Kredit foto: Instagram Ernie Zakri & Instagram TV3 Malaysia
Penyanyi Ernie Zakri mengakui kecewa selepas mendapat tahu dirinya gagal menerima sebarang trofi pada malam Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34).
Nur Ernie Shahirah Zakri, 28, berkata, dia pada awalnya menyasarkan kemenangan dalam kategori vokal atau persembahan terbaik.
"Tipulah kalau saya kata tak kecewa, pastinya di penghujung hari saya akan kata pada diri sendiri yang itu bukan rezeki saya.
"Namun saya mengenali diri sendiri dan sudah memberi 200 peratus dengan persiapan yang berbulan-bulan," katanya kepada portal Mstar.
Terdahulu, nyanyian Hafiz Suip menerusi persembahan lagu Kisah Cinta Kita diangkat sebagai penerima anugerah vokal terbaik pada malam penghargaan muzik itu yang berlangsung pada 9 Februari lalu.
Kehebatan vokal Ernie mendendangkan Ku Bersuara bagaimanapun dianggap segelintir pihak lebih layak mengungguli trofi berkenaan.
Sementara itu, Ernie mempersoalkan apa lagi yang perlu dilakukannya untuk diiktiraf sebagai pemilik vokal hebat.
Ernie meminta agar industri hiburan lebih bersikap jujur.
Kredit foto: Instagram TV3 Malaysia
"Apa lagi saya perlu beri untuk dapat salah satu kemenangan tersebut? Namun saya sedar tak boleh nak kritik keputusan tersebut apabila saya tak menang, saya pun dah move on.
"Tetapi apa yang saya boleh katakan ialah industri perlukan kejujuran," katanya.
Penyanyi yang juga guru vokal itu membuat kenyataan pada sidang media Ceria Megastar musim kedua yang bakal memulakan siarannya di Astro Ceria pada 29 Februari ini.
Kredit video: Ernie Zakri ‘berbunyi’ tak menang AJL34 - “Saya kecewa dengan keputusan, apa lagi nak kena bagi?”
Sumber berita: “Saya down! Tipulah kalau saya tak kecewa” - Ernie Zakri persoal kalah AJL34, katanya industri tak jujur