Oleh pada 02 Jan 2020 kategori

Pada tahun 1915, Jepun sedang berada di kemuncak Perang Dunia Pertama. Selain memerangi tentera Jerman, penduduk di Rokusen Sawa, 29 km dari pantai barat Pulau Hokkaido mempunyai musuh yang berbeza iaitu seekor beruang coklat Ussuri.

kasegake

Beruang yang bangun lebih awal daripada hibernasi itu sangat lapar dan mula keluar mencari makanan. Ia bakal menggemparkan Jepun dan meninggalkan kisah hitam bagi penduduk tempatan. Melalui rekod yang dicatatkan dengan teliti, berikut adalah kisah serangan beruang terburuk dalam sejarah di Jepun.

Semuanya bermula pada pertengahan November apabila seekor beruang coklat muncul di hadapan pintu rumah keluarga Ikeda. Pertembungan pertama itu agak menakutkan tetapi tidak membahayakan. Beruang itu hanya mengambil beberapa batang jagung dan beredar.

Pada 20 November, beruang itu sekali lagi muncul di tempat sama. Ketua keluarga Ikeda mulai bimbang dan meminta bantuan jiran tetangganya. Pada 30 November, mereka berjaya menembak beruang itu tetapi ia berjaya melarikan diri.

Mereka mengesan beruang itu melalui titisan darah yang ditinggalkannya. Ia membawa mereka sehingga Gunung Onishika tetapi gagal menemui haiwan itu. Mereka berhenti mencari apabila menyangka beruang itu mungkin tidak akan keluar jauh akibat cedera.

Malangnya, sangkaan mereka meleset sama sekali

beruang coklat ussuri 437

Beruang itu muncul semula pada pagi 9 Disember, kali ini di rumah keluarga Ota pula. Isteri ketua keluarga Ota iaitu Abe Mayu sedang menjaga seorang bayi jirannya bernama Hasumi Mikio.

Apabila memasuki rumah keluarga Ota, beruang itu membunuh Mikio dan menyeret Mayu keluar. Mayat Mayu kemudian ditemui tertanam dalam salji di bawah sebuah pokok tidak jauh dari rumahnya. 

Pasukan mencari berjaya menemui beruang itu tidak jauh dari tempat kejadian. Beberapa orang yang membawa senapang menembak ke arah haiwan itu tetapi hanya satu tembakan sahaja mengenainya. Beruang itu berjaya meloloskan diri sekali lagi.

Penduduk kampung semakin risau sekiranya beruang kelaparan itu akan kembali menyerang. Ramai penduduk bersenjata datang ke rumah keluarga Ota untuk membuat kawalan dan penjaga tambahan juga dihantar ke rumah jiran berhampiran iaitu keluarga Miyouke.

Pada waktu malam, kelibat beruang itu dilihat seketika berhampiran kediaman keluarga Ota. Para pengawal lain dari rumah jiran terdekat datang dan berkumpul di halaman keluarga Ota setelah mengetahui hal itu. 

replika semula rumah keluarga ota

Replika semula rumah keluarga Ota

Tanpa disedari, beruang itu berjaya menyelinap masuk ke dalam rumah keluarga Miyouke yang ditinggalkan pengawal untuk ke rumah keluarga Ota. Ketika itu, beberapa orang isteri pengawal dan anak-anak mereka berada dalam rumah itu.

Dalam serangan tragis itu, isteri Miyouke iaitu Yayo dan tiga orang anaknya telah diserang haiwan buas yang sedang mengganas itu. Dua orang kanak-kanak lain dan seorang wanita hamil yang berada dalam rumah itu turut terbunuh.

Seorang pengawal yang berada berhampiran telah terdengar bunyi bising dari rumah Miyouke lalu pergi menyiasat. Apabila dia membuka pintu, beruang itu berhenti menyerang Yayo dan meluru ke arahnya pula. Dia cuba mempertahankan diri tetapi dicakar di bahagian belakang badan.

Ajaibnya, Yayo berjaya melarikan diri dan memberitahu perkara itu kepada para pengawal lain. Apabila para pengawal itu tiba, mereka terdengar bunyi bising dari dalam yang menandakan bahawa beruang itu masih berada di dalam rumah.

Para pengawal mahu membakar sahaja rumah keluarga Miyouke untuk membunuh beruang itu tetapi dihalang oleh Yayo kerana khuatir ada mangsa yang masih hidup di dalamnya.

replika lakonan semula serangan beruang kasegake 575

Para pengawal bersetuju dan berpecah kepada dua kumpulan. Satu kumpulan mengawasi pintu hadapan manakala selebihnya pula mengawasi pintu belakang rumah itu.

Apabila beruang itu keluar dari pintu hadapan, keadaan menjadi panik dan haiwan itu sekali lagi berjaya melarikan diri. Keadaan dalam rumah itu sangat mengerikan dan hanya dua orang kanak-kanak sahaja yang terselamat.

Ketika kejadian itu, ketua keluarga Miyouke berada di luar kawasan. Apabila pulang barulah dia mengetahui apa yang menimpa keluarganya. Dia kemudiannya telah berjumpa dengan Yamamoto Heikichi, seorang pemburu beruang profesional.

Apabila diterangkan, Heikichi yakin bahawa pelakunya adalah seekor beruang yang dinamakan Kesagake. Menurut Heikichi, Kesagake pernah mengamuk dan membunuh tiga wanita lain sebelum ini di kampung berlainan.

Namun, Heikichi yang telah menjual senapangnya tidak dapat membantu dan terpaksa menolak permintaan Miyouke untuk memburu Kesagake.

peta tragedi serangan beruang sankebetsu

Peta perkampungan replika Rokusen Sawa

Dua hari kemudian, pihak berkuasa tempatan telah membentuk satu pasukan penembak tepat dan salah seorang ahlinya termasuklah Yamamoto Heikichi.

Pada 13 Disember, Kesagake sekali lagi telah memasuki rumah keluarga Ota dan mengambil semua makanan simpanan mereka. Tidak terhenti di situ, Kesagake juga telah memasuki lapan buah rumah lain sebelum menghilangkan diri ke dalam hutan. Dalam kejadian kali ini tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.

Bersama-sama Heikichi, pasukan memburu beruang kini seramai 60 orang. Pada malam yang sama mereka berjaya mengesan Kesagake dan menembaknya tetapi gagal membunuhnya. 

Satu pasukan kecil yang diketuai oleh Heikichi telah dibentuk untuk mengikuti kesan darah dan tapak kaki beruang yang cedera itu. Heikichi yang mahir memburu beruang akhirnya berjaya menemui sarang beruang itu di bawah sebuah pokok oak Jepun.

Heikichi hanya meminta seorang pembantu sahaja menemaninya untuk menghampiri sarang itu. Apabila berada dalam lingkungan 20 dari beruang itu, Heikichi telah melepaskan dua tembakan. Satu mengenai jantungnya makakala satu lagi pula mengenai kepala haiwan itu.

Kesagake yang sangat besar itu akhirnya terbunuh. Para pemburu telah mengukur saiz haiwan buas itu dan mendapati ia setinggi sembilan kaki dan seberat 340 kg.

perkampungan replika serangan kasegake

Tidak lama selepas peristiwa tragis itu, Rokusen Sawa menjadi perkampungan tinggal apabila para penduduk berpindah keluar kerana takut serangan beruang lain akan berulang.

Selain kelaparan, ramai percaya bahawa serangan beruang berlaku berpunca daripada penebangan hutan dan pembukaan penempatan baru berhampiran kawasan hutan. Ini menyebabkan kawasan beruang mencari makanan semakin mengecil dan terpaksa memasuki penempatan manusia.

Sebagai menghormati mangsa yang terkorban, terdapat sebuah penempatan telah dibina semula di Rokusen Sawa berdasarkan rumah asal bagi memperingati tragedi serangan Kesagake. Kisah serangan secara terperinci juga diterangkan kepada pengunjung di sana.

Rujukan:

1. Tragedi serangan beruang coklat Sankebetsu

2. Amukan Kesagake yang menggemparkan Jepun

3. Serangan beruang paling teruk dalam sejarah Jepun



Hakcipta iluminasi.com (2017)