Salah sebuah lagu yang cukup popular di kalangan masyarakat kita adalah lagu berjudul 'Tanya Sama Itu Hud-Hud' nyanyian komposer dan penyanyi terkenal Dato' M. Nasir.
Lirik lagu itu mempunyai banyak makna yang tersirat yang setiap masa berjaya menimbulkan sifat ingin tahu dan pelbagai pertanyaan dalam masyarakat apa maksud sebenarnya. Salah satu bait lirik yang paling terkenal serta sering di ulang-ulang pula adalah baris di bawah;
BESARKAN TEKS A- A+
"Tujuh puluh tiga pintu, tujuh puluh tiga jalan, yang sampai hanya satu jalan."
Sekiranya anda selama ini termenung memikirkan apa maknanya atau faham maksudnya, tetapi tidak betul-betul mendalami makna disebalik baris ayat itu - jom kita kaji.
Unsur Islamik dalam lirik lagu
Sebagai penulis, kami kerap memuatnaik artikel budaya pop yang membincangkan tentang filem dan muzik norma. Selain itu, Iluminasi juga kerap cuba membawa perbincangan berkenaan isu-isu agama.
Namun, jarang sekali kedua-dua perkara ini dapat diadunkan di mana budaya popular seperti sebuah lagu dapat membawa kepada perbincangan berkenaan isu-isu ilmu agama. Di situlah pada penulis terletaknya keistimewaan lagu 'Tanya Sama Itu Hud-Hud' ; mampu membuatkan kita terhibur dan pada masa yang sama - mempersoalkan di manakah letaknya hubungan kita dengan Dia yang Maha Esa.
Ayat "tujuh puluh tiga pintu, tujuh puluh tiga jalan, yang sampai hanya satu jalan" itu sebenarnya diambil daripada hadis Rasulullah saw. yang menjadi kepercayaan umat Islam.
Asal-usul '73 pintu 73 jalan'
Ungkapan lirik itu sebenarnya merupakan satu imaginasi semula sebuah hadis sahih yang disebutkan oleh beberapa orang periwayat hadis yang dipercayai. Bagaimanapun, atas nilai artistik - M. Nasir menggunakan metafora 'pintu' dan 'jalan' bagi menggantikan istilah asal yang digunakan dalam hadis-hadis tersebut iaitu 'golongan.'
Kami kongsikan empat hadis yang membicarakan perkara tersebut:
Pertama
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Golongan Yahudi berpecah kepada 71 atau 72 golongan. Adapun golongan Nasrani pula berpecah kepada 71 atau 72 golongan juga dan umatku akan berpecah kepada 73 golongan. (Riwayat Abu Daud)
Kedua
Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufian RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Ketahuilah sesungguhnya golongan ahli kitab sebelum daripada kamu berpecah kepada 72 atau 73 golongan. Dan golongan ini (Islam) akan berpecah kepada 73 golongan. 72 golongan akan ke neraka dan satu golongan akan ke syurga iaitu al-Jemaah.” (Riwayat Abu Daud)
Ketiga
Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Dan akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. Semuanya akan dimasukkan ke dalam neraka melainkan satu kumpulan sahaja. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka? Nabi SAW menjawab: Apa yang aku berada di atasnya dan juga sahabat-sahabatku.” (Riwayat al-Tirmizi)
Keempat
Daripada ‘Auf bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Dan demi jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, akan berpecah umatku kepada 73 golongan kumpulan. Satu kumpulan sahaja yang akan ke syurga dan 72 kumpulan lagi akan dimasukkan ke dalam neraka. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah SAW, siapakah mereka? Nabi SAW menjawab: al-Jamaah.” (Riwayat Ibn Majah)
Walaupun kami kongsikan empat, sebenarnya masih banyak lagi rekod periwayat hadis yang menyebutkan tentang perkara ini tetapi kami tak dapatlah nak kongsikan semuanya. Cari sendiri ya!
Makna hadis ini mempunyai beberapa cara membacanya yang berbeza, namun pendapat yang paling popular menganggap Rasulullah saw. sudah pun mengetahui umat baginda yakni kita orang Muslim akan berpecah kepada 73 aliran/golongan pada akhir zaman disebabkan banyak faktor dan hanya satu sahaja yang mewarisi ajaran Baginda sepenuhnya.
Bagaimanapun, membaca maksud hadis itu sedemikian rupa tidak menceritakan keseluruhan kisahnya.
Diskusi tentang 73 golongan
Walaupun jelas disebutkan oleh Rasulullah saw. bahawa umat Islam akan berpecah kepada 73 golongan, tidak pula kita ketahui secara sahih bagaimana perpecahan itu berlaku.
Banyak pendapat ulama' menganggap umat Islam akan berpecah menjadi 73 golongan, bermula daripada wafatnya Baginda Rasulullah saw. dan proses perpecahan itu akan berlaku sedikit demi sedikit sehinggalah tiba hari kiamat di mana pada ketika itu, umat Islam boleh dilihat terbahagi kepada 73 kelompok berbeza.
Bagaimanapun, Sheikh Yusuf Qardawi serta beberapa orang ulama' lain berpendapat angka 73 itu sebenarnya tidak menandakan akan wujud 73 kelompok secara serentak pada penghujung hayat bumi, tetapi merupakan satu perubahan yang berlaku seiring dengan masa di mana akan wujud satu kumpulan yang menyeleweng, digantikan dengan kumpulan-kumpulan lain - dengan jumlah aliran yang sesat atau menyeleweng ini adalah 73 kesemuanya sepanjang zaman.
Turut wujud perbezaan pendapat berkenaan ayat hadis itu yang menyebutkan 'hanya satu golongan akan layak ke syurga', sementara selebihnya ke neraka.
Golongan ini berhujah bahawa keistimewaan orang Muslim di sisi Allah swt. sudah pun terjamin jadi amat sukar untuk diterima dengan logik akal hanya satu golongan sahaja akan ke syurga.
Mereka yang sependapat juga merasakan hadis itu tidak layak untuk dikategorikan sebagai hadis sahih - lebih layak bersifat dhaif kerana ada perbezaan kecil dalam ayat hadis tersebut seperti jumlah golongan yang disebutkan; ada hadis menyebutkan 70, bukan 73.
Bagaimanapun, majoriti ulama' mengakui hujah-hujah yang menyangkal kesahihan hadis ini tidak cukup kuat untuk menolak status sahih hadis ini, berdasarkan bukti serta latar belakang periwayat hadis yang diyakini.
Perspektif berbeza tentang makna hadis ini
Sehingga kini perbincangan tentang makna sebenar di sebalik angka-angka ini terus berjalan.
Ada pihak yang berpendapat angka 73 itu adalah gambaran sebenar tentang ramalan perpecahan umat Islam kepada 73 golongan. Bagaimanapun ada juga pihak yang merasakan angka itu tidak seharusnya dilihat secara literal.
Apa yang menarik tentang hadis ini sekiranya kita rujuk kepada hadis pertama yang kami kongsikan - turut sama menyebut tentang perpecahan yang akan/sedang/sudah berlaku kepada orang Yahudi dan orang Nasrani (Kristian) dan perkara ini menimbulkan banyak persoalan bukan saja kepada orang Islam, bahkan turut sama merangkumi orang Yahudi dan Nasrani.
Usaha untuk mengkelaskan perpecahan ini oleh orang Muslim, Kristian dan Yahudi kerap kali dilakukan namun angka tepat 71, 72 atau 73 sangat sukar dijumpai, menyebabkan ramai penyelidik berpendapat angka tersebut hanyalah satu bentuk metafora yang digunakan bagi melambangkan satu jumlah perpecahan yang besar.
Mengikut catatan sejarah, umat Islam sendiri sehingga kini tidak pernah berpecah sehingga melebihi 10 buah kelompok besar jadi hadis ini menimbulkan banyak persoalan terhadap mereka yang berminat merungkai rahsia di sebaliknya. Tidak ada cara jelas bagaimana perkiraan 73 itu perlu dilakukan, sama ada perlu mengira fahaman besar sahaja atau perlu dikira sekali kumpulan-kumpulan kecil yang ada.
Usaha untuk mendapatkan angka yang disebutkan telahpun menyebabkan ada pihak yang secara sengaja atau tidak sengaja - mencipta pecahan-pecahan baru atau mengasingkan pecahan sedia ada kepada kumpulan lebih kecil, hanya untuk mencukupkan angka 71, 72 atau 73.
Adakah obsesi masyarakat terhadap angka itu sesuatu yang sepatutnya wujud?
Kesimpulan
Berdasarkan pandangan peribadi penulis, sekiranya kita melihat makna hadis ini sebagai bukti kukuh yang membezakan penghuni syurga dan neraka di kalangan umat Islam, tindakan itu sendiri merupakan sesuatu perbuatan yang agak lari daripada landasan Islam.
Ini kerana di kalangan umat Islam, kita digalakkan untuk saling bekerjasama dan sayang menyanyangi antara satu sama lain. Jadi adakah hadis tersebut sebenarnya bukanlah ramalan, tetapi hanya satu peringatan kepada kita semua - peringatan tentang perpecahan yang boleh berlaku, bukan bakal berlaku.
Peringatan tentang perkara yang jangan-jangan sama sekali dibiarkan berlaku.
Adakah hadis itu juga sebenarnya satu bentuk peringatan agar kita jangan sesekali takbur sehingga merasakan kita adalah golongan yang terpilih, yakni satu golongan yang akan terselamat kerana peluang kita untuk jadi penghuni neraka, 72 kali lebih tinggi?
Hanya dengan wujudnya salah faham dalam memahami konteks hadis tersebut sajalah, akan mengakibatkan sebuah petikan hadis yang mengandungi kata-kata Rasulullah saw. mampu menyebabkan seorang Muslim berbangga lebih ramai orang Islam lain akan ke neraka.
Tak logik sebuah hadis sahih lebih banyak melahirkan perpecahan, melainkan kita sebenarnya yang tidak mampu memahami erti tersirat disebalik kata-kata Rasulullah saw. itu.
Berdasarkan perbincangan ini - adakah ini mengubah intepretasi anda terhadap baris lirik '73 pintu, 73 jalan, yang sampai hanya satu jalan'?
Rujukan