mineral kedah sumber asli rare bumi

Baru-baru ini kerajaan Kedah mengumumkan perjanjian dengan syarikat usaha sama yang berpusat di Kuala Lumpur untuk melombong unsur nadir bumi (UNB) atau "rare earth elements" (REE), yang dikatakan banyak terdapat di Sik, Kedah.

Urus janji dengan syarikat itu yang dipercayai mempunyai rakan kongsi antarabangsa, akan memungkinkan pengengekstrakan mineral yang dikatakan bernilai RM62 bilion oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Namun, ramai yang masih kurang tahu apa itu elemen nadir bumi ini dan apa kegunaannya? Adakah ia benar-benar "rare"?

Unsur nadir Bumi

adakah unsur nadir bumi benar benar rare

Unsur-unsur nadir Bumi adalah sekumpulan tujuh belas unsur-unsur kimia yang terletak bersama-sama dalam jadual berkala

Kumpulan ini terdiri daripada unsur yttrium dan 15 lanthanide iaitu lanthanum, cerium, praseodymium, neodymium, promethium, samarium, europium, gadolinium, terbium, dysprosium, holmium, erbium, thulium, ytterbium, dan lutetium.

Skandium ditemui dalam kebanyakan deposit unsur nadir Bumi dan kadang-kala diklasifikasikan sebagai unsur nadir bumi. Kesatuan Antarabangsa Kimia Tulen dan Gunaan merangkumi skandium dalam definisi unsur nadir bumi mereka.

Semua unsur nadir bumi adalah logam dan kumpulan ini sering disebut sebagai "logam nadir bumi."

Logam-logam ini mempunyai banyak ciri-ciri yang sama dan ini sering kali membuatkannya ditemui bersama-sama deposit geologi.

UNB juga disebut sebagai "oksida nadir bumi" kerana kebanyakannya biasanya dijual sebagai sebatian oksida.

unsur nadir bumi

Pada tahun 1993, 38% daripada pengeluaran UNB adalah di China, 33% di Amerika Syarikat, 12% di Australia, 5% di Malaysia dan India.

Yang selebihnya dikeluarkan oleh beberapa negara lain termasuklah Afrika Selatan, Brazil, Kanada, Sri Lanka dan Thailand.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2008, China menyumbang lebih daripada 90% pengeluaran UNB dunia dan menjelang tahun 2011, peratusan itu meningkat kepada 97%.

Bermula pada tahun 1990 dan seterusnya, bekalan UNB bermasalah apabila pemerintah China mulai mengubah jumlah UNB yang dibenarkan untuk dihasilkan dan dieksport.

Kerajaan China juga mulai mengehadkan jumlah syarikat usaha sama China dan asing yang boleh mengeksport UNB dari China. 

Kegunaan Unsur Nadir Bumi

unsur nadir bumi digunakan menghasilkan telefon bimbit

Unsur nadir bumi adalah bahagian penting dalam pelbagai peranti berteknologi tinggi.

UNB adalah komponen yang sangat penting bagi lebih daripada 200 produk pelbagai aplikasi, terutamanya produk pengguna berteknologi tinggi seperti telefon bimbit, cakera keras komputer, kenderaan elektrik dan hibrid, serta monitor dan televisyen skrin rata dan banyak lagi.

Selama dua puluh tahun kebelakangan ini, terdapat banyak permintaan terhadap produk yang memerlukan logam nadir bumi. 

Ini kerana 20 tahun yang lalu, tidak ramai yang memiliki telefon bimbit namun lebih daripada 5 bilion orang yang memiliki peranti ini.

Malah, penggunaan UNB dalam komputer berkembang sama pesat dengan telefon bimbit dan pintar.

Banyak bateri yang boleh dicas semula diperbuat dengan sebatian nadir bumi. Permintaan bateri ini didorong oleh permintaan untuk peranti elektronik mudah alih seperti telefon bimbit, komputer mudah alih dan kamera.

Sebatian nadir bumi juga terdapat dalam bateri yang menjana kuasa setiap kenderaan elektrik dan kenderaan elektrik hibrid.

Pengurangan kebergantungan terhadap tenaga, perubahan iklim dan masalah lain menggalakkan penjualan kenderaan elektrik dan hibrid sekaligus meningkatkan permintaan bateri yang dibuat dengan sebatian nadir bumi dengan lebih pesat.

kegunaan unsur nadir bumi 661

Unsur-unsur ini juga digunakan sebagai pemangkin, fosfor, dan sebatian penggilap yang mana digunakan untuk kawalan pencemaran udara, skrin pada alat elektronik, dan penggilap kaca berkualiti optik.

Semua produk ini dijangka mengalami peningkatan permintaan.

Bukan itu sahaja, unsur-unsur ini juga memainkan peranan penting dalam ketenteraan di mana ia digunakan untuk menghasilkan aplikasi pertahanan penting yang merangkumi paparan elektronik, sistem panduan, laser, dan sistem radar dan sonar.

Walaupun jumlah UNB yang digunakan dalam produk mungkin bukan merupakan bahagian yang signifikan bagi produk tersebut dari segi berat, nilai, atau jumlah, namun UNB diperlukan untuk peranti tersebut berfungsi.

Sebagai contoh, magnet yang diperbuat daripada UNB hanya mempunyai sebahagian kecil unsur ini dari segi berat keseluruhan, namun tanpanya, gelendong motor dan gegelung suara desktop serta komputer riba tidak mungkin boleh dihasilkan.

Bahan-bahan lain boleh digunakan untuk menggantikan unsur nadir bumi dalam kegunaannya yang penting namun ia biasanya kurang berkesan, mahal dan mengurangkan kehebatan peranti ketenteraan.

Adakah unsur-unsur ini benar-benar "rare"?

unsur nadir bumi

Walaupun namanya mempunyai perkataan "rare" atau "jarang", namun ia bukanlah bermakna UNB sukar ditemui atau wujud dalam jumlah yang sedikit.

Sebagai contoh, thulium dan lutetium adalah dua unsur nadir bumi yang paling sedikit di antara semua unsur tetapi dianggarkan masing-masing mempunyai jumlah 200 kali ganda lebih daripada jumlah emas.

Walau bagaimanapun, logam ini sangat sukar dilombong kerana jarang ditemui dalam kepekatan yang cukup tinggi untuk pengekstrakan ekonomi.

Unsur nadir bumi yang paling banyak adalah cerium, yttrium, lanthanum dan neodymium. 

Jumlah keempat-empat unsur ini adalah sama dengan dengan jumlah logam industri yang biasa digunakan seperti kromium, nikel, zink, molibdenum, timah, tungsten, dan plumbum.

Dan sama seperti UNB lain, 4 unsur ini juga jarang ditemui dalam kepekatan yang dapat diekstrak. 

Rujukan:

1. American Geosciences

2. Geology

3. Foreign Policy

 



Hakcipta iluminasi.com (2017)