Penulis melihat dalam artikel kami semalam yang cuba menjelaskan kenapa kerajaan Myanmar berani bertindak keras dengan masyarakat etnik Myanmar, banyak komentar seakan menghalau orang Rohingya agar pulang ke Myanmar.

Pendapat itu mudah disebutkan tetapi realitinya wujud banyak halangan yang akan perlu ditempuh oleh etnik Rohingya seandainya mereka ingin pulang. Apa sebenarnya isu atau sebab yang menghalang mereka pulang?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah lima sebab utama pada pendapat kami - mengapa masyarakat Rohingya memilih untuk terus hidup berkeliaran di luar Myanmar sebagai pelarian berbanding kembali ke negara asal mereka.

1. Hilang identiti

tunjuk perasaan penganut buddha anti islam

Isu utama yang membelenggu orang Rohingya seandainya mereka ingin pulang, adalah kehilangan identiti kaum dan etnik mereka sebagai orang Rohingya.

Di Myanmar, bukanlah semua orang Rohingya yang ada melarikan diri - sebaliknya ada di kalangan mereka yang memohon status kewarganegaraan, berjaya membuktikan taraf pendudukan mereka dan akhirnya, melepaskan identiti mereka sebagai 'etnik Rohingya.'

Itu adalah keperluan utama orang Rohingya untuk menjadi warganegara Myanmar yang sah, disebabkan oleh syarat yang diletakkan kerajaan Myanmar yang tidak mengiktiraf 'etnik Rohingya' wujud. Undang-undang undang ini wujud bermula tahun 1982 dengan alasan ketiadaan hubungan di antara orang Rohingya dengan etnik-etnik asal di sana.

Rohingya boleh pulang - tetapi mereka perlu bersedia melepaskan identiti yang mereka warisi tanpa boleh lagi menggelarkan suku kaum mereka Rohingya dan menerima identiti baru sebagai orang Benggali.

2. Orang Kaman juga ditindas sebab agama

orang kaman tertindas muslim islam

Di Rakhine di mana ramai orang Rohingya menetap, wujud sebuah kumpulan etnik lain bergelar Kaman yang diiktiraf sepenuhnya oleh kerajaan Myanmar. Ini bermakna etnik Kaman memiliki kewarganegaraan penuh, bebas bergerak, mempunyai akses ke sistem pendidikan dan sebagainya.

Bagaimanapun, orang Kaman tetap berdepan dengan stigma dan provokasi oleh etnik-etnik lain disebabkan agama mereka. Mereka bermajoriti Muslim meletakkan kedudukan mereka mirip dengan etnik Rohingya.

Disebabkan sentimen anti Islam yang sangat kuat di kalangan masyarakat Myanmar yang beragama Buddha, bukan sahaja orang Rohingya menjadi sasaran bahkan orang Kaman yang mempunyai status kewarganegaraan penuh turut sama pernah menjadi mangsa aktiviti keganasan nasional beragama Buddha di negara itu.

3. Ancaman orang Rohingya sendiri

barua kerajaan orang rohingya

Di kalangan sesetengah ahli masyarakat Rohingya sendiri, mereka memegang stigma bahawa sesiapa yang menyerah dan akur kepada syarat kewarganegaraan yang telah ditetapkan oleh kerajaan Myanmar - merupakan kumpulan yang lemah. I

kerana individu itu sanggup melepaskan identiti mereka sebagai Rohingya untuk 'bertukar' kepada etnik lain.

Apa yang lebih memburukkan keadaan, stigma sama dipegang oleh gerakan pemberontakan Arakan Rohingya Salvation Army atau 'Haraqah al-Yaqin' yang akan mensasarkan mana-mana individu Rohingya - seandainya mereka bersetuju untuk menjadi 'barua' kerajaan Myanmar.

Oleh sebab itu, majoriti etnik Rohingya yang berkeliaran di negara luar memilih untuk terus kekal dalam kem-kem pelarian kerana selain takutkan ancaman pelampau Buddha, mereka juga sebenarnya takut dianggap pengkhianat kepada etnik mereka sendiri dan juga agama Islam yang mereka anuti.

4. Ditolak masyarakat Rakhine

pelarianmyanmar orang bot

Rakhine merupakan nama negeri di mana etnik Rohingya tinggal, diambil daripada nama etnik Rakhine yang menjadi etnik majoriti di negeri tersebut.

Di kalangan orang Rakhine sendiri, mereka memilih untuk tidak menggunakan istilah 'Rohingya' sebaliknya mereka menamakan Rohingya sebagai 'orang bot.'

Protes serta tunjuk perasaan sering berlaku melibatkan penduduk rasmi Rakhine yang membantah pembukaan kem-kem sementara bagi menempatkan orang Rohingya dan juga ada kalanya orang Bangladesh di kawasan mereka.

Orang Rakhine merasakan kemasukan kembali orang Rohingya ke Rakhine selepas gagal melarikan diri ke negara luar, merupakan satu ancaman kepada penduduk setempat, berikutan propaganda bahawa Islam akan mula tersebar di Myanmar - dengan Rakhine menjadi punca.

Disebabkan itulah, mana-mana 'orang bot' yang sudah melarikan diri ke luar dan cuba kembali ke situ,ldianggap sebagai 'penceroboh' dan pendatang asing, perlu dilayan seperti orang luar.

5. Rohingya pernah hidup gembira di Myanmar

penerimaan masyarakat myanmar

Masalah orang Rohingya ini semuanya berpunca daripada perubahan yang telah diperkenalkan pada tahun 1982, oleh pemerintahan junta tentera ketika itu.

Sebelum itu etnik Rohingya mempunyai hak yang sama dengan semua, disebabkan oleh status kewarganegaraan mereka bersifat penuh.

Perlembagaan negara Burma yang dibentuk pada tahun 1947 memberikan etnik Rohingya dokumen pengenalan rasmi, status kewarganegaraan lengkap dan turut sama mengiktiraf Rohingya sebagai salah satu etnik rasmi di Burma.

Ini disebabkan dasar terbuka kerajaan Burma mengiktiraf mana-mana individu yang telah menetap lebih 8 atau 10 tahun daripada tarikh 1 Januari 1942 atau 1 Januari 1947; sebagai rakyat Burma.

Bagi menyokong undang-undang kewarganegaraan ini, dokumen yang dinamakan 'National Registration Card' atau NRC diwujudkan untuk semua rakyat Burma, sementara 'foreign registration card' diberikan kepada orang luar.

Dalam ucapannya tahun 1946, Jeneral Aung San ayah kepada Aung San Suu Kyi menjamin kedudukan Rohingya dalam perlembagaan Burma - membolehkan orang Rohingya hidup, bekerja, mengundi dan memiliki karier yang baik tanpa ada apa-apa sekatan.

Nasib Rohingya di masa hadapan

icj mahkamah antarabangsa aung aun myanmar daw

Tidak dapat dinafikan, walaupun suasana di Rakhine ketika ini masih tegang dan rusuhan masih berlaku - kali terakhir tahun 2018 secara besar-besaran; nampak seakan ada sinar di sebalik kekalutan yang menimpa masyarakat Rohingya.

Kemenangan besar parti yang dipimpin anak Jeneral Aung San, Aung San Suu Kyi dalam pilihanraya umum tahun 2015 dipercayai dapat melonggarkan pengaruh tentera dalam pentadbiran kerajaan Myanmar. Beliau selamat menjalankan lawatan kali pertama di Sittwe, Rakhine bagi melihat sendiri situasi masyarakat Rohingya di sana pada November 2017.

Pada bulan Disember tahun 2019, Presiden Aung San Suu Kyi dipanggil menghadap Mahkamah Antarabangsa bagi menjelaskan tentang laporan yang dibuat kerajaan Gambia berkenaan dengan pembersihan etnik yang dilaporkan berlaku melibatkan orang Muslim Rohingya, disokong oleh Organisasi Islam Sedunia atau OIC.

Hasil daripada perbicaraan itu, kerajaan Myanmar diarah memperkenalkan perubahan pada undang-undang sedia ada bagi memastikan keselamatan etnik Rohingya di negara mereka terjamin.

Reaksi kerajaan Myanmar menyifatkan apa yang berlaku bukanlah pembersihan etnik seperti yang didakwa, sebaliknya apa yang berlaku kepada orang Rohingya lebih layak disifatkan sebagai jenayah perang.

Kedua-dua negara akan kembali ke mahkamah pada pertengahan tahun 2020, bagi meneruskan sesi perbicaraan yang diharap dapat mengembalikan nasib orang Rohingya seperti sebelum tahun 1982 - di mana mereka bebas dan dilindungi haknya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)