Illuminati kerap kali dikaitkan sebagai sebuah organisasi rahsia, yang berkuasa mengawal dunia dengan 'tangan ghaib'. Namun adakah benar bahawa mereka mempunyai peranan dalam hal ehwal mengawal dunia, atau tuduhan ini hanya teori konspirasi semata-mata? Namun, sebelum mengupas lebih lanjut tentang persoalan ini, mari fahami apa dan siapa sebenarnya yang dimaksudkan dengan Illuminati (bukan iluminasi ya!).

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejarah Awal Penubuhan Illuminati

katy perry selebriti illuminati

Antara kesemua organisasi rahsia yang ada di dunia ini, yang paling terkenal dan paling misteri adalah Illuminati. Keahlian organisasi ini dikhabarkan terdiri daripada ramai selebriti terkenal dunia, termasuklah Beyonce, Katy Perry, Paris Hilton, Barack Obama, Adolf Hitler, Ratu England dan lain-lain lagi.

Terdapat banyak teori konspirasi yang mengaitkan Illuminati dengan insiden-insiden besar dunia, termasuklah pembunuhan presiden AS John F. Kennedy, 9/11 dan kematian Whitney Houston. Ada yang turut mengaitkan cabaran Ice Bucket Challenge sebagai sala satu agenda organisasi ini, selain daripada mengawal dunia. Jadi apa sebenarnya yang kita faham tentang Illuminati?

pengasas organisasi rahsia illuminati

Pada tahun 1776, seorang profesor kolej yang sekular di Bavaria, Jerman iaitu Johann Adam Weishaupt telah berasa seolah dihina oleh rakan sekerjanya yang berfahaman Jesuit, yakni ahli Society of Jesus, sebuah jemaah keagamaan Gereja Katolik yang berasal dari Sepanyol pada abad ke-16. Terkesan dengan kata-kata rakannya itu, beliau membuat keputusan untuk menubuhkan sebuah organisasi masyarakat bagi menyebarkan idea 'Era Pencerahan'.

Usaha ini adalah untuk mengalihkan perhatian masyarakat daripada pergerakan pro-monarki, ketuanan Katolik kepada sebuah pergerakan yang lebih rasional, saintifik dan sekular. Memandangkan pengetahuan terhadap organisasi ini akan menyebabkan masalah dan padah kepada profesor tersebut, beliau dan rakan-rakan organisasinya menggunakan nama samaran, menyelubungi kumpulan mereka dengan aktiviti keupacaraan dan simbol.

Cara Operasi dan Berkembangannya Keahlian Illuminati

freemason dan illuminati bergabung

Arahan Illuminati (The Order of Illuminati) secara khusus menolak Yahudi, Pagan, wanita dan penganut lain-lain agama atau kultus. Selepas beberapa ketika, Illuminati merasakan bahawa mereka perlu mengembangkan sayap dan keahliannya. Mereka akhirnya bergabung dengan sebuah organisasi lain, iaitu Freemasons yang sudah lama wujud. Freemasons adalah sebuah organisasi persaudaraan buruh yang rumit, yang kelihatan agak misteri, kerana simbol keagamaan dan upacara mereka yang lain daripada yang lain.

Selepas berjaya secara rasmi berjaya menyertai Freemason, ahli-ahli Arahan Illuminati yang berpangkat tinggi telah mencuba untuk merekrut diri mereka menjadi ahli atasan Freemason. Walaubagaimanapun, sebagai mazhab yang baru dengan kesetiaan yang berbeza, mereka mendapat kehormatan yang lebih rendah berbanding kumpulan asal.

Walaupun terdapat perbalahan dalaman antara Illuminati dan Freemason tentang asal usul pelbagai upacara, fokus politik dan sosial, serta lain-lain perbezaan yang remeh, Illuminati berjaya merekrut antara 650 hingga 2,500 ahli di Bavaria, ketika kemuncaknya pada sekitar tahun 1784. Sekitar waktu tersebut, sebuah kultus Kristian yang kurang difahami, yang dikenali sebagai Rosicrucianism, berjaya menyusup masuk Illuminati. Kumpulan tersebut adalah sangat warak, dan menolak idea pergerakan pencerahan, falsafah, saintifik dan rasional Illuminati.

Rahsia Illuminati Terbongkar, dan Berkuburnya Organisasi Rahsia Itu

rahsia illuminati terbongkar

Selepas pergaduhan dalaman dan serangan demi serangan daripada kumpulan luar, serta jumlah ahli yang terlalu ramai, rahsia organisasi ini akhirnya terbongkar, maklumat tentang kewujudan mereka sudah menjadi pengetahuan umum. Ramai ahli Illuminati telah didedahkan identitinya, dan sebahagian daripada mereka sebenarnya mempunyai jawatan yang tinggi dalam beberapa bidang berlainan.

Selepas dituduh menerbitkan sastera anti-agama, kerajaan Bavaria akhirnya mengharamkan segala organisasi rahsia yang ada, termasuklah Illuminati, dan merampas, dan kemudiannya menerbitkan banyak dokumen penting daripada para pengasas Illuminati. Ini secara efektifnya mengakhiri kewujudan kumpulan berkenaan, dan pengasas asalnya akhirnya melarikan diri daripada Jerman.

Beberapa tahun selepas berakhirnya Illuminati di Bavaria, beberapa buah buku telah ditulis, mendakwa bukan sahaja Illuminati masih wujud secara rahsia, malah mereka turut bersekongkol dalam banyak insiden antarabangsa, termasuklah dalam peristiwa Revolusi Perancis (French Revolution). Buku-buku ini disambut baik oleh masyarakat, dan menjadi terkenal, dan idea kewujudan Illuminati masih bertahan sehingga dunia moden hari ini.

Rumusan dari kisah ini

ratu england queen elizabeth illuminati

Sejak akhir-akhir ini, idea tentang kebangkitan semula, atau kewujudan Arahan Illuminati yang berkuasa dan bertanggungjawab terhadap banyak peristiwa dunia, melalui ikonografi dan ritualisme telah menjadi sebuah teori konspirasi yang sangat popular dalam kalangan masyarakat dunia.

Walaubagaimanapun, tiada bukti kukuh yang menunjukkan kewujudan organisasi rahsi ini, atau sebarang hubungan antara organisasi atau kumpulan semasa dengan Bavarian Illuminati (Illuminati yang asal). Namun, bukankah itu yang mereka ingin kita fikirkan, bahawa mereka sebenarnya tidak wujud?

Apapun, sama ada mereka ini wujud atau tidak, perlu diingatkan bahawa teori konspirasi adalah sekadar teori konspirasi, tidak lebih daripada itu, melainkan ianya mempunyai bukti kukuh untuk menyokong sesuatu kenyataan, maka realitinya sudah sebaliknya.

Rujukan:

theguardian.com

theweek.co.uk

britannica.com




Hakcipta iluminasi.com (2017)