Oleh pada 11 May 2018 kategori

Kebanyakan wanita tidak ingat berapa kali mereka ke tandas, berapa kerap mengalami sindrom prahaid (PMS) atau berapa lamakah tempoh kitaran haid mereka setiap kali. Kewujudan aplikasi untuk menjejaki kitaran haid boleh membantu melakukan semua ini untuk mereka. Walau bagaimanapun, menurut kumpulan pemikir dari Brazil, Coding Rights, golongan wanita kini menghadapi risiko penjualan data peribadi mereka kepada pihak ketiga.

aplikasi menstrual cycle

Coding Rights yang mempunyai pengkhususan hak asasi manusia dalam dunia digital melaporkan aplikasi-apilkasi kesihatan ini boleh mengumpul data dengan memantau kitaran haid kaum wanita sebelum dijual kepada pihak lain.

Di Amerika Syarikat, aplikasi untuk menjejaki kitaran haid merupakan aplikasi kesihatan keempat paling popular di kalangan orang dewasa dan kedua paling popular bagi golongan remaja. Sukar untuk dipastikan bilangan sebenar aplikasi yang terdapat dalam pasaran. Malah, Google Play juga memberitahu Euronews yang mereka tidak mempunyai data berkaitan bilangan aplikasi yang tepat. Penyelidik dari Columbia University telah membuat kiraan kasar di Google Play Store dan mendapati terdapat sebanyak 225 aplikasi - iaitu 17 aplikasi berbayar dan 108 aplikasi percuma.

aplikasi penjejak kitaran haid dalam google play

Walaupun aplikasi seperti ini adalah sangat popular, ia sebenarnya tidak mampu memberikan maklumat yang sahih dan tepat. Satu kajian yang dijalankan oleh the Medical College of New York mendapati 81% aplikasi penjejak kitaran haid adalah tidak tepat dan hanya tiga daripada 33 aplikasi itu boleh memberikan ramalan yang betul tentang masa terbaik untuk mengandung.

Terma dan syarat yang mengelirukan

Satu lagi masalah ialah sesetengah aplikasi kesihatan ini merekodkan kekerapan seseorang log masuk ke dalam Google, Amazon atau Facebook daripada telefon mereka.

Setiap maklumat peribadi yang kita dedahkan dalam talian menjadi sangat bernilai kepada syarikat-syarikat ini. Mereka menggunakan aktiviti dalam talian pengguna sebagai komponen utama dalam strategi kelangsungan ekonomi. Jadi, apabila kaum wanita menggunakan aplikasi seperti ini untuk memantau kitaran haid, mereka perlu sedar dan fahami setiap terma dan syarat yang diberikan. Daripada data kitaran haid sahaja mereka boleh melihat corak fisiologi dan tingkah laku melalui kekerapan haid serta simptom dialami atau tabiat semasa datang haid.

Satu lagi kajian yang dijalankan oleh Electronic Frontier Foundation (EFF) juga mendapati aplikasi-aplikasi ini mempunyai "isu privasi yang serius" dan memberi amaran kepada golongan wanita supaya berhati-hati dengan penjualan data peribadi apabila menggunakan aplikasi penjejak kitaran haid.

golongan wanita gemar menggunakan aplikasi untuk mengetahui kitaran haid dan cuba untuk mengandung

Aplikasi penjejak haid dan privasi

Para penyelidik tidak mendedahkan nama aplikasi spesifik yang bertindak menjual data peribadi pengguna. Namun, Chupadados dan EFF menekankan bahawa terdapat beberapa isu yang dilihat sebagai risiko bermasalah:

1. Gangguan iklan dan spam yang dihantar oleh syarikat pihak ketiga disebabkan data yang dikumpul oleh aplikasi.

2. Data tidak dihapuskan walaupun selepas akaun ditamatkan. Misalnya dasar privasi aplikasi Glow menyatakan bahawa aplikasi itu boleh "mengekalkan salinan kandungan selama-lamanya walaupun selepas anda menamatkan akaun."

Selain itu, Glow juga menyatakan "Anda memberi kuasa kepada Glow untuk menggunakan kesemua data termasuklah data berkaitan HIV atau sebarang penyakit kelamin, keadaan kesihatan mental serta rawatan yang diterima, penyalahgunaan bahan atau sebarang data sensitif yang lain walaupun anda tidak lagi menggunakan perkhidmatan ini."

Begitu juga dengan aplikasi OWHealth yang menyatakan "Jika anda mengeluarkan data daripada akaun, anda tidak akan lagi dapat melihatnya dalam aplikasi tetapi data sandaran (backups) mungkin kekal berada dalam pelayan arkib kami."

Kajian EFF mendapati aplikasi MyCalendar menyimpan log bagi kesemua data dalam fail teks dan disimpan dalam kad SD. Memandangkan maklumat ini disimpan dalam kad SD, ini bermakna sesiapa sahaja yang mempunyai akses kepada telefon pengguna tersebut boleh membaca data ini.

aplikasi mycalendar data yang disimpan dalam kad memori sd

3. Sesetengah aplikasi berkongsi data dengan pihak ketiga tanpa kebenaran pengguna manakala beberapa aplikasi lain pula meminta kebenaran namun tidak menyatakan secara spesifik data apa yang akan dikongsi. Aplikasi Flo Menstrual Calendar mengeluarkan mesej pop-up  "jika anda meneruskan bermakna anda membenarkan" semasa aplikasi itu dimuat turun.

4. Berkongsi maklumat peribadi dengan penaja dan rakan kongsi. Misalnya, aplikasi The Lovecycles berkongsi maklumat dengan GoogleFit dan Apple Health. Ia tidak mempunyai dasar privasi yang spesifik namun ia mengikut terma pembina aplikasi iaitu Plackal yang menyatakan "segala maklumat akan dikongsi bersama penaja dan rakan perniagaan."

5. Kerosakan atau gangguan kecil dalam aplikasi yang terdedah kepada penggodaman. Satu siasatan laporan pengguna pada tahun 2016 mendapati aplikasi Glow mempunyai kelemahan keselematan yang serius sehingga membolehkan ia digodam dengan mudah. Kelemahan sekuriti seperti ini membuka ruang kepada sesiapa sahaja walaupun tanpa kebolehan menggodam untuk mengakses data peribadi wanita.

6. Rakaman panggilan. Aplikasi The Bump memberi peringatan pada pengguna dalam dasar privasinya bahawa setiap panggilan mungkin dirakam. Terma ini kemudian diubah dan dibetulkan oleh pembina aplikasi.

Gunakan aplikasi 'offline' atau tanpa perlu mendaftar

Menurut pencipta iGyno, Mirco Bettellini, aplikasinya tidak memerlukan sebarang pendaftaran dan setiap maklumat kekal berada dalam telefon pengguna, jadi tiada data yang diberikan kepada mana-mana pihak ketiga.

aplikasi penjejak kitaran haid wanita

Sementara itu, pengurus pemasaran iMamma OBScience, Pippo Fertitta, pula berkata, model perniagaan syarikat itu adalah berdasarkan jualan slot pengiklanan. Data yang dimasukkan ke dalam aplikasi kekal dalam telefon dan syarikat hanya mempunyai maklumat yang digunakan semasa pendaftaran secara sukarela dengan komuniti iMamma.

Para pengguna disarankan supaya menggunakan aplikasi yang tidak memerlukan anda membuka akaun dan membenarkan pengguna menggunakan perkhidmatan tanpa mengaktifkan profil peribadi. Selain itu, para pengguna perlu peka dengan syarikat yang menerima modal usaha niaga tetapi tidak menyatakan bagaimana mereka membuat keuntungan kerana ia mungkin menandakan keuntungan itu dijana melalui perniagaan data peribadi.

Data kesihatan sangat berharga

Menurut Presiden Privacy Italy, Raffaele Barberio, data yang dikumpul melalui aplikasi-aplikasi ini sangat diperlukan oleh penyelidik dalam industri farmaseutikal. Disebabkan itulah maklumat kesihatan merupakan maklumat yang paling berharga.

Data kesihatan merupakan data yang paling bernilai tinggi. Profil-profil yang diambil dari Facebook oleh Cambridge Analytica misalnya mempunyai nilai antara $0.75 (RM2.96) hingga $5 (RM19.77) bagi setiap orang dan jumlah ini adalah sangat relevan kerana data itu boleh dipercayai.

Maka, jadilah pengguna yang lebih bijak dan jangan biarkan maklumat peribadi anda didagangkan sewenang-wenangnya. Pastikan anda membaca terlebih dahulu segala terma dan syarat aplikasi yang dimuat turun ya.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)