewing gum pada zaman dahulu diperbuat daripada tar semula jadi yang melekit dan boleh diregangkan. Kemudian, manusia mula mengambil getah pokok pula sebagai bahan utama dan terkini, kebanyakan gula-gula getah boleh dibuat menggunakan getah sintetik.

Tidak boleh dihadam

Walaupun ia diperbuat daripada mana-mana bahan sekalipun, gula-gula getah masih tidak boleh dihadam. Ini disebabkan tubuh manusia tidak menghasilkan bahan kimia yang boleh menguraikan polimer getah itu sendiri.

buang chewing gum di tempat sepatutnya

Apa yang berlaku pada gula-gula getah yang ditelan?

Memanglah kita tidak boleh mencernakannya, tapi ini tidak bermakna yang ia akan kekal berada dalam perut. Setelah tubuh menyerap segala nutrien daripada chewing gum, getah resin yang tinggal akan dikumuh dan dikeluarkan seperti najis biasa.

American Chemical Society telah mengeluarkan video ini untuk menceritakan dengan lebih lanjut apa yang akan berlaku sekiranya anda tertelan gula-gula getah:

Adakah ini bermakna anda akan selamat sekiranya tertelan chewing gum? Ya dan tidak. Sekiranya anda tertelan seketul sahaja gula-gula getah, ia tidak akan memudaratkan. Anda tak akan mati kalau tertelan gula-gula getah.

Namun, sekiranya anda tertelan gula-gula getah dengan banyak, ia boleh menyekat saluran penghadaman, terutama sekali pada kanak-kanak. Keadaan ini boleh menyebabkan sembelit yang amat menyakitkan dan mungkin memerlukan bantuan doktor. Anda boleh baca sendiri kajian kes daripada senarai rujukan di bawah.

Apa-apa pun, berhati-hatilah. Kalau nak bagi sangat anak-anak kecil makan chewing gum, pastikan anda beri sebahagian kecil sahaja. Jangan biarkan mereka makan dalam kuantiti yang banyak.

ini biadap tinggal dan buang chewing gum di atas jalan

Akhir kata, kalau makan chewing gum, janganlah buang merata-rata. Biadab, tahu tak?

Rujukan:

1. Mayo Clinic

2. American Academy of Pediatrics

3. Kids Health




Hakcipta iluminasi.com (2017)