Oleh pada 06 Jan 2020 kategori

Pertikaian dan perebutan tanah adalah perkara biasa di Amerika Utara pada abad ke-19. Tambahan pula, para penjajah ketika itu sering meneroka wilayah baru menyebabkan perbalahan sempadan antara negara sering berlaku.

perang khinzir 1859

Satu perjanjian khas yang dinamakan sebagai Perjanjian Oregon telah ditubuhkan bagi menyesaikan pertikaian seperti ini. Perjanjian Oregon telah ditandatangani oleh Amerika dan Britain berkaitan sempadan Oregon di sepanjang pergunungan Rockies dan Lautan Pasifik yang kini sebahagian daripada Kanada.

Perjanjian Oregon menyatakan bahawa perbatasan antara Amerika Syarikat dan British telah diukur pada paralel barat ke-49, satu pembahagian yang kekal hingga ke hari ini.

Walaupun ia kelihatan mudah tetapi keadaannya agak rumit apabila diambil kira beberapa kepulauan yang terletak di barat daya Vancouver. Perjanjian itu menyatakan bahawa perbatasan itu melalui tengah selat yang memisahkan benua dari Pulau Vancouver.

Salah satu pulau terbesar dan terpenting di kawasan itu adalah Pulau San Juan. Ia amat penting kerana kedudukannya yang stategik di pintu masuk selat itu. Disebabkan itu, kedua-dua negara mula menuntut kedaulatan pulau itu dan mula menetap di sana.

Selama 13 tahun, rakyat Britain dan Amerika tinggal di kawasan masing-masing di pulau tanpa sebarang permusuhan. Kehadiran rakyat British dilihat lebih ramai di pulau itu sementara hanya sekitar 20 hingga 30 pendatang Amerika sahaja yang mula bertapak di situ.

pulau san juan

Pihak British telah mendirikan Hudson's Bay Company iaitu sebuah syarikat pengawetan ikan salmon dan peternakan kambing biri-biri yang berjaya. Manakala rakyat Amerika di pulau itu rata-ratanya bercucuk tanam dan melakukan aktiviti pertanian.

Keharmonian antara rakyat kedua-dua negara itu dilihat dalam keadaan baik sehinggalah ia mula tergugat pada tahun 1859. Maka, bermulalah pertikaian sempadan yang paling pelik dalam sejarah melibatkan dua buah negara.

Pada 15 Jun 1859, seorang petani Amerika bernama Lyman Cutlar telah terlihat seekor khinzir sedang memakan ubi kentang di ladangnya. Cutlar yang berang telah menembak khinzir itu tanpa mengetahui bahawa haiwan itu milik salah seorang warga Britain.

Pemilik khinzir yang merupakan salah seorang pekerja Hudson's Bay Company yang bernama Charles Griffin. Dia mempunyai beberapa ekor khinzir dan diketahui sering melepaskan haiwannya untuk berkeliaran di sekitar pulau itu.

Kejadian khinzirnya menceroboh ladang milik Cutlar mungkin juga bukan yang pertama kalinya. Namun, Griffin tetap marah apabila mendengar khinzirnya telah ditembak oleh seorang rakyat Amerika.

charles griffin

Charles Griffin, pemilik khinzir

Pada mulanya, Griffin telah bersemua Cutlar mengenai kejadian itu. Cutlar menawarkan untuk membayar $10 sebagai ganti rugi kepada khinzir yang ditembaknya tetapi ditolak Griffin.

Griffin kemudiannya telah melaporkan jenayah yang dilakukan Cutlar kepada pihak berkuasa British. Pihak berkuasa British kemudian mengancam untuk menahan Cutlar.

Rakyat Amerika lain di pulau itu berang dengan kejadian yang menimpa Cutlar dan membuat petisyen untuk meminta bantuan perlindungan ketenteraan Amerika Syarikat.

Petisyen itu telah diterima oleh Jeneral William S. Harney, komander Jabatan Oregon. Harney yang diketahui seorang yang anti-British tidak teragak-agak untuk mengarahkan seramai 66 orang tentera bersenjata untuk pergi ke Pulau San Juan pada 27 Julai.

Apabila gabenor British Columbia, James Douglas, mendengar berita ini, dia telah menghantar tiga kapal perang ke perairan Pulau San Juan untuk menunjukkan kekuatan mereka.

salah sebuah kapal perang british di pulau san juan

Salah sebuah kapal perang British di Pulau San Juan

Sebulan kemudian, kawasan itu dipenuhi dengan lebih daripada 400 orang askar Amerika bersenjatakan meriam dan sekurang-kurangnya lima buah kapal perang British. Walaupun mempunyai jumlah yang lebih kecil, Tentera Amerika tetap tidak berganjak daripada pulau itu.

Keadaan terus tegang sehinggalah ketibaan Laksamana Robert L. Baynes, Panglima Angkatan Tentera Laut British di Lautan Pasifik. Apabila gabenor Douglas mengarahkan Baynes mendaratkan pasukannya untuk bertempur dengan Tentera Amerika, Baynes enggan.

Baynes menyatakan bahawa dia tidak akan melibatkan dua buah negara dalam sebuah peperangan yang berpunca daripada perbalahan mengenai seekor khinzir.

Apabila pegawai kerajaan kedua-dua negara di Washington dan London mengetahui hal ini, mereka amat terkejut bagaimana pertikaian kecil ini boleh melibatkan seramai 2,600 orang tentera.

Kedua-dua pihak mula campur tangan dan mengadakan perbincangan. Akhirnya,  kata sepakat sementara diperolehi bahawa setiap negara perlu menghadkan rakyatnya tidak lebih daripada 100 orang sahaja di pulau itu sehingga perjanjian rasmi dipenuhi.

kem britain di pulau san juan

Pihak British telah membangunkan kem di utara pulau itu manakala pihak amerika pula mendirikan pangkalan mereka di bahagian selatan. Pada tahun 1872, satu komisen antarabangsa yang diketuai oleh Kaiser Wilhelm I dari Jerman memutuskan bahawa pulau itu jatuh sepenuhnya di bawah kawalan Amerika dan mengakhiri perebutan antara kedua-dua negara tanpa pertumpahan darah. 

Hari ini, kedua-dua kem British dan Amerika masih boleh dikunjungi di Taman Sejarah Nasional Pulau San Juan. Apa yag menariknya, di sinilah satu-satunya tempat di Amerika di mana bendera asing sering dikibarkan berbanding tempat lain. Tiang dan bendera Britain di Pulau San Juan disediakan oleh kerajaan British sebagai tanda persahabatan.

Rujukan:

1. Perang paling merepek melibatkan dua kuasa besar dunia

2. Sejarah Perang Khinzir antara Amerika - Britain

3. Konflik paling pelik antara Britain dan Amerika Syarikat



Hakcipta iluminasi.com (2017)