Tidak kira berapa banyak kali kita buat setiap hari, ia sudah menjadi satu kemestian bagi kita untuk mencuci tangan sebelum makan, selepas batuk atau bersin dan setiap kali selepas menggunakan tandas kerana ia tanda kita seorang yang pembersih dan menjaga kesihatan.

Namun, tahukah anda, pada zaman dahulu, hubungan antara membasuh tangan dengan kesihatan dikatakan tidak masuk akal?

Dalam satu siri web oleh PBS, "Origin of Everything," Danielle Bainbridge mendedahkan yang doktor pertama berkempen tentang kebersihan di kawasan hospital bukan sahaja dipulaukan oleh golongan profesional perubatan, bahkan hidup doktor tersebut berakhir di rumah orang gila.

doktor ignaz semmelweiss dituduh gila kerana menyuruh orang mencuci tangan 2

Sebelum bermulanya abad ke-19, mencuci tangan hanya wujud dan berkait rapat dengan upacara dan amalan keagamaan. Ia sememangnya banyak memainkan peranan dalam agama Islam, Kristian, Yahudi, Sikh dan Buddha.

Akan tetapi, kaedah membersihkan tangan untuk menghentikan penyebaran penyakit tidak diketahui umum ketika zaman itu. Masyarakat secara umumnya tidak mengetahui kewujudan kuman dan bakteria. Jadi, apabila jatuh sakit, mereka hanya tahu menyalahkan kuasa jahat, syaitan dan udara persekitaran yang teruk.

doktor ignaz semmelweiss dituduh gila kerana menyuruh orang mencuci tangan

Pada tahun 1846, seorang doktor dari Hungary bernama Ignaz Semmelweis telah membuat satu pemerhatian di mana beliau mendapati wanita yang melahirkan anak dengan bantuan bidan adalah lebih kurang berisiko untuk mati berbanding ibu-ibu yang dirawat oleh doktor. Ini disebabkan para doktor ketika itu sibuk melakukan autopsi terhadap mangsa demam nifas (atau demam puerpera yang berpunca daripada jangkitan bakteria) sehingga ia mula menjangkiti pesakit lain termasuklah bayi. Semmelweis kemudian mula mempromosikan kebaikan membersihkan tangan dan mensteril peralatan di kliniknya. Sejak itu, kes jangkitan demam itu semakin berkurangan.

Walaupun mempunyai bukti kukuh yang menyokong teorinya, rakan-rakan sejawatnya tidak begitu bersetuju dengan ideanya yang mengatakan kematian pesakit adalah berpunca daripada doktor. Disebabkan komited dengan teori yang amat kontroversi itu, Semmelweis mula dipinggirkan sehingga dia mengalami tekanan mental. Akhirnya, beliau dimasukkan ke sebuah hospital sakit jiwa di mana beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir beberapa minggu kemudian.

doktor ignaz semmelweiss dituduh gila kerana menyuruh orang mencuci tangan 4

Teori kuman berjangkit itu akhirnya tersebar luas dan semakin diterima seiring dengan perkembangan zaman. Idea mencuci tangan untuk membunuh patogen yang tidak boleh dilihat menggunakan mata kasar itu mula menjadi popular. Namun demikian, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) hanya mula menggariskan panduan rasmi pertama yang menyenaraikan arahan mengenai amalan mencuci tangan yang terbaik bermula sekitar 1980-an.

Jika kisah doktor 'gila' ini tiba-tiba membuatkan anda terdetik untuk lebih kerap mencuci tangan dan menjadikannya satu amalan, anda boleh ikuti langkah-langkah betul untuk membersihkan tangan di sini.

Jadikan ia satu amalan ya. Basuh berbelas atau berpuluh kali setiap hari pun tak mengapa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)