Kredit foto: Instagram Andi Bernadee

Tidak kisah dianggap menumpang populariti lagu Tak Tun Tuang, penyanyi baharu, Andi Bernadee memberitahu video parodi yang dirakamkannya hanyalah sekadar suka-suka.

Anak muda dari Kota Kinabalu, Sabah ini mengaku, tidak menyangka video itu menjadi tular selepas dikongsi di laman Instagram.

"Melihat situasi terbabit, saya memutuskan untuk memuat naik video berkenaan di fanpage Facebook. Tak sampai 24 jam, jumlah tontonan mencecah 250,000," katanya memetik laporan portal BH Online.

Menerusi laman Youtube, video berdurasi seminit itu sudahpun mendapat tontonan sebanyak 1.3 juta kali.

Walhal sebelum ini, dia berkerja keras untuk meraih publisiti menerusi lagu Tiada Lagi Maaf, hingga sudahnya tidak mendapat sambutan. Karya itu merupakan hasil ciptaannya bersama Nasir Deraman, dilancarkan pada Mac lalu.

Kata Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 25, pernah suatu ketika dia hampir berputus asa dengan dunia hiburan.

"Kadang-kadang, ada juga rasa untuk berhenti menyanyi selepas banyak pengorbanan yang dilakukan, termasuk masa dan juga wang ringgit, namun tidak membuahkan hasil.

"Sedaya upaya saya cuba untuk bertahan. Bagaimanapun alhamdulillah, apa yang berlaku hari ini seakan-akan memberi semangat untuk saya supaya tidak mudah putus asa," katanya.

Penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi aplikasi Smule itu mengaku, nasibnya tidak sebaik dua rakan seperjuangan, Wany Hasrita dan Khai Bahar yang popular menggunakan medium yang sama.

"Mungkin belum rezeki saya untuk menyerlah seperti mereka. Saya juga percaya, masing-masing mempunyai bahagian sendiri.

"Saya gembira dengan pencapaian mereka yang sama-sama muncul dalam bidang seni menerusi media sosial. Saya akui, rezeki dalam bidang ini agak lambat, tetapi saya yakin ia akan hadir juga satu hari nanti," katanya yang ketika itu hadir ke Balai Berita, untuk mempromosikan singlenya.

Tambah Andi, dia tidak gusar sekiranya ada pihak mengatakan dia menumpang tuah lagu Tak Tun Tuang untuk mendapat tempat dalam industri seni.

"Kalau ia mampu memberi pendedahan kepada saya, mengapa tidak? Sekurang-kurangnya kalau orang ramai mendengar lagu itu, secara tidak langsung mereka akan cari juga single saya," katanya yang kini menjayakan siri jelajah institusi pengajian tinggi bersama-sama syarikat rakaman Warner Music Malaysia.

Sumber berita: BH Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)