nasib dan masa depan orang rohingya

Mereka berjaya menyelamatkan diri daripada apa yang dinamakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai pembersihan etnik. Kini, lebih 700,000 orang Rohingya yang berjaya melarikan diri ke negara jiran mereka, Bangladesh berdepan masa depan tidak menentu.

Di Myanmar, kerajaan mereka terus-menerus menafikan berlakunya pembunuhan beramai-ramai. Tekanan masyarakat antarabangsa yang mahu penghantaran semula orang Rohingya ke Rakhine terus kedengaran, dengan Aung San Suu Kyi dilihat cuba membuka pintu membawa mereka pulang secara simbolik semata-mata, dengan usaha sebenar membawa pulang pelarian Rohingya masih lagi pada kadar minima.

Rancangan kerjasama di antara kerajaan Bangladesh dan Myanmar ditentang oleh pihak pelarian sendiri, yang menyebabkan proses itu memakan masa. Kerjasama di antara PBB dan kerajaan Bangladesh diteruskan dengan perjanjian memorandum tiga pihak, bersama kerajaan Myanmar - namun sehingga kini Myanmar masih belum menurunkan tandatangan pihak mereka.

Realitinya, orang Rohingya takut hendak pulang ke tempat asal mereka.

Orang asal Rakhine

kem pelarian rohingya bangladesh

Populasi Rohingya di Myanmar sudah memanggil Rakhine sebagai tempat asal mereka selama beberapa generasi. Bagaimanapun, kerajaan Myanmar menganggap warga Rohingya sebagai pendatang asing serta menidakkan status warganegara pada mereka.

Sejak 2012 selepas tercetusnya pergaduhan etnik di Rakhine, antara masyarakat Muslim minoriti Rohingya dan masyarakat majoriti penganut agama Buddha, kerajaan Myanmar mengambil jalan mudah mengurung 120,000 orang Rohingya di dalam kawasan penempatan sementara serta tidak membenarkan mereka menjalani hidup seperti biasa.

Dalam sebuah surat yang ditulis kepada PBB, masyarakat Rohingya menggesa supaya beberapa permintaan mereka dipenuhi terlebih dahulu sebelum mereka pulang ke Myanmar, antaranya hak kewarganegaraan, rehabilitasi tanah asal mereka, kebebasan beragama, peluang mendapatkan pendidikan, bantuan kesihatan dan tiada halangan kepada pergerakan.

Sehingga kini, kerajaan Myanmar masih belum berbuat apa-apa terhadap permintaan-permintaan itu, dengan syarat kerajaan Myanmar yang mewajibkan orang Rohingya membuktikan mereka penduduk asal kawasan tersebut menjadi punca utama pertelagahan terus berlaku.

Majoriti orang Rohingya yang melarikan diri hanya hidup sehelai sepinggang tanpa ada sebarang dokumen pengenalan diri. Rumah serta tanah mereka di Rakhine pula majoritinya sudah pun dirobohkan atau dibakar, bagi membuka ruang infrastruktur baru.

Beban tambahan pada kerajaan Bangladesh

rohingya muslim berlindung bawah khemah

Di Bangladesh, walaupun tidak lagi berdepan serangan demi serangan, masyarakat Rohingya mendapati diri mereka kurang diterima. Kerajaan Bangladesh sendiri terpaksa meletakkan syarat untuk mengurung mereka di dalam kawasan kem sehinggalah pelarian Rohingya dapat pulang ke Myanmar. Warga Bangladesh juga dilarang daripada membawa pelarian Rohingya menaiki kenderaan mereka atau menyewakan kediaman untuk golongan pelarian.

Ini semua berpunca daripada tahap ekonomi Bangladesh sendiri yang mempunyai purata pendapatan orang ramai yang rendah. Dengan kemasukan pekerja daripada golongan pelarian Rohingya yang dianggarkan berjumlah 600,000 di Bangladesh sahaja, pasti akan mengganggu gugat kehidupan masyarakat Bangladesh sendiri.

Rancangan untuk menempatkan pelarian Rohingya di sebuah pulau yang baru terbentuk dalam tempoh dua dekad sedang berlangsung yang menelan belanja hampir RM1.1 billion.

Bagaimanapun, rancangan itu dikritik pihak antarabangsa kerana akan mendedahkan pelarian Rohingya kepada bahaya taufan, banjir dan sindiket perdagangan manusia, berikutan lokasinya yang berisiko tinggi. Pulau bernama Bhasan Char itu sedang dalam proses pembinaan dengan pemindahan pertama pelarian dijangka bermula pada Jun atau Julai 2018.

Bhasan Char - negara baru orang Rohingya?

pulau baru untuk orang rohingya

Tidak diketahui lagi apakah rancangan sebenar kerajaan Bangladesh dalam menempatkan pelarian Rohingya di Bhasan Char kelak. Dengan usaha giat membina fasiliti seperti jalan dan perumahan, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menyifatkan langkah pemindahan itu hanyalah bersifat sementara bagi mengurangkan jumlah pelarian yang terus masuk ke negara mereka.

Dianggarkan tahun ini saja sudah lebih 10,000 orang pelarian baru berjaya masuk ke Bangladesh menjadikan kem-kem pelarian yang dibuka semakin padat. Angka jumlah pelarian pula diramalkan akan mencecah 700 ribu orang Rohingya di Bangladesh, memerlukan satu tindakan drastik dilakukan.

kawasan penempatan rohingya yang daif

Wakil kerajaan Bangladesh mengatakan besar kemungkinan pelarian yang ditempatkan di Bhasan Char tidak akan dibenarkan keluar daripada pulau tersebut, melainkan untuk tujuan pulang ke Myanmar atau mendapat tempat di negara-negara lain yang menerima kemasukan mereka. Seramai 50 orang pegawai bersenjata akan ditugaskan mengawal pulau tersebut bagi menjaga ketenteraman.

Dengan keluasan sempadan penempatan seluas 7.75km persegi, sebanyak 1.5 km persegi dijangka akan diperuntukkan sebagai kawasan perumahan. Dengan anggaran kumpulan pertama seramai 100,000 akan dipindahkan dalam pemindahan pertama, pelarian diberikan pilihan sama ada perpindahan suka rela atau melalui cabutan loteri, sekiranya jumlah yang mahu berpindah melebihi kapasiti yang telah dibuka.

Kerajaan Bangladesh mengganggarkan fasiliti di Bhasan Char perlu mampu menampung sehingga 1 juta orang pelarian, dalam memastikan pelarian Rohingya dapat meneruskan hidup tetapi dalam masa yang sama - tidak mendatangkan kesan negatif pada warganegara mereka sendiri.

Rujukan dan kredit

QUARTZ

Frontline


tags : , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)