Bagi kebanyakan orang rasa sakit akibat jatuh, tercedera, dibedah, terhantuk, tertusuk benda tajam atau lebih teruk mengalami kemalangan atas jalan raya merupakan situasi kita perlu berdepan rasa sakit.

Hanya segelintir daripada kita 'mempunyai peluang' untuk merasai bagaimana azabnya ditembak dengan peluru sebenar - walaupun semasa kecil kita mungkin pernah rasa sakit dilastik dengan batu atau ditembak senapang getah kawan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Bagaimana rasanya ditembak peluru? Pernahkah anda terfikir bagaimana rasanya sebiji peluru menusuk masuk ke dalam bahagian tubuh kita pada kelajuan tinggi?

Rasa sakit yang lambat tiba

bagaimana rasa sakit tembakan peluru

Terdapat dua klasifikasi berkaitan kecederaan kesan tembakan peluru, bergantung kepada tahap kelajuan peluru yang hadir - sama ada berkelajuan tinggi atau rendah.

Peluru berkelajuan rendah dikategorikan mempunyai kelajuan kurang daripada 340 meter satu saat, sementara peluru berkelajuan tinggi diletakkan pada kelajuan minima 610 meter.

Dua kategori peluru berkadar kepada kelajuan ini akan menghasilkan tahap kecederaan yang pelbagai, bergantung kepada jenis peluru dan senapangnya itu.

Tahap kecederaan akibat peluru pula dikategorikan mengikut Klasifikasi Fraktur Terbuka Gustilo, yang meletakkan kesemua kecederaan peluru dalam lima kategori berbeza iaitu I,II,IIIA,IIIB dan IIIC, mengikut tahap kerosakan pada tisu, tulang dan organ serta kedalaman peluru memasuki tubuh.

Satu persamaan yang seringkali akan diceritakan oleh mangsa tembakan peluru yang terselamat; mereka akan menyebut bagaimana berlakunya kelambatan atau kelembapan pada otak kita untuk memproses rasa sakit itu selepas peluru hadir sekiranya tembakan kena pada organ lain, selain otak.

Untuk otak, kita akan ceritakan kemudian topik tersebut.

Bergantung kepada kesan di mana mangsa ditembak, ada yang mengatakan mereka rasa hanya seperti dibaling dengan batu sebelum beberapa saat kemudian mula merasakan kesakitan teruk di bahagian yang cedera, selalunya 2 ke 5 saat selepas peluru hadir.

Ada juga kes-kes unik di mana mangsa langsung tidak merasakan kesakitan.

Kes mangsa yang hanya sakit pada kadar minima

petugas berusaha selamatkan mangsa tembakan

Seorang wartawan bernama Deborah Cotton menjadi antara individu yang sering disebut, selepas terselamat dalam serangan rambang 2 orang pemuda yang mencederakan lebih 20 orang di New Orleans, Amerika Syarikat ketika perarakan Hari Ibu pada 13 Mei 2013.

Deborah menyifatkan dia langsung tidak merasa sakit selepas ditembak, walaupun peluru sebenarnya telah pun masuk melalui pinggangnya, terbang menusuk paru-paru kiri beliau.

Beliau tidak menyedari semua itu kerana dia langsung tidak berasa sakit disebabkan oleh saiz peluru yang digunakan penembak adalah bersaiz 9mm, yang tidak berserak selepas ditembak mengakibatkan peluru itu menusuk dan terbenam dalam tubuhnya dalam bentuknya yang asal.

Bagaimanapun hasil tembakan itu serta rawatan yang perlu dijalani, Deborah kehilangan limpa, sebelah buah pinggang, sebahagian pankreas, bahagian perutnya terpaksa dipotong serta beberapa organ lagi mengalami kerosakan.

Deborah meninggal beberapa tahun selepas itu kerana kerosakan organnya.

Impak peluru terhadap Deborah jauh berbeza dengan mangsa-mangsa tembakan senapang patah, yang melibatkan peluru yang berkecai menjadi serpihan selepas ditembak.

Dalam satu kes melibatkan seorang warga Ireland berusia 57 tahun (semasa kejadian pada tahun 2004), dia dengan sengaja dalam keadaan mabuk  menembak lutut kirinya dengan senapang patah ekoran tidak tahan rasa sakit pada bahagian tersebut akibat penyakit sendi.

Peluru senapang patah yang dikategorikan sebagai peluru berkelajuan rendah,  mengakibatkan keseluruhan bahagian kakinya hancur dengan bahagian femur serta tibia mangsa lunyai, memerlukan keseluruhan kakinya dipotong.

Walaupun begitu, mangsa dikatakan masih mempunyai deria rasa di bahagian tapak kaki apabila dicucuk, serta nadi dorsal yang boleh diperiksa di bahagian telapak kaki masih boleh ditemui denyutannya.

Ini pautan laporan berkenaan beliau, dalam bentuk PDF. Harus kami ingatkan, gambaran lututnya sangat mengerikan.

Seorang mangsa lain bernama Ryan Jarcy mengalami kes serupa ditembak senapang patah sendiri secara tidak disengajakan juga dibahagian kaki, selepas dia terlepas senapang miliknya. Semasa cuba menangkap senapang itu, dia tertarik picu mengakibatkan lututnya bersepai ditembak.

Selepas tembakan, Ryan tidak menyedari sebahagian besar betisnya sudah hilang masih cuba berdiri. Hanya selepas dia berjaya berdiri barulah kesakitan itu hadir sebelum dia kembali jatuh, terkulai di atas lantai dengan 96 serpihan peluru melekat di bahagian kakinya.

Ryan menyifatkan kesakitan yang dirasainya seakan-akan panas, berkali-kali ganda lebih teruk berbanding kecederaan biasa yang boleh kita alami; seolah luka kita dihangatkan dengan bahang api.

Sensasi rasa panas ini sama seperti apa yang telah diceritakan oleh Deborah selepas dia ditembak, bezanya Deborah tidak merasa sakit.

Apa patut anda buat sekiranya anda ditembak?

tekan punca luka untuk hentikan pendarahan

Berbeza dengan paparan filem yang gemar menayangkan watak utama terus berjuang bermati-matian selepas ditembak, langkah paling penting yang perlu dilakukan sama ada oleh mangsa atau individu yang cuba membantu adalah dengan menekap luka kecederaan agar pendarahan mangsa tembakan dapat diperlahankan.

Cara untuk memperlahankan pendarahan sama ada melalui tekapan dengan kain ke atas luka atau membalutnya dengan ketat, sebagai langkah paling kritikal yang meningkatkan peluang untuk menyelamatkan mangsa.

Sekiranya perkara itu berjaya dilakukan dengan betul, tubuh mangsa akan mula mengambil alih proses perlindungan badan akibat dengan trauma secara automatik, yang diistilahkan dari segi perubatan sebagai mekanisme pengimbang.

Dalam situasi ini, tubuh akan mula mengesan ketidak seimbangan tekanan darah yang berlaku untuk mempercepatkan pengepaman darah seterusnya mula menyempitkan pembuluh darah melalui proses yang dikenali sebagai SVR atau 'systemic vascular resistance.'

Tubuh kita juga akan mula mengaktifkan sistem refleksi baroreseptor atau 'baroreflex' yang diperlukan bagi mengekalkan tekanan darah konsisten, mengawal keseimbangan di antara kadar degupan jantung dengan kadar tekanan darah.

Adakah kita merasa sakit sekiranya kepala kita ditembak?

lelaki selamat tembakan di kepala

Apa yang kami cuba sampaikan setakat ini - wujud bermacam sensasi berbeza tentang rasa yang akan dialami seandainya seseorang itu ditembak.

Selain apa yang kami nyatakan di atas, ada yang mengatakan kena tembak itu sama seperti disengat lebah, dipukul dengan kayu, dihentak dengan tukul, seperti ditolak dengan kuat, ditumbuk dan pelbagai lagi sensasi berbeza.

Namun bagi mangsa-mangsa tembakan di kepala, cerita mereka agak unik.

Seorang lelaki bernama Michael Moylan ditembak di bahagian kepala oleh isterinya secara tidak sengaja. Suaminya yang terjaga mengadu sakit kepala seolah disiku isterinya ketika tidur.

Bimbang dengan apa yang berlaku, isterinya membawa Michael ke hospital tanpa mendedahkan apa yang berlaku.

Michael menjalani pemeriksaan, mendapati ada peluru menusuk betul-betul di bahagian telinga kanannya tanpa ada kesan pendarahan. Hanya selepas imbasan dan penemuan itulah, isterinya membuka cerita sebenar.

Mangsa insiden tembakan rambang Sekolah Tinggi Columbine yang terjadi pada tahun 1999, Patrick Ireland berusia 17 tahun semasa kejadian; ditembak 2 kali di bahagian kepala tetapi masih mampu menyelamatkan dirinya, berjaya merangkak keluar melalui tingkap sebelum diselamatkan.

Rujuk gambar di bawah bagaimana dia diselamatkan.

pelajar terselamat merangkak keluar

Walaupun terselamat, Patrick perlu belajar membaca dan menulis semula akibat hilang keupayaan itu, kehilangan kemampuan untuk menyebutkan apa yang terlintas di kepala serta kerap kali hilang ingatan.

Banyak kes manga tembakan di kepala berjaya diselamatkan dengan kesan-kesan sampingan. Walaupun begitu mereka ini adalah golongan yang bernasib baik, kerana kadar kematian akibat kecederaan tembakan di kepala agak tinggi dengan kadar 90% ke 95% kematian.

Kadar untuk selamat selepas tembakan di bahagian dahi lebih tinggi, seandainya mangsa ditembak dari bahagian depan kerana kemungkinan untuk peluru merosakkan kedua-dua belah otak lebih rendah.

Kematian dijangkakan lebih tinggi berlaku seandainya seseorang itu ditembak dari bahagian sisi, di mana peluru lebih tinggi kemungkinan untuk menembusi kedua-dua bahagian otak.

Hanya tembakan di bahagian di kawasan yang dinamakan Kotak-T diyakini mampu membunuh seseorang dengan segera.

Membunuh tanpa rasa sakit

t box sasaran penembak

Dalam latihan pasukan keselamatan bersenjata, setiap anggota pasukan akan diajar tentang keberkesanan tembakan yang dihalakan kepada Kotak T di bahagian wajah.

Berbeza dengan filem dan permainan video yang gemar mempopularkan tembakan kepada bahagian otak, pasukan keselamatan dilatih untuk menyerang zon kecil ini bagi melumpuhkan medulla oblongata, yang menjadi penghubung antara tulang belakang dan otak.

Ini kerana tembakan tepat kepada bahagian tersebut akan menyebabkan penjenayah atau pesalah mengalami apa yang dinamakan sebagai kematian segera, memadamkan terus peluang untuk mereka terselamat atau menyerang balas. Istilahnya adalah 'flaccid paralysis.'

Apa yang unik berbanding rasa sakit yang dirasai akibat tembakan pada organ-organ lain, tembakan tepat ke arah Kotak T memutuskan hubungan di antara medulla oblongata dengan otak, menyebabkan pesalah meninggal dunia tanpa rasa sakit walau sedikit pun.

Sekurang-kurangnya penjenayah bolehlah menarik nafas lega, sekiranya mereka berdepan dengan petugas yang cekap dalam ilmu menembak ni - mereka boleh mati tanpa ada rasa sedikit pun rasa kesakitan.

Barulah buku bertemu ruas.




Hakcipta iluminasi.com (2017)