angampora sri lanka

Silat merupakan seni mempertahankan diri popular di Malaysia, Indonesia dan beberapa negara Asia Tenggara. Di Malaysia sahaja, dipercayai terdapat puluhan aliran silat yang diperturunkan dari generasi ke generasi dan antara yang yang popular adalah silat Cekak Hanafi dan Silat Gayung. 

Selain silat, di seluruh dunia terdapat banyak lagi seni tempur jarak dekat yang popular antaranya Taekwando, Krav Maga, Kung Fu dan banyak lagi. Di Sri Lanka, terdapat "Angampora", seni mempertahankan diri tradisional tempatan. Menariknya, satu ketika dahulu pihak penjajah British pernah mengharamkan sesiapa sahaja mengamalkannya.

Ketika penjajah Portugis datang ke Sri Lanka pada awal abad ke-16, ia menandakan permulaan perang selama beberapa dekad. Penentangan yang dilakukan oleh penduduk tempatan ini kebiasaanya adalah daripada pahlawan tempatan yang mahir dengan Angampora.

Angampora adalah seni bela diri tradisional yang telah digunakan untuk melindungi pulau itu selama ribuan tahun yang melibatkan pertempuran, persenjataan dan mantra tanpa senjata. Portugis telah datang untuk menduduki sebahagian pulau itu dan diikuti oleh Belanda dan kemudian Inggeris, yang akhirnya menakluki apa yang kemudian dikenali sebagai Ceylon pada tahun 1815.

Sejarah Angampora

angampora 1

Nama 'Angampora' berasal dari kata "anga" dalam bahasa Sinhala, kata akar untuk 'badan' yang menunjukkan pertempuran fizikal dan "pora", yang bermaksud pertarungan. Secara umumnya ianya bermaksud pertempuran jarak dekat menggunakan anggota badan tanpa menggunakan senjata.

Menurut cerita rakyat Sinhala, sejarah Angampora bermula sejak 3,000 tahun lalu yang dikaitkan dengan suku Yaksha (salah satu dari empat "hela" - suku kuno yang mendiami pulau itu) yang dikenal pasti sebagai pencetus Angampora.

Dua naskah kuno "Varga Purnikawa" dan "Pancha Rakkhawaliya" menceritakan dengan lebih mendalam dengan mengenal pasti sembilan orang sebagai pengasasnya. Cerita rakyat seterusnya menggambarkan Rana Ravana, seorang pejuang yang dikatakan telah hidup 5,000 tahun yang lalu sebagai pahlawan Angampora yang paling ditakuti sepanjang zaman. 

Keunikan Angampora

angampora high click 850x460 acf cropped

Angampora mungkin seni mempertahankan diri tertua dan paling rahsia di dunia yang akhirnya telah didedahkan kepada masyarakat dunia moden melalui sebuah dokumentari selama 7 tahun. Angampora merupakan seni mempertahankan diri kuno dengan disiplin yang membunuh dan melibatkan kuasa misteri. Para pengamalnya percaya bahawa seni mempertahankan diri ini sudah wujud lebih dari 3,000 tahun yang lalu.

Angampora adalah ilmu pertempuran yang menggabungkan seni pertempuran tidak bersenjata dan bersenjata, serangan titik tekanan di tubuh yang mematikan, meditasi dan amalan esoterik yang berakar pada masa yang jauh sebelum sejarah dapat menemui catatan bertulis mengenainya.

Komponen utama angampora adalah "angam" yang menggabungkan pertempuran tangan-dengan-tangan dan "illangam" yang melibatkan penggunaan senjata asli seperti ethunu kaduwa, tongkat, pisau dan pedang. Komponen lain yang dikenali sebagai "maya angam", yang menggunakan mantra untuk pertempuran juga dikatakan pernah wujud.

Keunikan Angampora terletak pada penggunaan serangan titik tekanan di tubuh untuk menimbulkan rasa sakit atau melumpuhkan lawan secara kekal. Pahlawan Angampora biasanya menggunakan teknik menyerang dan bergelut. Dalam perempuran, penggunaan senjata adalah mengikut budi bicara. 

Pengharaman Angampora dan risiko kepupusan

pengharaman angampora

Dengan kedatangan kolonialisma di seluruh pulau pada tahun 1815, Angampora menjadi tidak berfungsi dan hampir hilang sebagai sebahagian daripada warisan negara. Pentadbiran British melarang amalannya kerana bahaya yang ditimbulkan oleh penduduk awam yang berpengalaman dalam seni mempertahankan diri ini.

Untuk menghalang penduduk mengamalkan dan mempelajari seni bela diri yang sangat ditakuti British ini, mereka telah bertindak membakar mana-mana angan madu (pondok latihan yang dikhaskan untuk seni mempertahankan diri) yang dijumpai di mana-mana sahaja.

Selain itu, sesiapa sahaja yang mengamalkan Angampora akan ditangkap. Malah, British juga bertindak kejam dengan menembak lutut pahlawan Angampora, suatu tindakan ekstrim untuk mencederakan kaki mereka agar tidak lagi boleh mempraktikan seni bela diri Angampora seumur hidup mereka. 

Setelah pemberontakan Uva-Wellassa, yang juga dikenal sebagai Perang Pembebasan Besar, pada tahun 1817 dan 1818, Gabenor Robert Brownrigg melarang Angampora dengan menganggap bahawa penduduk yang dilatih dalam pertempuran tangan jarak dekat ini lebih sukar dikendalikan.

Tindakan drastik pihak British mengharam dan menghukum pengamal Angampora ini menyebabkan seni bela diri tradisional Sri Landa ini hampir pupus ketika itu. Walau bagaimanapun, tindakan segelitir pengamal Angampora melarikan diri dan membina penempatan jauh dalam hutan berjaya mempertahankan seni bela diri dan memperturunkannya dari generasi ke generasi berikutnya secara rahsia. 

Dokumentari mengenai Angampora

dokumentari angampora

Kira-kira 200 tahun kemudian, seorang jurugambar yang berpangkalan di Colombo Reza Akram telah mendedikasikan 7 tahun untuk merakamkan gambar-gambar pahlawan Angampora di Sri Lanka yang masih diamalkan sehingga kini.

Lebih menarik, sebuah buku dokumentari Angampora bertajuk "Angampora: A Nation’s Legacy in Pictures" telah ditulis oleh Ajantha Mahantharachchi, seorang pahlawan dan guru Angampora. Buku ini turut memuatkan sekitar 700 keping gambar yang diambil oleh jurugambar Reza Akram.

Kredit:

  1. Atlas Obscura
  2. Behance
  3. Wikipedia


Hakcipta iluminasi.com (2017)