Gerakan Iluminati kerap menjadi topik bagi mereka yang berminat dengan teori-teori konspirasi. Menjadi salah satu gerakan yang dikatakan mengawal dunia selain dari gerakan Freemason dan juga New World Order, gerakan Iluminati menghantui hidup ramai individu sehingga kini.

Persoalannya - adakah ketakutan atau ancaman gerakan tersebut benar? Seperti semua isu berkait dengan teori konspirasi, agak sukar untuk kita dapat menjawab persoalan itu dengan fakta dan bukti.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jadi nak tak nak, terpaksalah kita bergantung dengan pelbagai spekulasi yang tidak diketahui siapa penciptanya. Walau bagaimanapun, wujud beberapa fakta tentang gerakan Iluminati yang memang mempunyai bukti-bukti, yang akan kami kongsikan dalam artikel ini.

1. Siapa sebenarnya gerakan Illuminati?

ritual rahsia illuminati

Dalam catatan sejarah, memang wujud satu gerakan yang bernama Illuminati iaitu gerakan rahsia Illuminati Bavaria. Hanya beroperasi selama 10 tahun daripada tahun 1776 hingga 1785, gerakan ini dimulakan oleh seorang pengamal dan profesor undang-undang bernama Adam Weishaupt.

2. Kenapa gerakan Illuminati ditubuhkan?

adam weishaupt

Semenjak muda, ekoran minat Weishaupt membaca tulisan ramai ahli falsafah membentuk pemikirannya.

Weishaupt percaya kepada fahaman 'Idea-Idea Kesedaran' (Enlightenment Ideas) yang muncul pada abad ke 18. Tempoh itu yang digelarkan sebagai ' Abad Kebangkitan Falsafah di Eropah' dilihat berjaya membawa pemikiran baru pada masyarakat Eropah menolak sistem pemerintahan monarki serta pengaruh gereja, sehingga tercetusnya revolusi politik pada abad berikutnya.

Impian awal Weishaupt pada awalnya adalah untuk membantu mengubah pemikiran masyarakat Eropah supaya membawa pemikiran yang lebih bersifat saintifik serta berani mempersoalkan pemikiran-pemikiran lama yang bersifat ortodoks, seperti pegangan spiritualiti.

3. Kenapa Illuminati kerap dikaitkan dengan Freemason?

logo freemason

Perkara ini kerap berlaku sehingga kini kerana Weishaupt pada awalnya menyertai gerakan Freemason bagi membawa agenda yang diinginkan.

Bagaimanapun, selepas mendapati banyak idea yang dibawa Freemason mirip tetapi kurang kena dengan ideologi peribadinya, Weishaupt memilih untuk menubuhkan sendiri gerakan rahsia.

Pengaruh pegangan Freemason yang turut mencabar pemikiran ortodoks ketika itu memberi kesan besar kepada ideologi Weishaupt dalam pembentukan Illuminati.

4. Siapakah ahli terawal Illuminati?

mesyuarat illuminati

Illuminati diasaskan oleh 5 orang ahli pada mulanya, dimulakan hanya sebagai satu kumpulan diskusi melibatkan Weishaupt dan pelajar-pelajarnya yang membawa pemikiran serupa. Setiap ahli digalakkan untuk meluaskan pengaruh pemikiran mereka, keluar daripada pemikiran lama yang dirasakan terlalu mengongkong.

5 orang terawal ini termasuklah Weishaupt menyiapkan peraturan kumpulan mereka, hanya membenarkan kemasukan ahli baru atas persetujuan bersama selain mensasarkan individu yang berpengaruh dalam masyarakat untuk turut sama menyedarkan orang ramai.

Gerakan Illuminati benar-benar berkembang selepas Weishaupt berjaya meyakinkan seorang ahli bangsawan bernama Adolph Freiherr Knigge, seorang penulis serta ahli kumpulan Freemason yang mempunyai pengaruh besar ketika itu pada tahun 1780. Walaupun begitu perselisihan faham di antara Weishaupt dan Knigge menyebabkan Knigge meninggalkan Illuminati pada tahun 1784.

5. Apakah permulaan kejatuhan gerakan Illuminati?

adolph freiherr knigge

Banyak pihak berkata pergeseran Weishaupt dan Knigge menjadi permulaan kepada runtuhnya Illuminati. Weishaupt mahu terus mengekalkan keahlian Illuminati bersifat eksklusif sementara Knigge mahu keahliannya dipermudahkan, bagi mempercepatkan penyebaran ideologi mereka dan ini menjadi penyebab utama Knigge berhenti.

Selepas keluarnya Knigge daripada gerakan tersebut, pengaruh Knigge yang besar menyebabkan ramai ahli Illuminati turut mengambil tindakan serupa - menyebabkan populariti Illuminati sebagai alternatif kepada Freemason menurun.

6. Peristiwa apa menyebabkan kejatuhan Illuminati?

illuminati diharamkan

Gerakan politik yang berlaku melibatkan negeri Bavaria jatuh ke tangan Austria. Insiden itu dilihat oleh Weishaupt sebagai sesuatu yang patut membuka peluang lebih besar untuk gerakannya meluaskan lagi ideologi mereka.

Malangnya, tentangan daripada gerakan The Order of the Golden and Rosy Cross, sebuah gerakan yang berpegang kepada spiritualiti dan amalan mistik serta rapat kepada pemerintah Bavaria - menjadi pemusnah kepada Illuminati.

Atas alasan pegangan mereka layak dikatakan cuba mencetuskan rusuhan pada pemerintah, kerajaan Bavaria mengisyitiharkan pengharaman Illuminati pada tahun 1785.

Siasatan yang dijalankan ke atas gerakan mereka mendapati wujud bermacam dokumen mendedahkan perancangan Illuminati mahu mendesak penerimaan terhadap hak membunuh diri, sokongan terhadap gerakan atheis serta kajian untuk memudahkan pengguguran bayi oleh wanita.

Berdasarkan kepada bukti yang ditemui, Illuminati didakwa cuba menjatuhkan kerajaan Bavaria, membelakangi pegangan agama mereka, membolehkan pemerintah mengharamkan Illuminati dengan bukti yang cukup seterusnya mengisytiharkan hukuman mati kepada mana-mana ahli Illuminati yang masih kekal.

7. Apa berlaku pada Adam Weishaupt?

karya adam weishaupt

Selepas gerakannya diharamkan dan identiti Weishaupt didedahkan kepada orang ramai, Weishaupt tidak lagi dibenarkan meneruskan profesionnya di Bavaria kerana dia dihukum buang daerah.

Weishaupt meneruskan hidupnya di Gotha, Saxony atas bantuan seorang bangsawan bernama Duke Ernest II.

Di sana, Weishaupt menyara hidupnya dengan meneruskan karier sebagai profesor falsafah di Universiti Gotingen serta menerbitkan buku-buku tulisannya. Hasil tulisannya selepas itu lebih berfokus kepada usaha mempertahankan gerakan yang ditubuhkannya, bagi membetulkan pandangan masyarakat ketika itu.

Adam Weishaupt meninggal dunia pada 18 November 1830.

Idea beliau mahu memperkenalkan pemikiran bentuk baru, membebaskan orang ramai daripada pemikiran jumud melalui gerakan sulit terus memberi kesan sehingga ke hari ini.


Nota : Apa saja pandangan anda tentang gerakan ini, sama ada masih wujud secara rahsia dan terlibat mencatur dunia atau benar-benar terkubur seperti didakwa, tak mampu kami bincangkan dalam artikel ini. Kami biarkan anda terus berpegang dengan pendirian anda dan kita akan bincangkan dalam artikel berikutnya.




Hakcipta iluminasi.com (2017)