tuala wanita zaman dulu dulu

Wanita zaman kini semakin lama semakin terbuka untuk berbicara berkenaan 'datang bulan.' Di Malaysia khasnya, iklan-iklan memaparkan wanita beraksi aktif dalam iklan tuala wanita sudah menjadi satu perkara yang biasa.

Stigma tentang datang bulan ini semakin lama semakin menghilang kerana kesedaran orang ramai tentang kitaran haid wanita semakin meluas. Masyarakat kita kini lebih menghormati dan memahami apa yang perlu dilalui setiap orang wanita, setiap bulan. Ketidak selesaan dan ada kalanya kesakitan yang dialami sudah menjadi satu topik yang semakin terbuka untuk dibincangkan dalam mendidik masyarakat.

Peranan tuala wanita dalam hidup seorang wanita sebenarnya amat besar. Penciptaan tuala wanita merupakan satu ciptaan yang benar-benar membantu pergerakan wanita zaman moden. Tahukah anda sejarah tuala wanita?

Kisah Hypatia, ahli falsafah dari Alexandria

hypatia ilustrasi setem

Sejarah paling awal yang menceritakan tentang penggunaan sebarang bentuk kain atau penyerap darah haid, menurut kajian barat disebutkan sudah wujud pada tahun kurun ke empat.

Seorang wanita yang tinggal di Alexandria (Mesir sekarang) semasa diperintah oleh Empayar Rom bernama Hypatia. Hypatia adalah tokoh kepada masyarakat di situ. Kerja Hypatia dalam bidang matematik merupakan antara rekod paling awal yang menunjukkan penglibatan wanita dalam jurusan dan beliau juga bertugas sebagai guru yang mengajar ilmu falsafah dan astronomi.

tuala wanita hypatia of alexandria

Dikatakan Hypatia mempunyai wajah yang menawan yang membuatkan ramai terpesona. Menurut sejarah, Hypatia mempunyai seorang peminat yang gemar mengganggunya. Semasa sedang mengajar, lelaki tersebut datang untuk memikatnya membuatkan Hypatia merasa jelik. Cubaan untuk menghalau lelaki itu dengan muzik, tidak berhasil.

Tragedi fitnah dan bunuh Hypatia

ilustrasi hypatia dibunuh

Akhirnya, semasa lelaki tersebut datang mengganggunya lagi, Hypatia pun membaling kain yang digunakan olehnya untuk menahan darah haid yang membuatkan lelaki itu terkejut, kerana tidak menyangka wanita secantik Hypatia berdarah seperti itu.

Kisah Hypatia berakhir dengan tragedi. Berikutan pengaruhnya pada masyarakat Alexandria ketika itu, Hypatia menjadi sasaran mudah puak penganut Kristian yang mahu memperkukuhkan agama mereka di situ. Hypatia dituduh sebagai seorang pengamal ajaran Pagan dan mengamalkan pemujaan syaitan.

Akhirnya pemimpin-pemimpin Kristian yang baru naik dan takut akan kedudukan Hypatia, mengarahkan Hypatia dibunuh. Sedang dalam perjalanan pulang, Hypatia diculik lalu dibawa ke gereja dan dibogelkan. Tubuh Hypatia diketuk dan diseret ke tengah pekan, sebelum tubuhnya yang sudah tidak bernyawa dibakar.

Tuala wanita zaman dahulukala

tuala wanita sebelum zaman moden

Kisah Hypatia membuktikan masyarakat zaman dahulu menggunakan kain sebagai penyerap darah haid. Ada juga pendapat yang menyebut wanita zaman dahulu mempunyai kitaran haid yang berbeza berbanding wanita zaman sekarang, ekoran purata berat badan yang berbeza serta memulakan kitaran haid pada usia lebih awal yang berakhir pada usia lebih muda.

Dikatakan juga budaya masyarakat dahulukala yang mementingkan peranan wanita sebagai ibu secara eksklusif memendekkan tempoh haid wanita, selain keperluan untuk menyusu anak menghentikan kitaran haid.

Banyak kajian mendapati wujudnya bermacam jenis cara yang diamal wanita zaman dahulu dalam menyerap darah haid. Ada yang menggunakan rumput, kulit arnab, kain perca seperti Hypatia dan bermacam jenis objek yang dirasakan mampu mengawal jumlah darah yang ada.

Selain itu, rumah khas untuk mengasingkan wanita yang sedang haid diwujudkan dalam budaya sesetengah masyarakat dan ada juga yang sebenarnya masih mengamalkan amalan ini. Masyarakat China zaman dahulu pula menggunakan kain yang diletakkan pasir di dalamnya lalu diikat ketat. Pasir itu akan bertindak sebagai penyerap darah dan kain itu akan dibasuh untuk digunakan semula.

Takut untuk dibayangkan, bukan?

Ciptaan menstrual belt

iklan tali pinggang tuala wanita

Populariti tuala wanita guna semula semakin berkembang. Wujud satu ciptaan yang mirip dengan apron akan dipakai oleh wanita pada kurun ke 19 sebelum ciptaan itu diperbaiki menjadi satu alat berbentuk tali pinggang yang dikenali sebagai 'menstrual belt' pada abad ke 19.

Alat ini membolehkan wanita meletakkan penyerap yang mereka rasakan selesa untuk digunakan dan kebiasaannya, penyerap itu akan dibasuh semula. Namun rekaan berbentuk tali pinggang ini kurang selesa kerana penyerap yang diletak mudah bergerak, jadi kaum wanita zaman tersebut menggunakan gam untuk mengelakkannya bergerak.

Idea untuk melekatkan tuala wanita inilah yang menjadi asas kepada ciptaan tuala wanita pakai buang zaman moden. Cubaan untuk mengkomersialkan tuala wanita pada zaman itu sudah pun dimulakan dengan sejenis produk bernama Southall pad dilancarkan. Selain itu syarikat Johnson and Johnson juga mengeluarkan produk mereka sendiri yang dinamakan Lister Towel yang disarankan menggunakan Lister Belt sebagai pengikatnya.

Hanya selepas tamat perang dunia pertama tuala wanita yang lebih mirip dengan tuala wanita yang kita kenal dicipta. Semuanya berpunca daripada jururawat di Perancis yang perlu merawat askar yang cedera, mendapati 'sanitary pad' yang digunakan bagi menyerap darah tentera, amat berkesan untuk digunakan sebagai penyerap darah haid mereka. Selain itu harganya juga murah serta tidak lagi perlu digunakan semula.

Memperhalusi teknologi tuala wanita

iklan stayfree tuala wanita

Selepas menyedari praktikaliti menggunakan 'sanitary pad', syarikat-syarikat seperti Johnson & Johnson dan Kimberly-Clark mula mengeluarkan produk mereka sendiri menggunakan bahan yang sama dengan bahan di dalam 'sanitary pad' tentera namun reka bentuknya tetap mirip dengan tali pinggang yang perlu dipakai wanita zaman tersebut.

Hanya pada tahun 1970-an, produk komersial pertama tuala wanita yang mempunyai pelekat sendiri dikeluarkan menandakan berakhirnya era wanita perlu memakai tali pinggang atau alat untuk mengikat tuala wanita, ketika datang bulan.

Pada era inilah syarikat-syarikat mula bereksperimen dengan bentuk tuala wanita dan 'sayap' yang terdapat pada tuala wanita zaman sekarang, diperkenalkan dalam era ini.

Pengiklanan terhadap tuala wanita juga berubah pada era 80-an. Oleh kerana tuala wanita tidak lagi sukar untuk dipakai, syarikat pengeluar mula berani mengiklankan produk tuala wanita sebagai satu cara memudahkan wanita kekal aktif dan mampu bersukan setiap masa.

Sejak zaman tersebut sehingga kini, tidak banyak perubahan dilakukan pada tuala wanita. Hanya penambah baikan minima seperti perbezaan saiz dan ketebalan yang membantu keselesaan wanita diperkenalkan.

Membantu wanita kurang berkemampuan

gadis afrika ketiadaan tuala wanita

Walaupun kita sudah melihat secara ringkas sejarah dan evolusi tuala wanita, jangan terkejut pula sekiranya anda diberitahu masih ada kumpulan-kumpulan wanita di sesetengah negara, yang masih terpaksa mengamalkan penggunaan alat yang tradisional ataupun primitif semasa haid.

Sebagai contoh, wanita di sebuah kampung di Amritsar, India masih lagi mengamalkan penggunaan stoking yang diisi dengan pasir, sebagai penyerap darah haid berikutan ketiadaan wang untuk membeli produk tuala wanita.

Ekoran tindakan mereka itu, ramai wanita di sana yang mengalami masalah jangkitan kuman pada bahagian sulit kerana tidak ada pilihan lain. Ketiadaan sistem pembentungan yang baik juga sedikit sebanyak merumitkan lagi keadaan wanita di kampung mereka.

Janganlah ingat di India saja keadaan sebegitu berlaku. Kajian di United Kingdom menunjukkan, seorang daripada sepuluh wanita berumur 14 hingga 21 tahun di sana, tidak mampu membeli tuala wanita.

Wanita-wanita kurang berkemampuan di Malawi khasnya golongan pelajar, mengambil jalan untuk ponteng sekolah kerana tidak berkemampuan membeli tuala wanita berikutan harganya yang tinggi. Bagi mereka yang memberanikan diri, mereka masih lagi menggunakan kain perca yang diletakkan di dalam seluar dalam sebagai penyerap.

Tuala wanita pada zaman sekarang, bukan lagi satu barang eksklusif dan kini sudah menjadi satu barang keperluan majoriti wanita. Sedih mengenangkan dalam era zaman moden ini, masih ada yang tidak ada akses kepada tuala wanita. Di United Kingdom, persatuan guru peringkat kebangsaan melalui seorang wanita British bernama Hanna Morrison, sudah pun memulakan kempen bagi pihak sekolah menyediakan tuala wanita disemua sekolah secara percuma bagi kemudahan pelajar yang kurang berkemampuan.

Adakah gerakan sama perlu dilakukan di negara kita? Apa pendapat anda?


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

web counter



Hakcipta iluminasi.com (2017)