Oleh pada 27 Mar 2018 kategori

Kredit foto: Harian Metro

Walaupun hanya berbekalkan barisan kedua, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe akui tidak gentar untuk menghadapi aksi Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Lubnan di Beirut dalam perlawanan yang bakal berlangsung malam ini.

Cheng Hoe berkata, beliau mempunyai kepercayaan penuh pada skuad kebangsaan yang kini ditunjangi sembilan muka baru apabila 12 pemain Harimau Selatan digugurkan selepas aksi persahabatan menentang Mongolia pada Khamis lepas.

“Selain Kiko Insa yang digantung perlawanan kerana menerima dua kad kuning sebelum ini serta Rawilson Batuil yang digugurkan atas faktor keluarga, saya ada 23 pemain dan saya rasa semua pemain ini boleh memberi sesuatu untuk perlawanan bertemu Lubnan nanti.

“Saya dan jurulatih lain juga percaya mereka yang diturunkan nanti mampu memberikan yang terbaik. Ini ruang untuk mereka membuktikan kemampuan selaras dengan hasrat kami untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemain lain mewakili skuad kebangsaan.

“Saya akui ia satu cabaran besar selepas kehilangan ramai tonggak namun secara positifnya, kami dapat meramaikan lagi pilihan pemain untuk masa akan datang khususnya persiapan menghadapi saingan Piala AFF hujung tahun ini,” katanya menurut portal Harian Metro.

Skuad kebangsaan akan muncul dalam aksi terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan dalam perlawanan di Stadium Camille Chamoun Sport City, di mana sebarang keputusan yang diperoleh tetap akan mengekalkan kedudukan Harimau Malaya di tangga tercorot apabila hanya meraih satu mata.

aksi kelayakan piala asia 2019 bertemu lubnan cheng hoe dedah ramuan skuad kebangsaan 2

Kredit foto: BH Online

Terdahulu iaitu pada 13 Jun lalu, bertempat di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, skuad kebangsaan yang ketika itu di bawah kendalian Nelo Vingada, berputih mata selepas tewas 1-2 kepada Lubnan dalam aksi permulaan kempen Kumpulan B di mana menyaksikan gol Mahali Jasuli di hujung babak pertama akhirnya dipadamkan oleh Rabih Ataya menerusi jaringan pada minit ke-79 dan minit ke-90. 

Dalam kesemua lima perlawanan setakat ini, Harimau Malaya terpaksa berpuas hati dengan hanya satu keputusan seri iaitu 1-1 ketika menentang Hong Kong. Manakala dalam empat lagi perlawanan mereka tewas menjadikan keseluruhannya hanya empat jaringan dan dibolosi 13 gol.

Mengenai ramuan aksi bertemu pasukan yang berada di tangga ke-87 dunia itu, Cheng Hoe berkata, beliau mula mempertimbangkan kembali beberapa aspek memandangkan skuad kebangsaan kini ditunjangi ramai pilihan kedua.

“Berdasarkan aksi bertemu Mongolia tempoh hari, kami boleh rumuskan beberapa kelemahan seperti kekurangan penyudah dan kelekaan pertahanan. Namun saya perlu melihat secara keseluruhan di setiap bahagian memandangkan dalam bola sepak, setiap bahagian perlu seimbang.

“Peluang untuk kesebelasan utama juga masih terbuka kerana sukar untuk menjangkakan kesebelasan utama terbaik dalam tempoh singkat. Apa pun, saya akan menurunkan kesebelasan utama terbaik untuk aksi malam esok (hari ini),” katanya. 

KELAYAKAN PIALA ASIA 2019 | SELASA, 27 MAC 2018

LEBANON lawan MALAYSIA

Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut

6.00 petang (11.00 malam waktu Malaysia)

Kesebelasan Utama: 23-Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (PG); 2-Matthew Davies, 16-Irfan Zakaria, 3-Shahrul Saad, 20-Ariff Farhan Md Isa; 18-Mahalli Jasuli, 12-Akram Mahinan; 19-Wan Zack Haikal Wan Nor, 10-Nazmi Faiz Mansor, 7-Akhyar Rashid; 8-Zaquan Adha Abd Radzak (K).

Simpanan: 1-Shahril Sa'ari (PG), 4-Syawal Nordin, 5-Shahrel Fikri Fauzi, 6-Syazwan Zaipol Bahari, 9-Nor Hakim Hassan, 11-Jafri Firdaus Chew, 13-Kogileswaran Raj, 14-Syahmi Safari, 15-Syazwan Andik Ishak, 17-Syafiq Ahmad, 21-Nazirul Naim Che Hashim, 22-Khairul Fahmi Che Mat (PG).




Hakcipta iluminasi.com (2017)