anak dara norman hakim dirisik

Kredit foto: Instagram Marissa

Tidak dinafikan, anak-anak aktor Norman Hakim dan bekas isterinya, Abby Abadi semakin mencuri tumpuan ramai lewat ini.

Sebelum ini, anak sulung mereka, Mohamed Danish Hakim, 14, memenuhi tajuk berita portal hiburan kerana terpilih antara 10 pelajar yang diberi peluang melanjutkan pengajian hafazan di Turki.

Kini giliran Marissa Dania Hakim, 13, pula mencetus sensasi di media sosial gara-gara personaliti yang menarik.

Mengumpul 192 ribu pengikut di laman Instagram, Marissa digambarkan ramai sebagai seorang yang pemalu dan sopan santun, apatah lagi memiliki rupa paras jelita bak ibunya.

Malah foto-foto Marissa yang dikongsi Norman di akaun Instagramnya juga mengundang puluhan ribu tanda suka peminat.

Menerusi kiriman terkini di laman sosial berkenaan, Norman mendedahkan Direct Message (DM) yang diterimanya daripada netizen yang berminat ‘merisik’ Marissa.

“Dengar cerita budak kecil @marissadania_ ini tengah 'viral'. Viral untuk apa tu? Yang pasti habis DM papa penuh dengan 'risik'an yang padu.Yang pilu pun ada juga.

“Nak bagitahu, anak dara saya ini inshaa-Allah tahun ini masuk 13 tahun bulan Julai nanti. Jauh perjalanan lagi. Hafazan Al-Quran pun masih suku ke separuh perjalanan,” katanya.

Di kesempatan itu, Norman menasihatkan netizen yang menyimpan niat itu supaya mendahulukan perkara penting dalam hidup, khususnya tanggungjawab terhadap Allah dan ibu bapa.

“Kepada majoriti yang berniat' untuk menjadi 'Imam' melalui DM yang saya baca, alhamdulillah untuk nawaitu yang suci dan ikhlas itu. Saya anggap itu sebahagian daripada permulaan ukhwah dan silaturahim sesama kita.

“Sepatah kata mama @abby_abadi112, ‘utamakan yang utama'. Letakkan tanggungjawab pertama sebagai anak lelaki yang juga bakal 'imam' yang pertama sekali kepada Allah S.W.T. Seterusnya jaga keramat hidup iaitu ibu bapa kita umpama esok tiada lagi hari untuk kita di dunia ini.

“Lepas itu barulah fikirkan untuk 'mendirikan masjid'. Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Nak mendirikan 'masjid' ini bukan sekadar bersandar pada teori. Saya yang dah nak masuk anak keenam ini pun masih lagi belajar seni utk ber'masjid,” katanya.

Tidak sekadar itu, Norman juga meminta netizen mendoakan yang terbaik buat Marissa dan dalam masa sama beliau berharap mereka diberi pulangan atas jasa baik yang diberikan. 

“Wallahualam segala yang terbaik hanya dariNya. Seboleh mungkin bila 'comment' kat anak dara saya ini kat IG dia, sama-sama selitkan doa untuk dia. Sebab doa yang baik-baik itu semua, insyaALLAH akan berbalik pada kita semula.

“Pakai bahasa 'wicet' pun tiada hal, janji 'sempoi' dan maksud sampai. Yang penting #Hablumminallahwalhablumminannas. Itu yang sama-sama kita jaga ok. Aamiin, inshaa-Allah,” katanya lagi.

anak dara norman hakim dirisik 2

Kredit foto: Instagram Norman Hakim

Sumber berita: Sinar Harian


tags : , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)