Selain faktor pemasaran yang mempengaruhi faktor kejayaan sesuatu produk makanan dan minuman, kualiti dan rasa makanan yang dijual itu sendiri merupakan penyebab utama produk tersebut mendapat permintaan berterusan daripada pelanggan.

Untuk menghasilkan sesuatu produk makanan dan minuman yang benar-benar hebat, banyak wang, masa dan keringat yang dilaburkan untuk membuat pelbagai kajian dan percubaan bagi memastikan resipi tersebut benar-benar sedap dan boleh di dihasilkan secara berulang-ulang (easily reproduce).

BESARKAN TEKS     A-  A+

Antara produk hebat yang terkenal kerana rasanya yang "hebat" adalah Coca-Cola dan ayam Kentucky Fried Chicken. Kedua-dua produk ini mempunyai ramuan dan resipi rahsia sehingga menyebabkan ramai pihak cuba mencari apakah ramuan rahsia yang digunakan oleh syarikat ini.

Bagi minuman berkarbonat Coca-Cola, sejak sekian lamanya tersebar ura-ura yang mengatakan resipi menghasilkan minuman ini sangat sukar diperolehi kerana ianya hanya diketahui oleh 2 orang eksekutifnya. Lebih menarik, setiap seorang daripadanya hanya mengetahui sebahagian sahaja daripada keseluruhan resipi Coca-Cola.

Adakah benar dakwaan ini? Daripada manakah asal-usulnya ura-ura ini? Kali ini, pihak Iluminasi ingin merungkaikan serba sedikit perkara yang sudah lama diperkatakan mengenai resipi minuman Coca-Cola ini.

Tidak ramai yang tahu resipi sebenar Coca-Cola

peti besi resipi coca cola 747

Ura-ura yang mengatakan bahawa keseluruhan resipi Coca-Cola hanya diketahui 2 orang eksekutif ini sebenarnya kurang tepat. Dalam satu majlis pemindahan dokumen rahsia yang mengandungi resipi Coca-Cola ke dalam sebuah peti besi baru pada tahun 2011, Pengurus Pemasaran Coca-Cola mengakui terdapat beberapa orang yang mengetahui resipi sebenar Coca-Cola namun beliau sendiri tidak pasti berapakah jumlah sebenar indivividu yang mengetahui akannya.

Pernyataan ini memberi gambaran sebenarnya lebih daripada 2 orang di dunia ini yang mengetahui keseluruhan resipi minuman Coca-Cola. Malah, salah tanggapan ini mungkin datangnya daripada syarikat KFC dimana ramuan untuk menghasilkan ayam gorengnya dihasilkan di dua buah lokasi berbeza sebelum dicampurkan di lokasi ketiga.

Resipi yang diperturunkan daripada generasi ke generasi

john pemberton 656

Jika difikirkan secara logiknya, adalah tidak adil bahawa resipi ini terhad kepada 2 orang staf Coca-Cola sahaja memandangkan syarikat ini sudahpun mempunyai begitu banyak kilang menghasilkan minuman ini diseluruh dunia termasuklah Malaysia.

Kerahsiaan mengenai resipi minuman ini mula diperkatakan apabila syarikat Asa Candler membeli hak pemilikan ekslusif terhadap resipi ini pada 1891. Sebelum pembelian hak ekslusif ini, John Pemberton sebenarnya telah pun menjual resipi ini kepada 3 syarikat berbeza. Ini bermakna, sudah banyak pihak yang mengetahui ramuan menghasilkan minuman ini.

Pihak Coca-Cola pernah menyatakan bahawa resipi menghasilkan minuman mereka tidak pernah ditulis dimana-mana dokumen sehinggalah tahun 1991. Oleh itu, besar kemungkinan John Pemberton hanya menghafalnya dan memaklumkan kepada pembeli resipi itu dalam bentuk lisan semata-mata.

Sekadar trik pemasaran?

bahan membuat coca cola

Terdapat juga pihak yang mendakwa kerahsiaan resipi minuman ini sengaja disebar luaskan oleh John Pemberton atau syarikat Coca-Cola sendiri untuk mewujudkan tanggapan kepada orang ramai bahawa minuman ini tersangatlah unik dan istimewa.

Dalam erti kata lainnya, sekadar gimik pemasarannya agar orang ramai beranggapan bahawa minuman ini tidak dapat ditiru oleh syarikat lain. Realitinya, syarikat Coca-Cola sendiri tahu bahawa lebih daripada 2 orang staf mereka mengetahui keseluruhan resipi minuman ini.

Adakah syarikat Coca-Cola perlu khuatir resipinya diketahui?

rahsia coca cola

Walaupun ada individu mengetahui keseluruhan resipi minuman ini, di Amerika Syarikat amat sukar untuk meniru resipi ini memandangkan terdapat kesukaran untuk mendapatkan daun coca, iaitu bahan utama yang memberi rasa dan aroma kepada minuman ini.

Hanya  syarikat Stepan Co. sahaja yang dibenarkan mengimport bahan ini ke Amerika Syarikat. Mereka akan memproses daun ini dan menjual ekstrak daun yang bebas kokain ke syarikat Coca-Cola dan kokain ke Mallinckrodt, sebuah syarikat farmaseutikal.

Oleh itu, sekiranya anda hendak meniru air yang dihasilkan oleh Coca-Cola, anda perlulah mendapatkan persetujuan daripada syarikat Stepan Co. untuk menjual daun coca kepada anda. Perkara ini tentulah hampir mustahil kerana Coca-Cola semestinya telah membuat perjanjian dengan mereka untuk mengelakkan perkara seperti ini terjadi.

Selain itu, untuk menjadi syarikat sehebat Coca-Cola, anda memerlukan lebih daripada formula menghasilkan minuman ini. Syarikat ini sudah mempunyai jenama yang sangat kukuh dan peminatnya yang tersendiri di seluruh dunia. Walaupun anda mampu menghasilkan minuman yang sama dengan Coca-Cola, belum tentu ianya akan laku keras.

Kredit:

  1. ABC News
  2. Wikipedia
  3. TIME
  4. The Guardian



Hakcipta iluminasi.com (2017)