Istilah 'israiliyat' sering kali disebutkan di kalangan masyarakat Islam khasnya, dengan penerimaan orang ramai terhadap ini nyata sekali berbeza-beza.

Ada kalanya disebut sahaja 'israiliyat' nampak seakan-akan mahu diludah-ludah saja tajuk itu, sementara ada juga pihak yang lebih terbuka untuk mendengar apa yang terkandung dalam 'israiliyat' walaupun sedar perkara itu belum tentu ada benarnya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun begitu bukan semua orang faham tentang apa sebenarnya yang dikatakan sebagai 'israiliyat', walau sepopular mana istilah itu. Ini kerana ada kalanya istilah itu digunakan sebagai satu stigma bagi memudahkan masyarakat faham namun persoalannya di sini - adakah tindakan sebegitu perlu?

Atau kita perlu mendidik masyarakat tentang israiliyat dengan lebih baik?

Apakah 'israiliyat'?

kumpulan penyembah lembu

Bagi umat Islam, kami memahami bahawa perkataan 'Israil' atau 'Israel' sebenarnya merujuk bukan kepada kaum zionis yang menguasai dan merampas Palestin, tetapi sebenarnya merujuk kepada Nabi Yaakub as.

Jadi 'israiliyat' juga sebenarnya berkait dengan Baginda serta keturunan Baginda yang lahir menjadi Bani Israil sehinggalah ke zaman Nabi Musa as., Isa as. dan Muhammad SAW. Keturunan Nabi Yaakub as. ini dikurniakan dengan beberapa kitab seperti yang telah disebutkan dalam al-Quran, iaitu kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa as. dan kitab Zabur yang dianugerahkan kepada Nabi Daud as.

Dalam masa yang sama, keturunan Bani Israil ini juga diturunkan lembaran-lembaran suci dan hasil kompilasi kesemua kandungan Taurat, Zabur dan lembaran ini disatukan dikenali sebagai Perjanjian Lama atau The Old Testament. Berbeza dengan sistem hadis yang diamalkan umat Islam era Nabi Muhammad saw, orang Bani Israil pula mempunyai sistem pewarisan lisan ajaran Nabi yang hampir serupa dinamakan sebagai Talmud.

Talmud adalah segala bentuk ajaran meliputi kaedah, pesanan, undang-undang, moral, akhlak , tafsiran, ajaran secara syarahan dan pelbagai lagi bentuk ajaran lisan, yang diriwayatkan secara mulut ke mulut.

Hasil daripada gabungan Taurat dan Zabur yang sudah dipinda atau ditukar kandungannya, lembaran-lembaran lama serta sistem Talmud yang menggunakan lisan, menjadi punca wujudnya apa yang kita namakan sebagai Israiliyat.

Bahaya Israiliyat pada masyarakat

orang yahudi ortodoks israiliyat

Walau apa pun pandangan anda tentang kitab-kitab agama lain, satu perkara yang perlu kita khasnya sebagai umat Islam perlu fahami - kandungan kitab-kitab yang sudah berlakunya pindaan, pertukaran atau penambahan ini tidaklah menjadikan 100% kita patut menolak isi kandungan kitab tersebut.

Kitab al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk melengkapkan ajaran tauhid yang telah bermula sejak Nabi Adam as. lagi, malahan menjadi pembetul atau saksi kepada kitab-kitab terdahulu, tentang kebenarannya. Ini bermakna sekiranya ada isi kandungan kitab-kitab terdahulu yang telah diseleweng, namun tidak berlawanan dengan hukum atau kisah dalam al-Quran - kandungan itu tetap layak diambil sebagai kebenaran.

Sekiranya anda mengkaji kandungan dalam kebanyakan kitab orang Yahudi dan Nasrani, kandungan yang ada di dalamnya masih lagi berkisar kepada peringatan tentang akhlak, membentuk jiwa serta melembutkan hati - dengan penambahan serta kisah dongeng tetap wujud namun dalam jumlah yang sedikit. Berbeza dengan Israiliyat.

Israiliyat mempunyai terlalu banyak penambahan sehinggakan perkara yang salah menjadi asasnya, sementara perkara yang benar - walaupun ada - hanya tinggal sedikit sahaja. Ini bukanlah bermakna 100% apa yang terkandung dalam kisah-kisah Israiliyat itu menipu, tetapi amat jelas israiliyat mempunyai pendustaan yang terang, lebih banyak menjerumuskan pembaca kepada kemudaratan berbanding kebaikan.

Kesukaran masyarakat mengenali unsur Israiliyat

maksud sebenar dan apa itu israiliyat

Untuk mengetahui sama ada sesuatu ilmu itu mempunyai unsur-unsur adunan kisah dari Israiliyat, merupakan perkara yang agak sukar bagi orang kebanyakan seperti kita. Namun bagi mereka yang mempelajari tentang pengajian hadis, individu ini adalah individu yang paling layak memperjelaskan kepada masyarakat tentang elemen Israiliyat yang sangat popular.

Secara amnya, elemen Israiliyat boleh dikenalpasti daripada percanggahan yang timbul dengan al-Quran dan hadis, melibatkan pertembungan fakta yang saling bertentangan khasnya melibatkan pengetahuan tentang perkara-perkara yang tidak terkandung dalam al-Quran - tetapi cuba diperjelaskan secara sangat mendalam melalui riwayat-riwayat popular.

Ini kerana unsur Israiliyat banyak terkandung dalam kisah yang menarik untuk disampaikan.

Antara topik-topik yang agak sarat dengan percampuran elemen Israiliyat berkait dengan kisah-kisah kejadian makhluk, langit dan bumi, rahsia-rahsia kehidupan serta sejarah-sejarah kejadian makhluk di diunia. Kisah berkaitan Rasul Allah terdahulu, seperti Nabi Adam as., Nabi Nuh as dan Nabi Musa as. juga mengandungi tokok tambah Israiliyat tertentu di dalamnya.

Dalam kisah para Nabi, riwayat-riwayat Israiliyat ini kebiasaannya akan cuba menokok tambah perkara-perkara yang kononnya penting, seperti jenis pokok yang menjadi pohon larangan atau dimensi sebenar kapal Nabi Nuh. as yang dibina, sehinggakan kita sendiri lebih banyak menumpukan perbahasan kepada perkara tersebut.

Selain itu, riwayat Israiliyat juga gemar menerangkan tentang perkara-perkara ghaib secara berlebih-lebihan, seperti beberapa riwayat yang cuba menjelaskan rupa arasy Allah swt., hakikat sebenar syurga dan neraka, jambatan sirat, asal kejadian roh - dengan jauh lebih terperinci berbanding apa yang terkandung dalam al-Quran dan hadis.

Pengaruh Israiliyat dalam kitab-kitab orang Melayu

ashabul kahfi gua israiliyat

Untuk menulis tentang pengaruh Israiliyat dalam kitab-kitab agama Islam karya orang Melayu, agak sukar kerana terlalu banyak tulisan kitab-kitab ini didapati mempunyai elemen-elemen Israiliyat di dalamnya. Jadi penulis memilih untuk menggunakan kisah popular Ashabul Kahfi, yang menceritakan tentang sekumpulan pemuda beriman kepada Allah saw. ditidurkan selama 309 tahun.

Di dalam al-Quran, memang ada dikisahkan tentang kumpulan pemuda itu mengasingkan diri daripada masyarakat mereka ketika itu, yang sudah sesat dan berlindung di dalam sebuah gua. Doa mereka dimakbulkan, dilindungi sepanjang tidur yang panjang bersama seekor anjing yang mengawasi mereka sebelum terjaga dan mendapati zaman sudah berlalu pergi.

Beberapa kitab tafsir cuba memperincikan lagi penerangan yang ada, menjelaskan nama-nama pemuda itu dan anjing mereka malahan warna anjing pengawal mereka juga turut menjadi perbahasan. Perdebatan tentang apa yang dilakukan kumpulan pemuda itu sebelum mereka berpindah ke gua, asal mereka, keturunan mereka juga menjadi perbincangan banyak kitab tafsir.

Kebanyakan usaha perincian kisah Ashabul Kahfi ini dilakukan dengan bersandarkan kepada riwayat-riwayat yang datang daripada Israiliyat, dengan banyak pendapat menyebut datang daripada Ahli-Ahli kitab zaman dahulu yang telah memeluk Islam.

Dalam Tafsir Ibnu Kathir, walaupun ada disebutkan riwayat-riwayat ini lengkap dengan perinciannya - ada diperingatkan bahawa sumber-sumber perincian ini tidak kukuh sumbernya serta tidak membawa sebarang faedah, kepada yang mengetahuinya. Ahli kitab yang menjadi rujukan juga dikhuatiri tidak jelas tentang perinciannya dan akhirnya memilih untuk mereka-reka riwayat, untuk cuba membolehkan pertanyaan dijawab sepenuhnya.

Kisah Ashabul Kahfi yang telah ditokok tambah ini banyak diceritakan semula dalam kitab serta manuskrip lama orang Melayu, diceritakan daripada satu generasi ke generasi seterusnya; sehinggakan kita sendiri lebih cenderung untuk membincangkan tentang perkara kecil yang tidak penting, lari jauh daripada al-Quran serta tujuan sebenar kisah itu disampaikan.

Kenapa perkara ini berlaku dalam masyarakat kita?

ceramah kepada orang islam

Banyak penyelidik berpendapat, manuskrip lama orang Melayu gemar menggunakan teknik penceritaan sebegini sebagai satu usaha untuk memperjelaskan kandungan al-Quran dalam bentuk yang lebih mudah diterima masyarakat Melayu zaman dahulu. Kisah-kisah aneh serta menakjubkan, dipersembahkan dalam bentuk yang menarik agar orang Melayu zaman dahulu lebih mudah untuk mengenali dan menerima agama Islam.

Dengan penambah baikan teknologi serta kemampuan perkongsian maklumat yang jauh lebih mudah pada zaman sekarang, tidak salah rasanya untuk kita sama-sama kembali memperbetulkan dan menghalusi elemen-elemen Israiliyat ini agar dapat dikenalpasti seterusnya diperjelaskan - agar generasi kita selepas ini tahu yang mana benar dan yang mana palsu.

Rujukan

Israiliyat dan Hadis Palsu Dalam Kitab Tafsir (PDF)




Hakcipta iluminasi.com (2017)