Oleh pada 14 Mar 2018 kategori

Kredit foto: Instagram Sufian Suhaimi

Penyanyi Sufian Suhaimi akui tiada niatnya hendak memanjangkan isu putus tunang dengan Elfira Loy sebagaimana yang didakwa oleh bapa aktres itu sebelum ini.

Sufian, 26, berkata, apa yang dipaparkan dalam media hanyalah kenyataan yang dikeluarkan apabila beliau diajukan soalan isu terbabit.

"Saya memang tiada niat nak bercerita tentang kes putus tunang ini, saya hanya menjawab persoalan yang diajukan oleh media.

"Sebolehnya saya tidak mahu lagi bercerita tentang perkara ini kerana ia sudah berakhir. Jadi, selepas ini saya mohon kepada rakan media dan semuanya tidak bertanya lagi tentang isu ini," katanya sebagaimana dilaporkan portal Mstar Online.

Beliau membuat kenyataan di sesi perkongsian media bersama stesen radio Era yang berlangsung di Redbox, The Gardens, Kuala Lumpur pada Selasa.

Sufian mengulas tentang permintaan bapa Elfira iaitu Ahmad Sabri Ariffin yang menggesa supaya berhenti bercakap tentang kontroversi pertunangannya yang telah berakhir bulan lalu.

Dalam kenyataan kepada sebuah portal berita itu, Ahmad Sabri berkata, Sufian berhak berkata 'tidak' kepada soalan wartawan, selain menganggap penyanyi itu seakan sengaja menggunakan isu berkenaan sebagai salah satu cara untuk mempromosikan single terbaharunya, Di Matamu.

Sementara itu, Sufian berkata, dakwaan menggunakan isu putus tunang untuk meraih publisiti lagu adalah tidak benar sama sekali.

"Seperti yang saya kata dahulu, lagu ini telah dicipta pada tahun lalu ketika saya masih bergelar tunangan orang.

"Netizen yang mengaitkan kononnya lagu ini ada kaitan dengan apa yang berlaku sedangkan ia hanyalah kebetulan.

"Apa-apa pun saya ingin memohon maaf jika kenyataan saya sebelum ini ada menyinggung hati mana- mana pihak," katanya.

Di Matamu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen akan dilancarkan pada 23 atau 24 Mac ini yang juga merupakan tarikh Sufian sepatutnya naik pelamin.

Elfira dan Sufian bertunang pada 6 Oktober 2017, sebelum hubungan itu secara rasmi terputus apabila keluarga Elfira memulangkan cincin pertunangan kepada keluarga Sufian di Johor pada 18 Februari 2018.




Hakcipta iluminasi.com (2017)