Kredit foto: Instagram @premiumphoto.my
Pelakon Jasmine Suraya Chin akui ada menjemput penyanyi Sufian Suhaimi keluar makan malam kerana ingin berkongsi kisah cinta lampau mereka.
Aktres itu bagaimanapun tidak menyangka Sufian benar-benar hadir, malah membuat kejutan kepadanya di sebuah majlis, baru-baru ini.
“Pada mulanya, saya mengajak dia keluar makan. Saya pun tak sangka dia akan datang dan berikan kejutan dengan menyampaikan lagu Di Matamu buat saya.
“Pengalaman kami dalam percintaan sebelum ini lebih kurang sama. Jadi, kami saling berkongsi cerita,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam pada itu, pelakon filem Paskal itu berkata, dia tidak menolak jika peminat terus mengaitkan namanya dengan Sufian.
Malah, dia merakamkan ucapan penghargaan sekiranya ada yang sudi mendoakan hubungan mereka.
Kredit foto: Instagram @jasmine_suraya
“Kalau ada peminat yang nak kaitkan saya dengan Sufian, saya tak boleh berkata apa. Kami sebenarnya berkawan baik dan dia adalah penyanyi yang sangat berbakat.
“Setakat ini, tidak ada kecaman yang saya terima daripada netizen. Kepada yang mendoakan, saya ucapkan terima kasih,” katanya yang merupakan penggemar lagu-lagu dendangan penyanyi Di Matamu itu.
Dalam perkembangan lain, Jasmine membintangi sebuah telefilem bertemakan kemerdekaan bertajuk Back to You, siaran 8tv yang akan ke udara pada 31 Ogos ini.
"Ini adalah telefilem bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62. Saya membawa watak sebagai gadis Cina bernama Sofia yang menjadi anak angkat kepada keluarga Melayu.
"Dari situ timbul konflik apabila keluarga kandung Sofia mula mencari dan berjumpa dengannya. Pada masa sama, ibu angkatnya juga terpaksa berdepan dengan kenyataan bahawa Sofia sudah menemui keluarganya," katanya.
Antara lain, telefilem berkenaan menampilkan pelakon Ernest Chong, Remon Lim dan Azizah Mahzan.
Sumber berita: Harian Metro