ASEAN merupakan akronim bagi the Association of Southeast Asian Nations iaitu gabungan 10 negara anggota dari Asia Tenggara yang menggalakkan kerjasama politik, ekonomi dan kerjasama sosial di rantau ini. Pada tahun 2006, ASEAN telah merapatkan 560 juta orang, 1.7 juta batu persegi tanah dan keluaran dalam negara kasar sebanyak USD $1,100 bilion.

pemimpin asean 10 negara asia tenggara

Hari ini, gabungan ini dianggap salah satu organisasi serantau yang paling berjaya dalam dunia dan mempunyai masa depan yang sangat cerah.

Sejarah ASEAN

Sebahagian besar Asia Tenggara dijajah oleh kuasa Barat sebelum berlakunya Perang Dunia Kedua. Ketika perang berlangsung, Jepun telah menguasai rantau ini tetapi dipaksa keluar setelah tamat perang kerana negara-negara Asia Tenggara mula berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan. Namun, walaupun negara-negara ini telah beroleh kemerdekaan, mereka dapati kestabilan sukar dicapai. Dari situlah pemimpin-pemimpin ini mula memandang ke arah satu sama lain untuk mendapatkan bantuan.

Pada tahun 1961, Malaysia, Filipina dan Thailand telah bersepakat menubuhkan Association of Southeast Asia (ASA) yang merupakan pelopor kepada ASEAN. Enam tahun kemudian, ketiga-tiga negara ini beserta Singapura dan Indonesia menubuhkan ASEAN yang berganding bahu menolak dominasi dan tekanan dari Barat. Deklarasi Bangkok dibincangkan dan dipersetujui oleh kelima-lima pemimpin negara tersebut.

Brunei menyertai ASEAN pada tahun 1984 diikuti dengan Vietnam pada 1995, Laos dan Burma (Myanmar) pada 1997 seterusnya Kemboja pada tahun 1999.

Kini, terdapat 10 negara anggota yang berada dalam ASEAN iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei Darussalam, Kemboja, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.

mesyuarat asean china menteri luar negara

Prinsip dan matlamat ASEAN

Menurut dokumen Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Asia Tenggara (TAC), terdapat enam prinsip asas penubuhan ASEAN yang perlu dipatuhi oleh setiap negara anggota:

  1. Menolak campur tangan asing 
  2. Menolak penggunaan ketenteraan
  3. Menghormati kemerdekaan negara lain
  4. Menyelesaikan konflik secara aman, rundingan, diplomasi
  5. Kerjasama efektif antara negara anggota
  6. Bebas dari campur tangan luar, subversif atau paksaan

asean mesyuarat bersalaman dengan trump

Pada tahun 2003, kumpulan ini bersepakat untuk mewujudkan tiga cabang kerjasama 'komuniti' iaitu:

Kerjasama Keselamatan

Tiada konflik bersenjata telah berlaku di kalangan anggota ASEAN sejak penubuhannya empat dekad yang lalu. Setiap ahli bersetuju untuk menyelesaikan semua konflik dengan diplomasi tanpa menggunakan sebarang kekerasan.

Kerjasama Ekonomi

Mungkin perkara paling penting dalam usaha kerjasama ASEAN adalah untuk mewujudkan pasaran bersepadu yang bebas dalam rantau ini, sama seperti Kesatuan Eropah. Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) telah menyempurnakan matlamat ini dengan menghapuskan hampir kesemua tarif (duti import atau eksport) untuk meningkatkan daya saing dan tahap kecekapan. Organisasi itu kini sedang melihat peluang di China dan India untuk memasuki pasaran untuk mewujudkan kawasan pasaran bebas terbesar di dunia.

Kerjasama Sosial dan Budaya

Untuk memerangi kesulitan kapitalisme dan perdagangan bebas iaitu merapatkan jurang kekayaan dan kehilangan pekerjaan. Tumpuan lebih diberikan kepada golongan yang kurang bernasib baik seperti pekerja luar bandar, wanita dan kanak-kanak.

Pelbagai program dijalankan untuk tujuan ini termasuklah program untuk membanteras HIV / AIDS, pendidikan tinggi dan pembangunan lestari. Biasiswa ASEAN ditawarkan oleh Singapura kepada sembilan negara anggota lain dan Rangkaian Universitinya telah menggabungkan 21 institusi pendidikan tinggi yang saling membantu di rantau ini.

setiausaha agung baru asean brunei

Struktur ASEAN

Terdapat beberapa badan pembuat keputusan antarabangsa dan tempatan yang melibatkan ASEAN seperti:

Mesyuarat Ketua Negara dan Kerajaan ASEAN (setiap tahun): Badan tertinggi yang terdiri daripada ketua-ketua kerajaan masing-masing.

Mesyuarat Menteri (setiap tahun): Menyelaras aktiviti dalam pelbagai bidang termasuk pertanian dan kehutanan, perdagangan, tenaga, pengangkutan, sains dan teknologi.

Jawatankuasa Hubungan Luar: Diselaraskan oleh para diplomat di banyak ibu kota di seluruh dunia.

Setiausaha Agung: Pemimpin organisasi yang dilantik untuk melaksanakan dasar dan aktiviti. Dilantik untuk tempoh lima tahun. Kini disandang oleh Lim Jock Hoi dari Brunei Darussalam (2018-2022).

Tidak disebutkan di atas adalah lebih daripada 25 jawatankuasa lain dan 120 kumpulan teknikal dan penasihat.

pemimpin asean 10 negara asia tenggara2

Pencapaian dan kritikan terhadap ASEAN

Selepas 40 tahun, ramai yang menganggap ASEAN adalah sebuah organisasi yang sangat berjaya kerana kestabilan berterusan di rantau ini. Negara-negara anggota tidak perlu khuatir akan wujudnya sebarang konflik ketenteraan dan mampu fokus kepada pembangunan sistem politik dan ekonomi di negara masing-masing.

ASEAN juga mempunyai pendirian yang teguh melawan keganasan bersama rakan serantau iaitu Australia. Rentetan serangan pengganas di Bali dan Jakarta pada tahun 2009, ASEAN telah berusaha memfokus semula usaha untuk mencegah insiden daripada berulang seterusnya memberkas penjenayah terlibat.

Pada bulan November 2007 pula, kumpulan anggota telah menandatangani satu piagam baru yang menyatakan ASEAN adalah sebuah entiti yang berasaskan peraturan yang akan meningkatkan kecekapan dan membuat keputusan yang konkrit. ASEAN bukanlah sekadar kumpulan omongan kosong yang sering digembar-gemburkan. Piagam itu juga menyatakan komitmen kesemua negara anggota dalam menyokong demokrasi dan hak asasi manusia.

asean aung san suu kyi myanmar dikritik

ASEAN sering dikritik kerana memperjuangkan prinsip-prinsip demokrasi, namun pada masa yang sama membiarkan pelanggaran hak asasi manusia berlaku di Myanmar dan sosialisme berleluasa di Vietnam dan Laos. Penunjuk perasaan yang membantah pasaran bebas akibat takut kehilangan pekerjaan dan ekonomi tempatan telah banyak muncul berdemonstrasi dengan aman di seluruh ceruk rantau ini, terutamanya ketika sidang kemuncak ASEAN ke-12 di Cebu, Filipina.

Walau apa pun kritikan yang diterima, ASEAN masih tetap meneruskan perjalanan ke arah ekonomi berintegrasi dan bakal mengorak langkah lebih besar untuk menonjolkan diri di mata dunia.

Rujukan:

1. ASEAN

2. The Diplomat


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)