bhasan char negeri rohingya

Dalam salah satu artikel kami pada tahun 2018, kami telah menyebutkan tentang usaha kerajaan Bangladesh mahu membuka sebuah pulau yang dinamakan sebagai Bhasan Char; untuk digunakan sebagai penempatan bagi etnik Rohingya yang melarikan diri daripada Myanmar.

Kini, sudah hampir 2 tahun selepas artikel kami diterbitkan - masih belum ada kemajuan konkrit yang diketahui berlaku terhadap kemajuan dan pembangunan pulau ini, sehinggakan perpindahan yang dirancang berlaku belum membuahkan hasil.

Di mana silapnya? Apakah masalah yang menghalang usaha murni ini diteruskan?

Beban kewangan ke atas kerajaan Bangladesh

program projek ashrayan bangladesh fasa 2

Di antara semua negara-negara dunia, negara Bangladesh merupakan negara yang paling terkesan dengan kemasukan pelarian Rohingya ke dalam negara mereka.

Sejak bermulanya pembersihan etnik yang berlaku melibatkan pemerintahan junta tentera Myanmar ke atas etnik Rohingya, kem pelarian Kutupalong yang dibuka pada awal era 90-an tidak henti-henti menerima kemasukan pelarian berikutan kedudukannya yang dekat dengan sempadan Myanmar.

Pada ketika ini jumlah pelarian yang ditempatkan di kem Kutupalong sudah pun mencecah hampir 700,000 orang kesemuanya sehingga memerlukan pembesaran kawasan kem tersebut dilakukan, hanya bagi membolehkan lebih banyak kawasan kediaman sementara di buka.

Menyedari beban yang mereka tanggung, Bangladesh walaupun bukanlah sebuah negara yang layak dikatakan susah - terpaksa membelanjakan berjuta-juta ringgit dalam pelbagai bentuk bagi memastikan kebajikan pelarian Rohingya yang ada, sekurang-kurangnya terjaga.

kenapa rohingya tak mahu penempatan bhasan char 597

Pada bulan Januari tahun 2020, kerajaan Bangladesh memilih untuk membuka sistem pendidikan mereka bagi membolehkan generasi muda Rohingya belajar agar tidak berlakunya fenomena 'generasi sesat' yang banyak membelenggu komuniti pelarian di serata dunia - dengan menggunakan sukatan matapelajaran diambil dari Myanmar.

Dianggarkan jumlah keseluruhan yang diperlukan untuk tahun 2020 dalam menyelia dan memperbaiki taraf hidup komuniti Rohingya di Bangladesh sahaja, memerlukan dana berjumlah RM3.8 billion untuk 700,000 di Kutupalong dan 400,000 lagi yang tinggal di bandar-bandar di Bangladesh.

Bagaimanapun, beban terbesar yang perlu disediakan sudah pastilah perlu disalurkan kepada pembangunan Pulau Bhasan Char - 'negeri baru' orang Rohingya.

Projek Ashrayan kerajaan Bangladesh

fasa 1 projek ashrayan bangladesh

Pada tahun 1997, kerajaan Bangladesh yang pada ketika itu di bawah kepimpinan Sheikh Hasina melancarakan projek yang dinamakan sebagai Projek Ashrayan - sebuah projek kelolaan kerajaan dan tentera Bangladesh bagi membina penempatan serta aspek-aspek keperluan lain untuk membantu warga Bangladesh yang hidup melarat disebabkan oleh bencana banjir yang kerap melanda.

Daerah-daerah yang terpilih untuk dibantu dipertanggungjawabkan kepada pasukan tentera bagi pembangunan dalam projek perintisnya. Selepas kejayaan perintis, Projek Ashrayan diteruskan ke fasa 2 meliputi lebih banyak daerah dengan pertambahan kerjasama pasukan tentera laut Bangladesh.

Pada penghujung tahun 2017, kerajaan Bangladesh meminda Projek Ashrayan fasa 3 dengan mengubah pelan awal mereka. Projek Ashrayan fasa 3 yang sepatutnya membangunkan Pulau Bhasan Char sebagai lokasi utama bagi membantu rakyat Bangladesh, mula ditukar matlamatnya untuk dijadikan penempatan baru pelarian Rohingya yang tinggal di bandar Cox Bazar serta kem pelarian Kutupalong.

Dianggarkan jumlah pelarian yang dijangka akan dipindahkan kesemuanya adalah 1 juta orang. Berikutan pindaan ini, kos keseluruhan Projek Ashrayan fasa 3 meningkat 43% dan jangka masa siapnya juga dipanjangkan selama 2 tahun dianggarkan bulan Disember 2019.

Bagaimanapun, disebabkan oleh kos yang semakin meningkat sehingga mencecah Rm27 billion keseluruhannya - projek ini ditangguh lagi sehingga penghujung tahun 2021.

Isu Pulau Bhasan Char

pulau bhasan char 2000

Pulau Bhasan Char mempunyai keluasan 40 kilometer persegi, jauh lebih besar berbanding kem Kutupalong yang hanya mempunyai saiz 13 kilometer persegi. Bagaimanapun, pulau itu mempunyai satu masalah besar yang sukar untuk diselesaikan.

Bhasan Char dan adiknya, Tengar Char baru saja 'muncul' di Teluk Bengal sejak tahun 2003 secara sedikit demi sedikit - sebelum keseluruhan kawasan yang kini menjadi daratan mula surut airnya membetuk dua buah pulau baru. Permukaan Bhasan Char muncul lebih awal sejak tahun 2003 sementara Tengar yang terletak bersebelahannya, mula kelihatan sekitar 2005 secara tidak konsisten; kadangkala ada, kadangkala ditenggelami air keseluruhannya.

Rancangan awal bagi memindahkan pelarian Rohingya ke pulau itu yang diwar-warkan sejak tahun 2015, pada mulanya mendapat tentangan UNHCR berikutan risiko geologi pulau tersebut yang tidak menentu. Kerajaan Bangladesh mengumumkan usaha untuk memindahkan mereka 2 tahun kemudian tetap akan dijalankan.

pulau bhasan char tengar char

Menyedari risiko pulau itu ditenggelami air pada bulan Jun hingga September akibat musim tengkujuh, semua kediaman yang dibangunkan dibina di atas tiang setinggi 4 kaki bagi mengelakkan kejadian tenggelam, selain daripada binaan penambak air sepanjang 13 km di sekeliling kawasan penempatan pelarian.

Setiap satu unit kediaman mampu menampung 16 buah keluarga dan setiap keluarga disediakan sebuah bilik bersaiz 3.4 m lebar dan 4 meter panjang. 16 keluarga ini akan berkongsi 2 dapur dan 8 tandas, dengan bekalan elektrik menggunakan kuasa solar.

Selain kediaman yang dikongsi, kerajaan Bangladesh juga membina sebuah bangunan perlindungan setinggi 4 tingkat yang akan menempatkan pelarian semasa musim ribut.

Mengapa pelarian Rohingya enggan berpindah ke Bhasan Char?

bhasan char penempatan baru bangladesh gelandangan

Sebab utama mengapa kumpulan pelarian Rohingya enggan berpindah ke Bhasan Char, adalah disebabkan potensi untuk mereka kekal di situ selama-lamanya.

Menurut jurucakap Persatuan Rohingya Arakan, dengan menerima perpindahan ke Bhasan Char - ini akan menyebabkan pelarian Rohingya mula merasakan tiada lagi keperluan untuk pulang ke Myanmar sekaligus memenuhi impian pelampau Buddha di negara mereka yang berharap itu benar-benar berlaku.

Kedudukan pulau itu yang terpisah daripada daratan juga berkemungkinan akan memutuskan terus hubungan mereka dengan dunia luar, tidak seperti sekarang di Kutulapong di mana mereka masih lagi menerima kunjungan NGO bantuan serta pihak pemantau antarabangsa. Perjalanan menaiki bot memerlukan tempoh masa 3 jam untuk sampai ke pulau tersebut.

Usaha kerajaan Bangladesh untuk meyakinkan agar pelarian Rohingya berpindah setakat ini berdepan kesukaran, disebabkan keengganan mereka sendiri. Ini tidak dibantu oleh dasar kerajaan Bangladesh yang memberikan pilihan kepada kumpulan pelarian untuk memilih sama ada mahu kekal di Cox Bazar atau berpindah ke Bhasan Char.

Laporan terbaru menyebut kerajaan Bangladesh ketika ini mula memikirkan semula perancangan awal mereka untuk memindahkan pelarian Rohingya ke Bhasan Char. Dalam pengumuman pada bulan Februari 2020, Menteri Luar Bangladesh mengumumkan bahawa Dhaka merasakan kaedah terbaik menangani isu pelarian Rohingya, adalah dengan menghantar mereka pulang ke Rakhine.

Diramalkan sekiranya perubahan itu kekal, Bhasan Char akan kembali dijadikan penempatan baru bagi golongan gelandangan Bangladesh seperti pelan asalnya. Setakat ini, hanya seorang warga Bangladesh memohon untuk menetap di Bhasan Char - namun selepas permohonan beliau diterima, dia melarikan diri.

Rujukan

Inside the Bhashan Char plan for Rohingyas



Hakcipta iluminasi.com (2017)