Oleh pada 20 Jul 2019 kategori

Pada hari ini, terdapat banyak skim cepat kaya atau syarikat Multi-Level Marketing (MLM) yang berada di Malaysia. Kebanyakan di antaranya menggunakan teknik penipuan dan berkonsepkan afiliasi kutu. Ramai antara ahli yang ingin cepat berjaya tertipu dengan penipuan skim ponzi dan kehilangan wang simpanan (hasil bertahun lamanya) akibat terpengaruh dengan pujukan dan angan-angan ingin cepat menjadi kaya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, perkara ini bukanlah sesuatu yang baru di negara kita. Skim cepat kaya atau MLM ini telah wujud berpuluhan tahun di negara kita dan mungkin ramai tidak pernah mendengar tentang individu yang digelar sebagai "Pak Man Telo" yang merupakan antara pelopor skim sebegini sejak tahun 80-an lagi.

pak man telo 428

Pak Man Telo atau nama sebenarnya ialah Osman Hamzah berasal dari Taiping, Perak, merupakan penganjur kepada skim cepat kaya yang paling terkenal di Malaysia pada suatu ketika dahulu.

Pak Man Telo pernah bertugas sebagai wartawan akhbar Warta Negara pada tahun 1960-an dan kemudian menjadi wartawan sambilan di Bernama pada tahun 1970-an. Pada penghujung tahun 1970-an, dia telah menubuhkan sebuah syarikat yang menjalankan skim cepat kaya yang dinamakan Skim Pertama Berhad atau lebih dikenali dengan nama Skim Pak Man Telo.

pelabur di rumah pak man telo

Walaupun ramai orang tahu bahawa skim ini tidak mempunyai 'business model' atau apa-apa perniagaan yang memulangkan hasil, ramai juga yang terpengaruh kerana skim itu tidak pernah gagal membayar dividen yang tinggi kepada para pelaburnya.

Sejak beroperasi, Skim Pak Man Telo menjadi semakin popular dan pendapat kepercayaan orang ramai kerana berjaya mengekalkan pembayaran dividen dengan lancar kepada setiap para pelaburnya dalam tempoh bertahun-tahun lamanya.

Tambahan pula, ada beberapa peserta awal skimnya itu berjaya menjadi jutawan dalam masa yang singkat. Orang ramai menjadi rambang mata apabila skim cepat kaya Pak Man Telo menawarkan pulangan sebanyak 10-12% pulangan setiap bulan.

wang tunai

Akan tetapi, kelancaran operasi Skim Pak Man Telo itu mula menjadi goyah pada penghujung tahun dekad 1980-an. Pada 1 Oktober 1989, beberapa pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyerbu kediaman Pak Man Telo di Taiping untuk menyiasat kegiatan skim yang dikendalikannya.

BNM kemudian telah membuat serbuan kali kedua pada 23 November 1989 dan merampas wang tunai sebanyak RM 1.7 juta di rumahnya. Pada waktu itu, Pak Man Telo bersama isteri (Maimunah Taib) dan anak lelakinya (Abdul Rahman Osman) telah ditahan pihak berkuasa kerana mengutip wang daripada orang ramai tanpa lesen.

Pada 11 Januari 1990, Pak Man Telo dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melanggar Akta Bank dan Insdustri Kewangan 1989. Isteri dan anak lelakinya pula dituduh bersubahat. Akan tetapi mereka bertiga mengaku tidak bersalah. 

pak man telo pengasas kutu

Pak Man Telo dibebaskan dengan ikat jamin RM 1 juta dan pasportnya dirampas, manakala isteri dan anak lelakinya masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM 200 ribu dengan seorang penjamin. Semua ikat jamin itu dibayarnya secara tunai.

Pak Man Telo, isteri dan anak lelakinya dibicarakan di mahkamah pada 13 Mac 1990. Pak Man Telo mengaku bersalah atas tuduhan mengambil deposit tanpa memiliki lesen. Hukuman ke atas Pak Man Telo dijatuhkan keesokan harinya tetapi isteri dan anak lelakinya dibebaskan.

Hakim juga memerintahkan agar wang tunai sebanyak RM 1.7 juta yang dirampas dari kediaman Pak Man Telo dipulangkan semula kepadanya kerana tiada undang-undang yang membolehkan BNM berbuat demikian.

pak man telo dijulang downline skim

pak man telo original iluminasi

Pak Man Telo telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM 250 ribu atau setahun penjara. Dia membayar denda itu menggunakan wang tunai. Walaupun bersalah, para penyokongnya yang berada di perkarangan mahkamah menyambut Pak Man Telo dengan penuh kegembiraan dan melaungkan "Hidup Pak Man!".

Skim Pak Man Telo beroperasi seperti biasa. Ketika inilah popularitinya meningkat dengan mendadak dan skimnya melalui tempoh 'gemilang' kerana sudah terkenal di seluruh negara. Pulangan dividen berjumlah 10 peratus dibayar tanpa gagal, malah kemudiannya telah dinaikkan kepada 12 peratus pula.

Pada bulan September 1990, para pelabur mula perasan bahawa pulangan dividen mereka sudah tidak lagi dimasukkan ke dalam akaun bank seperti sebelumnya. Pak Man Telo pula mengumumkan penurunan kadar dividen daripada 12% kepada 5% sahaja.

keratan akhbar tentang pak man telo

Ramai para pelabur menyerbu kediaman lelaki itu bagi meminta penjelasan. Pak Man Telo memberi alasan bahawa ia berpunca daripada kemelesetan ekonomi dunia akibat Perang Teluk. Selain itu dia juga menyalahkan terjadi penyelewengan di kalangan ejen-ejen.

Pada Januari 1991, keadaan menjadi teruk apabila Pak Man Telo gagal membayar pulangan dividen seperti yang dijanjikan. Orang ramai berkumpul di rumahnya bagi menuntut wang pelaburan masing-masing sehingga terjadinya kekecohan. Kereta Pak Man Telo telah dirosakkan.

Sebulan selepas itu, keadaan menjadi semakin parah apabila sekumpulan senam orang lelaki telah menculik seorang anak lelaki Pak Man Telo (Abdul Razak Affendi) dan mengurungnya di Hotel Tropicana, Kuala Lumpur, selama seminggu. Mereka meminta agar Pak Man Telo membayar ganti rugi sebanyak hampir RM 430 ribu. Walau bagaimanapun, mereka semua berjaya dikesan dan diberkas pihak polis.

pak man telo diiring polis ke penjara kajang

Pada April 1991, Pak Man Telo telah ditahan selama beberapa minggu oleh pihak polis dari Bukit Aman setelah ada antara pelabur skim cepat kayanya yang membuat laporan polis kerana ditipu.

Hasil siasatan lanjut, BNM mendakwa Pak Man Telo di mahkamah atas tuduhan mengambil wang deposit daripada orang ramai (kira-kira 50,000 orang) sebanyak RM 99.09 juta tanpa memiliki lesen. Pak Man Telo sendiri mengaku bahawa tidak mengetahui jumlah sebenar yang dikutip syarikatnya kerana tiada siapa yang merekodkan setiap transaksi lengkap sepanjang mereka beroperasi.

Dia mengaku tidak bersalah dan mintak dibicarakan. Pak Man Telo dibenarkan diikat jamin sebanyak RM 2 juta sementara menunggu perbicaraannya pada awal tahun 1992.

Pada 2 Mac 1992, Pak Man Telo yang selesai dibicarakan didapati bersalah buat kali kedua. Mahkamah menjatuhkan hukuman setahun penjara dan denda sebanyak RM 500 ribu.

penjara taiping

pak man telo hq

Pak Man Telo akhirnya menjalani hukuman penjara selama setahun bermula daripada tarikh dia ditahan pada 17 Julai 1991. Bagi hukuman kedua pula, Pak Man Telo gagal membayar denda RM 500 ribu dan dia dipenjarakan lagi selama setahun bermula 2 Mac 1992. Dia menjalani hukumannya itu di Penjara Taiping.

Kemudian, Pak Man Telo dibawa ke Kuala Berang, Terengganu untuk perintah buang daerah. Pak Man Telo menyepikan diri bersama isteri kedua dan seorang anak lelakinya di sana. Dia memulakan hidup baru dan menyara hidup dengan membaiki radio dan televisyen.

Pada 22 Disember 1997, Pak Man Telo yang berusia 70 tahun ketika itu telah meninggal dunia akibat sakit tua. Berakhirlah riwayat seorang lelaki yang merupakan antara pelopor dan 'otai' skim cepat kaya di negara ini.

Rujukan:




Hakcipta iluminasi.com (2017)